Khamis, 3 Jun 2010

Sua Rasa: Media Prima Sudah Tiada Tempat Lagi Di Kedah

Semalam diputuskan dalam mesyuarat EXCO bahawa Sua Rasa dibenarkan menyewa tapak dan menjalankan aktiviti mereka, tetapi kali ini tanpa penglibatan kerajaan negeri. Dalam program itu sebelum ini, kerajaan menyumbang RM54,ooo.oo dalam program TV9 itu dan mendapat beberapa slot untuk kerajaan melalui YAB MB dan EXCO.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan pembatalan program itu di Kedah tahun ini dan telah disiarkan oleh Harakah. Langkah itu mendapat sokongan ramai sebagai pengajaran kepada Media Prima, pemilik TV9 yang juga pemilik TV3 dan beberapa media utama yang memberi laporan salah berkaitan keadaan politik Negeri Kedah.

Pihak TV9 telah merayu berulang kali kepada kerajaan menerusi semua saluran yang ada sejak berita itu disiarkan, untuk menganjurkan program itu di Kedah untuk tahun ini memandangkan semua persiapan dan hebahan telah dibuat.


Atas sikap toleransi dan kemanusiaan, setelah mengambil kira persiapan peniaga dan usahawan yang akan terlibat dalam program itu, kerajaan melalui mesyuarat EXCO semalam memutuskan TV9 sebagai penganjur boleh menyewa tapak di perkarangan stadium tetapi kerajaan negeri tidak akan terlibat langsung dengan program itu. Tidak ada sebarang keistimewaan dan pengecualian, termasuk tidak memberi sebarang sumbangan dan tajaan, YAB MB tidak akan hadir, agensi kerajaan tidak akan menyewa ruang niaga/pameran dan mereka perlu membayar sewa tapak dan semua kemudahan yang digunakan seperti penganjur program lain di tapak itu.

YAB MB juga tidak mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat EXCO seperti biasa sejak tiga minggu lalu. Selepas ini, semua sidang akhbar di Wisma Darul Aman akan dihadkan kepada media tertentu yang beretika sahaja, media berat sebelum dan memutar belit berita seperti RTM dan TV3 tidak akan dibenarkan lagi menyertai sidang akhbar YAB MB. Diharapkan penjelasan ini menjelaskan kekeliruan orang ramai yang menyokong tindakan kerajaan negeri selama ini. Pihak Predia Prima dan pihak-pihak di sebalik syarikat media itu diharap menghargai sikap toleransi dan bertimbangrasa yang ditunjukkan oleh kerajan negeri , yang hanya mengharapkan laporan yang adil tepat dan benar.

Muhamad Sanusi Md Nor
Setpol MB