Kenyataan yang disiarkan akhbar Berita Harian hari ini  jelas menunjukkan bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Umno  menyentuh isu perkauman untuk menarik perhatian kaum Bumiputera  mendaftar sebagai pengundi dengan mendakwa kononnya pendaftaran pengundi  bukan Bumiputra meningkat menjadi 40 peratus sekarang.
Ahli  Parlimen DAP-Rasah Anthony Lok Siew Fook menyatakan kenyataan  SPR tersebut jelas dilihat berkomplot bersama Umno untuk mewujudkan  kebencian belia Melayu kepada kaum lain agar mengembalikan 10 peratus  yang kononnya telah dirampas.
"Fakta pengundi bukan  Melayu yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian adalah tidak benar dan  hanya propaganda untuk menghasut golongan Bumiputera membenci kaum lain.
"Sebenarnya  pengundi Bumiputera adalah 70 peratus dan pengundi bukan Bumiputera  hanyalah 30 peratus, bukan seperti yang dinyatakan iaitu pengundi bukan  Bumiputra meningkat menjadi 40 peratus," katanya di lobi Parlimen hari  ini.
Menurutnya, dengan kenyataan sedemikian, golongan  Bumiputra akan merasa tercabar sekaligus mendaftarkan diri menjadi  pengundi dengan segera agar kaum lain tidak menguasai peratus pengundian  di negara ini.
Tambah beliau, SPR sepatutnya memberi kenyatan  tepat dan bukannya mewujudkan satu reaksi buruk kepada golongan belia  untuk mula berdaftar.
Kenyataan bersifat rasis
Ahli  Parlimen Pokok Sena Dato’ Mahfuz Omar berkata, kenyataan SPR dan Umno  mempunyai agenda politik untuk menakutkan masyarakat Melayu yang belum  berdaftar dan menyatakan seolah-olah kaum Cina di negara ini adalah satu  ancaman untuk menguasai pengundian kelak.
"Kenyataan dalam  akhbar tersebut adalah satu kenyataan yang bersifat rasis untuk  merosakkan hubungan kaum dinegara ini. Sepatutnya SPR dan Umno harus  menyalahkan diri mereka sendiri berikutan kekurangan pendaftar  Bumiputera kerana membenci mereka.
"Kerajaan Umno dan  SPR seharusnya lebih bersedia untuk meminda perlembagaan atau peraturan  pilihan raya melibatkan pendaftaraan automatik jika umur sudah mencapai  21 tahun, agar tidak timbul persoalan ini lagi," katanya.
~FMT