KUALA LUMPUR: Tokoh Islam dalam negara bersetuju dengan penubuhan Baby  Hatch atau Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini yang pertama di Malaysia,  yang boleh menyelamatkan bayi yang tidak diingini.
Mufti Perak,  Tan Sri Harussani Zakaria, berkata bayi yang tidak lagi diingini  mesti  diselamatkan, manakala ibu bapa bayi berkenaan harus dikenakan tindakan  yang keras supaya memberi pengajaran kepada orang lain.
“Saya menyokong langkah Kementerian Kementerian Pembangunan  Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Baby Hatch dalam isu ini kerana  bayi berkenaan tidak berdosa.
“Dulu kita tidak bersetuju dengan idea seperti ini kerana takut  menghantar mesej yang salah kepada orang ramai terutama remaja, tapi  pada masa sekarang kita sangat perlukan tempat sebegini untuk bayi yang  tidak berdosa,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
  Kelmarin, Penaung OrphanCARE yang juga Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom  melancarkan Pusat Perlindungan Bayi Tidak Diingini atau Baby Hatch  pertama dalam negara.
 Presiden OrphanCARE, Datuk Adnan Mohd  Tahir, berkata organisasi itu bercadang mewujudkan banyak lagi pusat  perlindungan bayi di seluruh negara bagi menyediakan tempat untuk bayi  yang dibuang atau tidak diingini lagi. Baby Hatch yang beroperasi 24 jam  menyediakan tempat perlindungan sihat dan selamat kepada bayi terbabit  sebelum diserahkan kepada keluarga angkat.
 Bekas Pegawai Agama  Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz pula berkata, usaha  mewujudkan Baby Hatch adalah baik kerana ia menjadi tempat perlindungan  bayi yang tidak bersalah serta boleh menjamin masa depan bayi itu.   
  “Kalau kita pandang dari segi satu sudut memang menggalakkan zina  tapi kita tak boleh biarkan bayi yang dilahirkan dibuang dan meninggal  begitu saja.
Malahan bayi berkenaan boleh diberikan kepada pasangan  suami isteri yang mahukan anak dan Islam menganjurkannya,” katanya.
   Penasihat Majlis Agama Negeri Johor, Datuk Noh Gadut, berkata gejala  buang bayi pada masa kini sudah semakin teruk dan kerajaan serta  pertubuhan bukan kerajaan wajar mengambil tanggungjawab menyelesaikan  perkara berkenaan.
  “Anak-anak kecil ini tidak berdosa dan  wajib kita sediakan perlindungan kepada mereka, mana tahu mereka ini  membesar menjadi anak yang soleh dan menjadi pejuang negara pada masa  depan.
  “Yang bersalah adalah ibu bapa anak kecil itu.  Masyarakat harus bersama mencegah penyakit sosial ini termasuk  melaksanakan undang-undang cegah zina yang ketat,” katanya.
   Beliau turut menyarankan masyarakat supaya berfikiran terbuka dalam  menyelesaikan masalah buang bayi serta bertanggungjawab mencegah  perbuatan zina di kalangan remaja seperti yang disyorkan oleh Islam.
~BH