Jumaat, 25 Jun 2010

Zunar: Hasil Seninya Menakutkan Najib


KUALA LUMPUR, 25 Jun: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kasihan melihat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketakutan melihat penerbitan kartun-kartun karya kartunis popular Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam satu kenyataannya hari ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan dan merampas buku kartun 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun.

Ketua Setiausaha Kementeri Dalam Negeri, Datuk Mahmud Adam berkata, buku yang diharamkan adalah Perak Darul Kartun, Isu Dalam Kartun dan 1 Funny Malaysia.

Syarikat Penerbitan Kinibooks yang juga anak syarikat Malaysiakini yang menerbitkan buku berkenaan berhadapan dengan ancaman hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali dibawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sebelum ini Zunar juga dilaporkan pernah memohon untuk mendapatkan permit penerbitan Gedung kartun, tetapi pihak KDN menolak.

Pemimpin Umno-BN yang menguasai Kerajaan tidak dapat menerima secara terbuka kritikan, sindiran dan satira yang dikemukakan dalam edisi kartun-kartun ini. Mereka terdesak untuk menafikan pandangan rakyat terhadap kezaliman, penyelewengan dan keangkuhan mereka.

PAS menyokong usaha Zunar dan Malaysiakini dalam memberikan gambaran alternatif kepada rakyat tentang Kerajaan yang selalunya digambarnya dengan imej positif sahaja melalui rangkaian media mereka, kata Idris dalam kenyataannya.

Katanya, rakyat perlu tahu apa yang kerajaan sembunyikan dari mereka.

Zunar yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan diakui ramai pihak sebagai pengkartun yang mempunyai daya kreativiti satira yang luar biasa dan mampu mengoyahkan kedudukan dan imej Najib.

Kes Kapal Selam, Dasar-dasar Najib, Pergaduhan Pemimpin Umno-BN, Kezaliman mereka, rasuah dan sebagainya adalah antara perkara yang tidak mampu dijelaskan oleh Najib tetapi mudah diterjemahkan dalam bentuk kartun oleh Zunar.

Beliau juga antara pengkartun yang berjaya menelanjangkan kebobrokan Mahathir dan Pak Lah serta Menteri-menteri mereka seperti Rafidah, Samy Vellu dan sebagainya sebelum ini dalam bentuk kartun.

Kartun adalah antara karya seni yang menarik, mudah diterima dan difahami oleh pelbagai lapisan rakyat, khususnya golongan muda. Di negara-negara luar, kartun-kartun satira sebegini bebas di diterbit dan disiarkan sama ada dipihak Kerajaan atau pembangkang.

PAS melihat tindakan KDN ini membuktikan bahawa Najib, dan pemimpin Umno-BN cukup terasa dengan penangan kartun Zunar dan kawan-kawannya, kata Idris.

Ruangan kartun Senyum Kambing dalam Utusan serta kartun-kartun lain diakhbar milik Umno-BN pun tak mampu menyaingi apa yang dihasilkan oleh Zunar.

Dan jelas, KDN dipergunakan bagi menyekat pengaruh kartun-kartun satira demi untuk menyelamatkan Imej Najib dan Umno-BN yang kini dianggap sebagai pelawak sahaja, tambah Idris.

Idris berkata, PAS akan terus menyokong usaha Zunar dan rakan-rakan pengkartunnya. PAS berharap agar KDN bersikap terbuka dan realitik serta tidak tunduk pada tekanan pemimpin politik dalam BN dalam bertindak.

-Harakahdaily