GUA MUSANG, 27 Jun — Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah  berkata beliau sedia menjadi saksi bagi pihak kerajaan negeri Kelantan  sekiranya kerajaan negeri itu membawa kes tuntutan royalti minyak ke  mahkamah.
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata tawaran itu dibuat  kerana beliau lebih mengetahui mengenai perkara itu berikutan pernah  dilantik sebagai orang bertanggungjawab dan ditugaskan menubuhkan  Petronas serta terbabit dalam penyediaan Akta Petroleum.
“Saya  boleh jadi saksi mengenai perkara itu kerana Akta Petroleum yang dipakai  sampai sekarang adalah adil untuk kerajaan negeri terbabit membuat  tuntutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung  Persatuan Iba Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Chiku 2,  dekat sini, hari ini.
Sebelum ini, Exco kerajaan negeri dan  Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Royalti Datuk Husam Musa berkata  kerajaan negeri Kelantan akan membawa isu royalti minyak ke mahkamah  pada 30 Ogos nanti.
Kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS  bertegas mahukan kerajaan pusat membayar royalti minyak dan bukan wang  ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri tersebut tidak layak menerima  royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak  lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.
Kerajaan  pusat setakat ini telah menyerahkan wang ihsan sebanyak RM25 juta  kepada penduduk Kelantan.
Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno  Bahagian Gua Musang berkata Akta Petroleum memberi hak kepada  negeri-negeri yang mengeluarkan minyak menuntut hak royalti minyak.
Bagaimanapun,  katanya beliau menyerahkan kepada kerajaan negeri Kelantan untuk  membawa kes royalti minyak ke mahkamah dan beliau bersedia menjadi  saksi. — Bernama