Khabarnya peneroka akan diberi duit raya. PM akan mengumumkannya pada   minggu pertama bulan puasa.  Harap-harap PM itu masih bernafas sehingga  ke saat itu untuk  membolehkannya menunaikan janji.
Yakinlah,  selepas pengumuman  dibuat, orang ramai akan bertepuk sorak. Kalau semua  112,635 orang  peneroka hadir ke majlis itu dan semuanya bertepuk dan  bersorak, saya  fikir gajah di hutan pun akan lari lintang-pukang. Gajah  fikir dunia  sudah kiamat.
Berapa setiap keluarga peneroka akan  dapat? RM1,000 atau RM10,000? Kalau  dapat RM2,000 sekeluarga, berapa  lama wang sejumlah itu boleh tahan?  Dua tahun atau dua dekad?
Tahun  depan dapat lagi. Mungkin  sebanyak itu juga atau lebih banyak. Orang  ramai pun bertepuk tangan dan  bersorak lagi. Gajah di hutan pun hairan  lagi, mengapa dunia kiamat  sampai dua kali?
Saya tidak berkata  saya tidak bersetuju dengan  pemberian itu. Sebenarnya lagi banyak lagi  bagus. Itu meringankan beban  peneroka untuk menampung keperluan  keluarga. Sekurang-kurangnya dapat  juga di kalangan mereka yang daif  merasai nikmat menyambut lebaran.
Tetapi  persoalannya ialah,  sampai bila peneroka akan diperlekeh oleh pemimpin  BN? Setelah berpuluh  tahun keringat mereka diperah oleh Felda, keringat  itu hanya dibayar  dengan RM1,000 @ RM2,000 @ RM10,000 setahun? Adakah  itu harga keringat  mereka selama ini?
Wang hari raya tidak boleh  mengeluarkan  mereka dari belenggu kehidupan mereka kini. Terlalu ramai  peneroka yang  hidup di bawah paras kemiskinan. Anak-anak mereka  menganggur.  Kehidupan mereka terdesak.
Kekayaan Felda tidak boleh  dilonggok  di KL, tetapi perlu dilonggok untuk kepentingan peneroka.  Jangan ada  pemimpin negara yang mengambil kesempatan di atas keringat  peneroka  untuk kepentingan sendiri dan keluarga.
Bolehkah Najib  berbangga  dengan MRSM Felda di Trolak yang belum tentu boleh dimasuki  oleh  anak-anak peneroka? Sebenarnya membina generasi bukan bermula dari   tingkatan satu, tetapi lebih awal daripada itu.
Sebenarnya   kerajaan sudah terlambat. Hari ini kerajaan sudah kehilangan punca untuk   menangani masalah yang dihadapi di Felda. Mereka mungkin boleh   berbangga dengan bangunan pencakar langit yang dimiliki Felda   dimana-mana, tetapi bolehkah mereka berbangga dengan kehidupan sebenar   peneroka?
Mengapa kini baru dibina MRSM Felda? Mengapa tidak dua   puluh tahun dulu? Mengapa hari ini baru kerajaan terhegeh-hegeh memberi   duit raya kepada peneroka, sebelum ini bagaimana?
Inilah modal   politik BN. Biarkan rakyat susah dan merempat, kemudian jadikan wang   sebagai umpan mengail undi.