Oleh Norasikin Samsi
SHAH ALAM 14 Julai - Menteri  Besar Selangor,  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menganggap  tindakan Timbalan Perdana  Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mencampuri  pengurusan industri air di  negeri itu bertujuan untuk membantu serta  melindungi kepentingan kroni  Umno-BN dan bukan  mempertahankan kepentingan rakyat.
Beliau berkata,  kerajaan  negeri Pakatan Rakyat mahu industri air di Selangor  distruktur  semula supaya ia dapat diuruskan kerajaan negeri  untuk manfaat rakyat  dan bukan untuk mengaut keuntungan.
"Kita tahu  bahawa penswastaan  yang dibuat oleh kerajaan BN termasuk di Selangor  dan negeri  lain melalui konsesi yang diberikan  kepada Puncak Niaga dan  juga Syabas  tidak menghasilkan pengurusan air yang baik bagi Selangor   sehinggakan Syabas sekarang dalam keadaan yang sangat kritikal.
"Ini   bererti Syabas tidak mempunyai kumpulan wang yang cukup untuk   mengendalikan pengurusan bekalan air Selangor sehingga pada 2009   kerajaan pusat terpaksa memberi pinjaman RM320.8 juta kepada Syabas.   Pinjaman sangat mudah, tak payah bayar dalam masa lima tahun dan   kemudian dibayar berdikit-dikit selama 20 tahun.
"Malah, tak ada   faedah dikenakan kepada pinjaman tersebut dan dengan cara ini bukanlah   cara penswastaan yang kita (kerajaan negeri) kehendaki.
"Adalah   lebih elok Kerajaan Persekutuan menyerahkan dana itu kepada Kerajaan   Negeri Selangor agar kita dapat uruskan konsesi air tersebut dengan cara   yang lebih baik," katanya pada sidang media di lobi Dewan Annex   semasa sidang Dewan Negeri Selangor Isnin lalu.
Abdul Khalid  juga  menyifatkan perkara yang dibangkitkan Muhyiddin itu bertujuan   melindungi Ketua Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail. 
"Ini   kerana beliau adalah juga menjadi Bendahari Umno Selangor dan juga   Bendahari Umno Hulu Selangor.
"Jadi pada Muhyiddin lebih baik   menjaga hati kroni daripada memberikan peluang kepada rakyat   negeri Selangor mendapat air yang lebih murah dan lebih cekap diurus,"   tegas Menteri Besar.
Bagaimanapun Menteri Besar berkata,   kerajaan negeri akan memastikan bekalan air di Selangor sentiasa   mencukupi.
"Ia akan dilakukan melalui usaha penggalian air dan  juga  air daripada sungai yang masih lagi belum diusahakan dengan  sebaiknya.
"Kerajaan  Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat juga  tidak menghalang projek  'Pahang-Selangor Water Transfer'. Bagaimanapun  semua ini diharap dapat  dilakukan atas prinsip tidak ada syarikat swasta  yang mendapat  keuntungan berlebihan," ujar beliau.
Abdul Khalid  menyindir  Muhyiddin dengan mengatakan walaupun Timbalan Perdana Menteri  itu  menuduh beliau tidak cekap mengurus air namun harga air di Selangor   lebih murah daripada di Johor.
"Negeri Johor yang pernah dipimpin   Timbalan Perdana Menteri adalah antara negeri yang mengenakan harga air   yang tertinggi di Malaysia," jawab beliau.
Sebelum ini Muhyiddin   dengan lantang mengkritik kerajaan negeri Selangor agar segera   menyelesaikan masalah bekalan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan   bagi mengelakkan krisis air terburuk menjelang 2012.