Oleh: Nik Abdul Aziz Nik Mat
Allah menyatakan bahwasanya tidak  ada Tuhan melainkan Dia (yang berhak disembah), yang menegakkan  keadilan. para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan  yang demikian itu). tak ada Tuhan melainkan Dia (yang berhak disembah),  yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Al-Imran: 18)
Alhamdulillah,  terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi  kesyukuran kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah izin-Nya,  kita dapat berkumpul di Majlis Anugerah Darul Naim (MADANI 10) yang  dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM)  pada pagi ini. Kalungan tahniah saya rakamkan kepada urusetia program  yang telah berjaya melaksanakan program ini. Tidak lupa saya mengucapkan  setinggi-tinggi terima kasih kerana dijemput untuk hadir seterusnya  menyampaikan ucapan perasmian pada pagi ini.
Saya  difahamkan bahawa majlis hari ini diadakan khusus untuk menyampaikan  anugerah kepada individu-individi yang telah banyak merencana aktiviti  bermanfaat demi pembangunan persatuan dari semua aspek. Saya yakin  bahawa individu yang terpilih untuk menerima anugerah pada hari ini  telahpun membuktikan segala komitmen dan mencurahkan kesungguhan yang  tidak berbelah bahagi di dalam memastikan aktiviti persatuan berjalan  dengan lancar ke arah akhirnya meraih keredhaan daripada Allah SWT.
Suka  saya nyatakan bahawa pemberian anugerah bukanlah satu perkara yang  asing di dalam Islam. Allah SWT telah memperkenalkan budaya pemberian  anugerah di atas kemuliaan dan kecemerlangan serta ilmu yang dimiliki.  Ini disebut di dalam al-Quran apabila Allah SWT memerintahkan para  malaikat sujud kepada Nabi Adam as di atas kelebihan ilmunya mengatasi  para malaikat.
Firman Allah SWT yang bermaksud : Dan Dia  mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, Kemudian  mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah  kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang  benar!" Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui  selain dari apa yang Telah Engkau ajarkan kepada Kami; Sesungguhnya  Engkaulah yang Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana." Allah berfirman:  "Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini." Maka  setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu. Allah  berfirman: "Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahwa Sesungguhnya Aku  mengetahui rahasia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan  dan apa yang kamu sembunyikan?" Dan (Ingatlah) ketika kami berfirman  kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," Maka sujudlah mereka  kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan  orang-orang yang kafir. (Al-Baqarah: 31-34)
Di dalam ayat ini,  Allah SWT telah menceritakan bagaimana Nabi Adam AS telah diajar dengan  pelbagai jenis ilmu oleh Allah SWT sebagai nikmat pertama yang diterima  oleh manusia. Kemampuan untuk belajar dan mengajar ini merupakan  keistimewaan yang hanya ada pada manusia dan tidak ada pada makhluk yang  lain hatta para malaikat.
Binatang ternakan contohnya, boleh  diajar untuk mematuhi perintah tuannya, tetapi tidak boleh mengembangkan  ilmu tersebut kepada binatang yang lain. Berbeza dengan manusia,  sedikit ilmu yang diperolehinya mampu untuk dikembangkan dengan lebih  meluas. Berasaskan kepada kelebihan inilah, Nabi Adam AS telah menerima  aanugerah daripada Allah SWT berupa perintahNya kepada para malaikat  supaya sujud kepada Nabi Adam.
Ini merupakan anugerah yang  pertama yang diterima daripada Allah SWT kepada manusia bagi menunjukkan  pengiktirafan terhadap kebolehan manusia menerima dan menyampaikan  ilmu. Ayat yang saya bacakan di awal ucapan tadi juga menunjukkan  pengisytiharan daripada Allah SWT bahawa penyaksian bahawa Dialah Tuhan  yang layak disembah diakui olehNya sendiri, para malaikat serta  orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan.
Ia menunjukkan  ketinggian golongan yang diberikan ilmu oleh Allah SWT. Bagaimanapun,  saya ingin mengingatkan, apa jua anugerah yang diterima pada hari ini  bukanlah sesuatu yang hakiki. Semahal manapun anugerah yang diberikan,  ia tidak dapat menandingi anugerah yang paling besar yang menanti di  akhirat kelak iaitu syurga Allah SWT. Oleh yang demikian, belajarlah,  bekerjalan dan berilah sumbangan bukan untuk anugerah yang diperolehi di  dunia tetapi untuk anugerah yang dijanjikan di akhirat.
Jika ini  berjaya diyakini oleh kita semua, Insya-allah, kita tidak kecewa jika  tidak diberikan anugerah, tidak merajuk jika sumbangan tidak dihargai,  tidak lari jika usaha kita dinafi. Bukankah kita sering membawa firman  Allah SWT di dalam surah at-Tin, ayat 5-6:
Yang bermaksud:  Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang  sebaik-baiknya. Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang  serendah-rendahnya (neraka), kecuali orang-orang yang beriman dan  mengerjakan amal saleh; Maka bagi mereka pahala yang tiada  putus-putusnya.
Ilmu, kemahiran dan segala macam pemberian yang  datang daripada Allah SWT tidak hadir secara percuma. Ia datang dengan  tanggungjawab. Ilmu yang diberikan oleh Allah SWT menuntut untuk  diamalkan. Oleh yang demikian saya ingin mengingatkan agar kita semua  sentiasa meneguhkan niat untuk melakukan amal yang soleh sesuai dengan  ilmu yang kita miliki. Ilmu yang tinggi tanpa disertai dengan amalan  yang soleh tidak akan bernilai di sisi Allah SWT.
Selain menjadi  seroang yang soleh, kita juga dituntut menjadi seorang yang musleh.  Soleh ertinya baik, musleh ertinya mendatangkan kebaikan kepada orang  lain. Menjadi soleh barangkali tidaklah terlampau payah, tetapi menjadi  seorang yang musleh bererti menempah kesukaran dan kepayahan di dalam  hidup.
Saya menyatakan peringatan ini kerana saudara-saudari  masih di alam pengajian, masih belum terserempak dengan onak ranjau yang  merintangi perjuangan, masih belum terjumpa duri-duri tajam yang  melukakan sepanjang perjalanan, masih belum bersua dengan  binatang-binatang buas yang sentiasa menanti masa membaham mangsa.
Demi  Allah yang merajai kerajaan Langit dan Bumi, telah terbukti di dalam  lembaran sejarah, para ulama yang diberikan ilmu yang tinggi oleh Allah,  akhirnya berpaling ke belakang menjadi duri dalam daging mengoyakkan  helaian ilmu yang dimiliki dan menjual prinsip demi sedikit habuan. Ada  juga golongan ulama yang kurang bijak dalam mengatur siasah, akhirnya  tertipu dengan mainan politik murahan golongan sekular, lalu menjadi  alat politik tanpa mereka sedari. Saya mengungkapkan pesanan ini agar  saudara-saudari tidak terjerumus di dalam lembah yang penuh ranjau itu.  Kerana sekali saudara-saudari terjebak ke dalam, sukar sekali untuk  bangkit dan bangun kembali.
Sejarah telah menukilkan bahawa telah  lahir golongan yang berada di barisan hadapan menentang Rasulullah SAW  sedangkan merekalah yang diberikan ilmu pengetahuan oleh Allah SWT.  Justeru, al-Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin telah  membahagikan ulama kepada ulama akhirat dan ulama dunia atau ulama su’.  Golongan ulama su’ inilah yang menjadi penghalang kepada perjuangan  Islam.
Pada zaman Rasulullah SAW, telah muncul ketua munafik  seperti Abdullah bin Ubay, yang mengepalai golongan munafiqin merosakkan  dakwah Rasulullah SAW sedangkan mereka tahu dengan sebenar-benarnya  bahawa invididu yang mereka tentang ialah nabi yang diutuskan oleh Allah  SWT. Lalu lahirlah daripada silibus perjuanga munafiq ini projek-projek  yang lahirnya nampak baik dan murni namun hakikatnya bertujuan untuk  memusnahkan Islam.
Muncullah projek Masjid Dhirar yang  diperintahkan oleh Allah SWT untuk dimusnahkan. Walaupun namanya masjid,  tetapi tujuannya untuk memecahbelahkan. Lalu menjadi tanggungjawab para  ilmuwan sekalian untuk mengenal dengan pasti yang mana satukah projek  masjid dhirar dan yang mana pula tidak. Ini penting agar para ilmuwan  yang akan muncul sebagai golongan ulama tidak terperangkap dengan  politik dhirar tanpa disedari.
Akhir kata, saya berharap supaya  saudara-saudari sekalian dapat memanfaatkan masa dan peluang yang  diberikan oleh Allah SWT pada hari ini untuk menimba ilmu dan juga  pengalaman sebanyak mungkin. Dunia hari ini tidak lagi menuntut lahirnya  mahasiswa yang menggenggam segulung ijazah semata-mata, tetapi  mahasiswa yang mampu berinteraksi dengan masyarakat.
Segulung  ijazah hanyalah merupakan pengiktirafan akademik namun belum membuktikan  saudara-saudari mampu menyumbang kepada masyarakat. Oleh yang demikian,  bahagikanlah masa sebaik mungkin di antara tuntutan akademik dan  aktiviti-aktiviti lain yang bertujuan mengasah kepimpinan dan kemahiran  urus tadbir. Semoga segala usaha yang kita lakukan mendapat ganjaran di  sisi Allah SWT.
Teks ucapan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik  Mat pada Majlis Perasmian Anugerah Darul Naim (MADANI 10) yang  dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM)  di Hotel Raudhah, Kota Bahru, 27 Jun. Teks dibacakan oleh Dr Mohd Fadzli  Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains  dan Teknologi Negeri Kelantan.
Harakahdaily/-