Usul tergempar mengenai skandal pembelian peralatan senjata kapal  selam  KD Tunku Abdul Rahman oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ditolak   Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan alasan perkara   itu sedang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Tian   Chua dalam sidang medianya di lobi parlimen menyatakan penghargaan   terhadap speaker kerana memberitahu sidang parlimen bahawa kes itu sudah   diambil tindakan oleh SPRM.
Sebelum ini SPRM berdolak dalik   ketika digesa Pakatan Rakyat supaya menyiasat kemungkinan terdapat   penyelewengan dalam pembelian kapal selam buatan Perancis itu.
“Kita   mahu mengucapkan terima kasih kepada speaker kerana telah memaklumkan   kepada kita bahawa kes ini sedang dalam siasatan. Kita tidak diberitahu   pun sudah ada siasatan dibuat,” kata Tian.
Menurutnya, Pakatan   Rakyat mengalu- alukan tindakan SPRM menyiasat kes yang menarik   perhatian bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga masyarakat   antarabangsa.
Tian mengesyorkan SPRM menjalinkan kerjasama dengan   kerajaan Perancis dalam usaha untuk mendapatkan lebih banyak maklumat   serta bahan- bahan rujukan.
Beliau juga menawarkan diri untuk   membantu mengadakan jalinan kerjasama antara SPRM dengan kerajaan   Perancis.
“Jika perlukan bantuan, saya sedia membantu SPRM untuk   mengadakan kerjasama dengan kerajaan Perancis dan saya sedia membantu   mencari maklumat yang SPRM inginkan,” ujarnya.