Isnin, 14 Jun 2010

RMK-10: Ulasan Anwar Ibrahim

YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak telah melancarkan Rancangan Malaysia ke 10 pada 10hb Jun 2010 dengan harapan melonjakkan prestasi ekonomi dan sosial negara kepada tahap yang lebih tinggi serta meyakinkan. Rancangan Malaysia ke 10 ini diwar warkan sebagai satu strategi ampuh yang mampu memacu negara untuk mencapai cita-cita wawasan 2020 serta mengembalikannya ke landasan yang tepat dan memulihkan ekonomi negara yang hampir satu dasarwasa berada dalam keadaan lesu dan laih.

Maka tatkala ghairah menyambut kebijakan tersebut, perlu disingkap dua Rancangan Malaysia sebelumnya. Perbandingan harus dibuat agar penilaian yang jujur mampu diungkapkan. Apa ertinya segala pengumuman yang muluk muluk serta pembentangan kebijakan di Dewan ini sekiranya hasrat serta sasaran Rancangan Malaysia sebelumnya pun belum lagi tertunai.

Tatkala membentangkan belanjawan 1994, pada bulan Oktober 1993, saya mengungkapkan kepentingan buat kita merenung serta menginsafi peringatan Allah SWT dalam Surah Yusuf, agar tujuh tahun subur menjadi persedian buat kita menghadapi sebarang kemungkinan pada tahun berikutnya. Saya mengingatkan bahawa putaran kemakmuran dan kemelesetan kerap datang silih berganti, namun ianya bukanlah tidak dapat dielakkan. Bahkan kerapkali kemakmuran boleh bertukar menjadi kegersangan ekonomi kerana kita alpa, boros dan berfikiran singkat dalam perencanaan.

Kita sedar keadaan ekonomi sejagat pastinya memberi kesan kepada kedudukan ekonomi negara. Krisis kewangan mutakhir ini telah memaksa kita untuk keluar dari kerangka lama dan cerdas merangka kebijakan baru yang berupaya memacu kembali ekonomi negara. Ahli ekonomi terkemuka seperti Paul Krugman, Nouriel Roubini dan pemikir serta ahli sejarah terkemuka seumpama Tony Judt, menggesa kerajaan untuk tidak dogmatik dan masih berpaut kepada kaedah usang, apatah lagi jika terbukti walau diulang-ulang tidak mampu memulihkan keadaan.

Roubini misalnya dalam karya terbarunya berjudul Crisis Economics menghimbau surat yang dikirim John Maynard Keynes kepada George Bernard Shaw sekitar Januari 1935 apabila beliau selesai menulis The General Theory of Employment, Interest and Money,”… you have to know that I believe myself to be writing a book on economic theory which will largely revolutionize – not, I suppose, at once but in the course of the next ten years – the way the world thinks about economic problems.”

Roubini sengaja menghimbau kandungan surat itu untuk memperlihatkan kepada kita bukan sahaja cita-cita Keynes untuk menulis sebuah adikarya, akan tetapi gesaan yang ada pada ahli ekonomi masyhur itu untuk menawarkan satu kaedah yang baru dan tentunya radikal bagi memulihkan dunia dari malang The Great Depression.

Sebab itu, apabila kita berbicara mengenai anjakan ekonomi negara, kita perlu kembali kepada perintah Allah SWT di dalam Surah Al-Hasyr ayat 7

….supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”

Matlamat kebijakan ekonomi yang baik adalah untuk membela yang tertindas dan menjamin keadilan; maka sewajibnya RMK10 dinilai bukan sahaja dari aspek keupayaan memulihkan kembali ekonomi negara yang lesu; tetapi juga keikhlasan memartabatkan kebajikan rakyat terbanyak.

Dari segi pendekatan dan pemikiran RMK 10 ternyata tidak berbeda berbanding Rancangan Malaysia yang sebelumnya, sedangkan ekonomi negara kini berada di persimpangan.

RMK10 diwar warkan sebagai satu perancangan yang berteraskan Model Ekonomi Baru. Kebijakan ini digambarkan mampu menggembeling ekonomi Malaysia keluar dari kelesuan yang dialami lebih dari satu dekad.

Di atas nama penswastaan, kroni diutamakan dan didahulukan sementara rakyat bakal berdepan dengan beban kos saraan awam yang meningkat.

Tidaklah menghairankan apabila salah satu dari ukuran yang boleh diambil kira adalah reaksi pasaran terhadap pembentangan RMK 10. Sejurus selepas pembentangan, Indeks Komposit di Bursa Malaysia hanya menokok sebanyak 1.23 mata apabila pasaran ditutup pada 10 Jun, iaitu kurang dari 0.1% sedangkan rancangan ini dipersembahkan sebagai nadi baru ekonomi negara.

EKONOMI MALAYSIA: HUTANG DIWARISKAN, KEBERDAYASAINGAN SEMAKIN MALAP

Sewajarnya kita meneliti beberapa perkara berkaitan asas ekonomi dan kelembapan daya saing negara sebelum mengulas dengan terperinci langkah-langkah yang diumumkan kerajaan. Justeru adalah munasabah buat kita menilai kembali prestasi pengurusan ekonomi samada sepanjang dekad ini telahpun mencapai matlamat pertumbuhan yang disasarkan. Manakala itu kedudukan daya saing mutakhir ini perlu kita semak agar tidak terus terbawa-bawa dengan kaedah perancangan untuk satu jangka masa yang lama sedangkan matlamat dari kebijakan tersebut gagal dilaksanakan; janganlah nanti ibarat pesan pepatah Melayu jika asyik memangku tangan, kelak mati angan-angan.

Rancangan Malaysia Ke-Lapan (RMK8) misalnya mensasarkan pertumbuhan purata sebanyak 7.5% bagi tahun 2001 hingga 2005. Sepanjang tempoh tersebut, kita hanya mencapai pertumbuhan pada kadar 4.7% sahaja.

Keadaannya lebih parah sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK9). Walaupun kerajaan Barisan Nasional menuntut pembayaran dari PETRONAS yang berjumlah RM235.6 billion di antara tahun 2006 hingga 2009, ekonomi Malaysia hanya berkembang pada purata 4.2% setahun sedangkan sasaran RMK9 adalah 6%.

Daripada sejumlah RM431 billion yang dibayar kepada kerajaan oleh PETRONAS sejak penubuhannya, 55% dibelanjakan dalam tempoh 3 tahun sahaja tanpa sedikit pun kesan kepada hala tuju ekonomi negara.

Dengan jumlah pembayaran sedemikian besar oleh PETRONAS, kita pastinya berharap kedudukan hutang awam kerajaan sewajarnya berada di paras yang baik. Di negara-negara lain, kebergantungan kepada hutang akan berkurangan jika sebuah syarikat milik kerajaan mampu menyumbang sehingga 45% pendapatan tahunan kerajaan.??

Sumber dari PEMANDU dan dokumen RMK10 mengakui hakikat bahawa kedudukan hutang negara berada pada paras 53.3% berbanding KDNK pada akhir tahun 2009.

Amalan kebergantungan kepada hutang yang djelaskan tadi adalah berbeza dengan amalan negara-negara membangun lain yang kini mendahului kita.

Kemunculan Brazil sebagai sebuah kuasa ekonomi baru dunia misalnya didahului dengan disiplin penurunan hutang awam yang dipuji komuniti kewangan antarabangsa. Ketika Malaysia semakin ketagih dengan hutang, iltizam kerajaan Brazil untuk mengurangkan nisbah hutang awam berbanding KDNK dari paras 65.5% pada tahun 2002 kepada 38.8% pada tahun 2008 wajar dicontohi.

Malah Indonesia juga memperlihatkan disiplin penurunan hutang yang seharusnya dipuji. Indonesia yang berjaya mengurangkan hutang negara secara mendadak dari paras 77% pada tahun 2001 kepada 29% pada tahun 2009 (Carta 2).

Amalan ini cukup berbeza dengan disiplin fiskal yang baik sebelum tahun 1998. Dalam tempoh di antara 1991 hingga 1998, kerajaan telah berjaya membuat prapembayaran hutang negara sehingga RM12 billion kerana kita sedar amanah yang dipikul untuk meringankan beban hutang agar tidak diwarisi kepada generasi akan datang.

Walaupun pentadbiran sekarang memberi alasan kebergantungan kepada hutang ini adalah berpunca dari keperluan rangsangan fiskal, bagaimana mahu dijelaskan apabila negara-negara seperti Indonesia dan Brazil mampu berkembang dengan pesat tanpa meningkatkan hutang negara secara berterusan? Saya tidak nampak kewajaran mengapa Malaysia mengambil langkah yang berbeza dan menidakkan keperluan mencontohi disiplin seperti mengurangkan beban hutang negara?

Pada tahun 2009, defisit belanjawan negara mencecah paras 7.4% dari KDNK walaupun dijangka susut pada paras 5.3% bagi tahun 2010. Jika diambil kira kajian IMF untuk menilai kedudukan defisit belanjawan tanpa sumber petroleum, Malaysia sudah pun berada di tahap kronik.

1998 1999 2000 2001 2002 2003 2004 2005 2006 2007 2008 2009
Nota 1
Dengan hasil minyak 1.8 3.2 5.5 5.2 5.3 5.0 4.1 3.6 3.3 3.2 4.8 7.4
Nota 2
Tanpa hasil minyak 6.8 8.6 8.8 11.7 15.1
Jadual 3: Defisit belanjawan 1998 – 2009

Saya nukilkan di sini janji kerajaan di dalam RMK8 muka surat 28: “Dengan peningkatan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan yang sederhana pada kadar 4.6%, kedudukan kewangan sektor awam akan mengukuh ke arah konsolidasi dan matlamat belanjawan berimbang pada akhir tempoh Rancangan Malaysia Kelapan.”

Bukan sahaja matlamat belanjawan berimbang tidak tercapai di akhir tempoh RMK8, kerajaan terus terikat dengan masalah defisit.

Kemudian semasa mengumumkan RMK9, kerajaan sekali lagi berjanji untuk mengurangkan defisit dengan mengawal perbelanjaan. Kerajaan mensasarkan penurunan defisit ke paras 3.4% dari KDNK menjelang tahun 2010 sedangkan sasaran RMK8 pun tidak tertunai.

Sebab itu kita pandang serius sikap tidak acuh kerajaan kerana setelah gagal dua kali berturut-turut, sekali lagi kerajaan membentangkan sasaran penurunan defisit yang sangat bercita-cita tinggi bagi tempoh RMK10.

Sikap kerajaan ini umpama jelongak kerbau lampung yang lupa pada pesan nenek moyang supaya berenang di air dalam, bercebok di air dangkal.

Saya secara jujur menolak kebarangkalian mencapai sasaran defisit 2.8% dari KDNK menjelang 2015 seperti yang dijanjikan oleh kerajaan. Bukan sahaja pendekatan yang digariskan di dalam RMK10 adalah pendekatan yang sama dan terbukti gagal di dalam RMK8 dan RMK9, kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri dalam tempoh satu tahun yang lepas tidak menampakkan iltizam politik yang kuat untuk mengurangkan defisit.

Langkah-langkah yang diumumkan oleh kerajaan untuk mengawal defisit sejak dari awal-awal lagi dimansuhkan kerajaan. Mulanya kerajaan membawa kembali Real Property Gains Tax (RPGT), tetapi tidak sampai 2 bulan selepas diumumkan di dalam belanjawan 2010 pada 23 Oktober 2009, YAB Perdana Menteri memansuhkan sebahagian besar liputan percukaian itu.

Kemudian, kerajaan membelanjakan wang untuk melaksanakan Akta Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang sepatutnya dibentangkan di dalam sidang yang lepas untuk mengurangkan defisit. Akhirnya rakyat pula yang dipersalahkan, kononnya tidak faham konsep GST apabila kerajaan membuat keputusan menangguhkan pelaksanaan GST selepas tahun 2011.

Terbaru, mantan Timbalan Menteri Kewangan YB Alor Setar mengumumkan keputusan kerajaan meluluskan lesen judi sukan kepada Ascot Sports antara lainnya adalah bertujuan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan yang dianggarkan berjumlah RM4 billion. Namun, tuntas dengan tabiat membatalkan keputusan yang baru dibuat, YAB Menteri Kewangan sendiri menafikan bahawa lesen judi telah diluluskan kepada Ascot Sports.

Contoh-contoh berdolak dalik sebegini adalah bukti bahawa kerajaan tidak mempunyai iltizam politik dan kebertanggungjawaban untuk mencapai sasaran menurunkan defisit kerana takut dengan bayang-bayang sendiri. Kecenderongan sebegini jugalah yang selama ini telah melunturkan keyakinan pelabur sehingga mengakibatkan prestasi ekonomi tidak memenuhi potensinya.

Dari sudut upaya pembasmian kemiskinan, kerajaan juga tersasar dari janji yang diberikan pada RMK9. Kadar kemiskinan tegar pada tahun 2009 adalah 0.7% berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 0.5% sementara kadar kemiskinan keseluruhan hanya turun pada kadar 3.8% berbanding sasaran iaitu 2.8%.

Itu pun setelah kerajaan meletakkan Paras Garis Kemiskinan (PGK) purata yang saya kira terlalu rendah iaitu RM800 sebulan untuk menampung saiz isi rumah seramai 6 orang, iaitu saiz isi rumah purata bagi golongan miskin. Paras yang terlalu rendah ini berbeza dari dasar kerajaan sendiri melalui pelaksanaan Sistem e-Kasih yang turut mengiktiraf isi rumah yang berpendapatan di bawah RM1,000 sebulan di luar bandar dan RM1,500 sebulan di bandar; sebagai layak untuk menerima bantuan kerajaan kerana tergolong di dalam kategori miskin.

Saya pertikaikan kecenderongan memanipulasi data ekonomi sebegini supaya kerajaan dapat menwar-warkan kejayaan membasmi kemiskinan, sedangkan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham ketika menjawab soalan dari YAB Tan Sri Khalid di dewan ini pada 24 Jun 2008 mengakui bahawa kadar kemiskinan di Malaysia sebenarnya berada di tahap 24.3% sekiranya PGK dinaikkan kepada RM1,500 sebulan. Paras RM1,500 ini sudah pun digunapakai di dalam Sistem e-Kasih, jadi kenapa kerajaan tidak mahu berterus terang dengan rakyat bahawa kadar kemiskinan kita adalah jauh lebih tinggi dari yang diumumkan?

Hakikatnya kita perlu menerima kenyataan bahawa kita telah jauh ke belakang, bukan saja kerana kita tidak mencapai satu pun sasaran yang ditetapkan di dalam dua RMK yang lepas namun kita juga menyaksikan jiran-jiran kita lebih pantas dan cerdas memacu pertumbuhan ekonomi negara masing-masing.

Sejak dua tahun yang lepas, kita ditinggalkan Indonesia dari segenap aspek. Dari segi pertumbuhan KDNK – Indonesia mencatat pertumbuhan 6% bagi tahun 2008 dan 4.6% bagi tahun 2009; sedangkan kita merangkak pada kadar 4.7% bagi tahun 2008 malah menguncup pada tahun lepas.

Dari segi pelaburan asing, kita hanya menerima RM46 billion (2008) dan RM22 billion pada tahun lepas berbanding Indonesia iaitu RM50.6 billion (2008) dan RM37.9 billion (2009).

Paling mendukacitakan, dikala sektor pekerjaan di Indonesia mengalami kadar kenaikan gaji secara purata 10% di antara tahun 2007 dan 2009 – rakyat kita yang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi hanya menikmati peratus kenaikan gaji 4.7% bagi tahun 2009 dan 6.3% bagi tahun 2008 iaitu hampir pada paras inflasi tahun 2008 dan 2009.

Malaysia kini bukan sahaja ditinggalkan oleh Indonesia dan Singapura. Di rantau ini, perbandingan dengan negara-negara jiran yang suatu ketika dahulu lebih mundur sewajarnya membimbangkan kita. Selain Singapura dan Indonesia, kita juga lelah bersaing dengan Thailand dan Vietnam. Tidak lama lagi, Filipina juga akan meninggalkan kita kecualilah Malaysia menerimapakai kebijakan ekonomi yang lebih drastik tetapi realistik dan disusuli pula dengan iltizam pelaksanaan yang telus dan jujur.

Jumlah pelaburan asing/FDI
(USD billion)
2007 2008
Singapura 4.3 31.6 22.7
Indonesia 5.1 14.9 10.8
Vietnam 7.3 6.7 8.1
Thailand 4.0 11.2 10.1
Malaysia 4.3 13.5 6.3
Filipina 4.4 2.9 1.5
Jadual 4: Perbandingan pertumbuhan ekonomi dan pelaburan asing di rantau Asia Tenggara

Jika keadaan ini berterusan, keberdayasaingan Malaysia akan terjejas. Dalam ekonomi global yang dinamik dan saling berhubungkait, keberdayasaingan yang malap akan menyekat potensi ekonomi negara.

Agak menghairankan apabila kerajaan beriya iya dengan kedudukan Malaysia di tempat ke-10 dalam senarai keberdayasaingan terkini yang diterbitkan Institute for Management Development (IMD), sedangkan selama ini senarai tersebut tidak pernah digunapakai untuk mengukur keberdayasaingan kita.

Perincian perbandingan oleh IMD itu wajar dikaji dengan teliti untuk memahami kedudukan kita, kerana senarai keberdayasaingan dunia yang lebih menyeluruh terbitan World Economic Forum memberikan gambaran yang berbeza.

Setiap tahun, World Economic Forum akan menerbitkan kedudukan 134 negara di dalam senarai Indeks Keberdayasaingan Dunia (Global Competitiveness Index).

Kedudukan Malaysia sebenarnya semakin merudum setiap tahun. Dalam senarai tahun 2007, Malaysia menduduki tangga 19 seterusnya jatuh dan kekal di tangga 21 pada dua tahun yang berikutnya. Dalam senarai terkini, kedudukan kita merosot lagi ke tangga 24, lebih rendah dari oleh UAE, Qatar, Luzembourg dan New Zealand yang sebelum ini berada di belakang kita.

Saya ingin menarik perhatian Dewan kepada komen khusus oleh World Economic Forum yang menjelaskan kedudukan Malaysia yang semakin merosot sejak 2007 (dengan izin): “Malaysia (24th) drops three positions, essentially as the result of a much poorer assessment of its institutional framework. In this area, every indicator has been exhibiting a downward trend since 2007, causing Malaysia to tumble from 17th to 43rd position in this dimension in just two years. Security is of particular concern (85th, down 25 ranks). According to the business community, the potential of terrorism (97th) and crime (95th) both impose significant business costs. Also of concern is the budget deficit, which increased in 2008, amounting to almost 5 percent of Malaysia’s GDP.”

Indeks ini yang mengambil kira pandangan komuniti perniagaan dan pimpinan korporat dunia menggambarkan persepsi masyarakat dunia mengenai keberdayasaingan dan tarikan Malaysia kepada pelabur antarabangsa.

Perhatian yang khusus perlu diberikan untuk mengukuhkan kredibiliti dan integriti institusi-institusi awam kerana sudah jelas imejnya yang tercalar menjadi faktor yang menjejaskan kemampuan kita menarik pelabur asing pada ketika ekonomi negara benar-benar memerlukan suntikan pelaburan asing.

Pandangan komuniti perniagaan antarabangsa terhadap keberdayasaingan Malaysia yang semakin merosot ini juga konsisten dengan satu lagi laporan besar iaitu Doing Business Report 2010 kelolaan Bank Dunia. Malaysia jatuh dua anak tangga ke kedudukan 23 berbanding tahun sebelumnya.

Tanpa dasar ekonomi yang berani dan pelaksanaan yang ikhlas, kerajaan akan terus bersembunyi di sebalik slogan mencapai ekonomi berpendapatan tinggi sedangkan gaji pekerja hanya menokok ke paras purata inflasi, harga barangan keperluan semakin naik dan akhirnya, Barisan Nasional akan meninggalkan pusaka hutang yang besar kepada generasi akan datang.

PRESTASI RANCANGAN MALAYSIA YANG TERDAHULU
Tuan Yang diPertua, saya telah menyentuh mengenai kegagalan kita mencapai sasaran makro ekonomi dalam kedua-dua Rancangan Malaysia yang lepas.

Kegagalan ini berpunca dari tabiat kerajaan yang suka membuat pengumuman besar untuk mengabui mata rakyat; gah dengan projek-projek mega tetapi di akhir tempoh perancangan – projek-projek tersebut gagal dijalankan, laksana meriam buluh yang hanya kuat berdetum tetapi tidak berguna ketika perang.

Umum menyedari pelbagai koridor telah diumumkan dalam RMK9. Kerajaan mensasarkan pelaburan sebanyak RM145 billion. Tetapi pelaburan sebenar yang diluluskan setelah tamat tempoh RMK9 hanyalah RM40.7 billion iaitu 28% dari sasaran kerajaan.

Pelaburan
(RM billion)
Diumumkan Sebenar
Wilayah Pembangunan Iskandar 47.00 59.58 22.64
Koridor Utara 28.00 39.94 1.40
Koridor Timur 20.00 28.30 2.06
Koridor Sabah 16.00 30.06 11.95
Koridor Sarawak 34.00 87.61 2.69
Jumlah 145.00 245.49 40.70
Jadual 3: Jumlah pelaburan ke koridor pembangunan

Sebab itu, saya ingin mengingatkan kembali beberapa projek dan sasaran yang telah diumumkan pada tahun tahun sebelumnya namun sehingga kini masih belum dilaksanakan.

Melalui peruntukan berjumlah RM11.4 billion di dalam RMK9, sektor pertanian disasarkan sebagai penjana ekonomi baru negara dan akan berkembang pada kadar 5.2%. Angka di mukasurat 382 menunjukkan pertumbuhan sepanjang RMK9 hanya sekitar 3% sahaja walaupun sejumlah wang diperuntukkan.

Di bawah RMK9 juga, kerajaan mengumumkan penubuhan Pusat Fidlot Kebangsaan (National Feedlot Centre), sebuah projek usahama di antara kerajaan Negeri Sembilan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang dibina di Gemas. Sebuah syarikat bernama Agroscience Industries Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 4 Mac 2005 dan dimiliki oleh seorang anak dan suami kepada menteri kabinet telah diberi tanggungjawab melaksanakan projek yang melibatkan anggaran pelaburan berjumlah RM250 juta. Anak muda itu pada ketika menerima anugerah projek ini baru berumur 20 tahun dan tidak pernah ada pengalaman di dalam sektor penternakan lembu secara besar-besaran.

Jika benar Felda diminta untuk mengambilalih pusat tersebut dari pengurusan anak kepada menteri ini, atas dasar apa Felda diarahkan berbuat demikian?

Pertanian juga menjadi salah satu sasaran teras RMK9 yang bertujuan mengurangkan pergantungan kepada import makanan. Kerajaan meletakkan sasaran pengurangan import makanan sebanyak 1.5% sepanjang tempoh RMK9 iaitu dari RM15.4 billion pada tahun 2005 kepada RM14.3 billion pada tahun 2010. Bukan sahaja peruntukan sebanyak RM11.4 billion tidak mencapai pertumbuhan yang disasarkan, import makanan negara telah mencecah paras RM28 billion bagi tahun 2008.

Kita juga masih ingat dengan cadangan menaiktaraf pengangkutan awam di Lembah Kelang yang menjadi pengumuman utama di dalam RMK9 selaras dengan sasaran untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam ke paras 30%, berbanding paras 16% diawal RMK9. Malah, YAB Pekan sendiri yang mengumumkan rangkaian LRT baru dari Kota Damansara dan Cheras pada bulan Oktober 2006 yang kononnya mengambil masa 4 tahun untuk disiapkan menjelang tahun 2012.

Pertengahan tahun 2010 sudah pun dilewati tetapi rakyat masih menunggu bermulanya pembinaan yang dijanjikan dalam tahun 2006 itu. Sebaliknya yang mereka dapat adalah satu lagi pengumuman besar yang menjanjikan sistem pengangkutan bersepadu di Lembah Kelang walaupun ia perkara sama yang telah didengari sejak sedekad yang lalu.

Tetapi kerajaan tidak boleh berterusan dengan rekod kegagalan melaksanakan janji dan projek seperti ini, kemudian kembali kepada rakyat dengan janji dan projek yang sama di dalam RMK yang seterusnya.
Ini tidak ubah seperti teguran sinis Albert Einstein bahawa (dengan izin): “the definition of insanity is doing the same thing over and over again, but expecting different results”.

Ini bukan sahaja persoalan prestasi buruk tetapi persoalan amanah dan kebajikan rakyat apabila hutang yang dibuat pada hari ini diwariskan kepada generasi akan datang bersama-sama ekonomi yang hilang keberdayasaingan; setelah kekayaan negara diselewengkan.

RMK10: REFORMASI MENYELURUH PENYELESAIAN KELESUAN EKONOMI, BUKAN SENARAI PROJEK YANG BARU
Tuan Yang diPertua, kita berdepan dengan suasana getir untuk menafaskan kembali ekonomi negara supaya dapat mendahului pesaing-pesaing serantau. Ada beberapa perkara pokok di dalam permasalahan ekonomi negara yang perlu dirungkaikan secara teratur dan secepat mungkin sekiranya kita ingin berada di landasan yang betul.

Ibn Khaldun memberi gambaran terbaik beban amanah yang dipikul oleh kerajaan untuk rakyatnya. Menurut beliau, sebuah kerajaan itu adalah sebuah institusi yang menghalang ketidakadilan dari berlaku, kecualilah kerajaan itu sendiri yang curang.

Dalam kitab ekonomi dan pengurusan tersohor bernama Al-Muqaddimah, Bab 2 beliau menjelaskan lagi bala kepada ekonomi apabila pemimpin yang ada berlaku curang kepada rakyatnya. Beliau menggambarkan kemusnahan apabila pimpinan kerajaan bergelumang dengan “salah laku, buruk akhlak, ketidakikhlasan dan tipu daya untuk mengaut kekayaan. Hati mereka memikirkan dan mencari jalan untuk menggunakan semua helah bagi tujuan itu. Akibatnya rakyat pun turut terheret dengan penipuan, perjudian, kecurian dan riba”.

Kenyataan ini telah diterima pakai selama beribu tahun lamanya. Penegasan Ibn Khaldun itu diulang dan digariskan lagi oleh ahli-ahli ekonomi mutakhir dan menjadi peringatan sepanjang zaman.

Seorang editor The Economist bernama Charles Wheelan mengumpulkan hasil-hasil kajian pakar ekonomi tersohor yang telah memenangi Anugerah Nobel sejak 50 tahun lepas. Beliau merumuskan bahawa secara lazimnya, kajian-kajian tersebut meletakkan 6 prasyarat yang perlu ada supaya ekonomi dapat berkembang dengan sihat dan berterusan di samping menjamin kesejahteraan rakyat.

Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:

i. Pertama, institusi kerajaan yang cekap dan berkredibiliti;

ii. Kedua, sistem ekonomi yang menjamin hak milik harta dengan mengiktiraf hak rakyat dan hak individu;

iii. Ketiga, peraturan dan undang-undang yang bertepatan dan tidak keterlaluan sehingga menyekat perkembangan ekonomi;

iv. Keempat, sumber manusia yang berdaya maju dan inovatif dengan berlandaskan sistem nilai untuk mengelakkan aktiviti mengaut keuntungan yang melampaui batasan moral;

v. Kelima, keterbukaan kepada amalan perdagangan dan persaingan tanpa pilih kasih; dan

vi. Keenam, dasar fiskal dan monetari yang bertanggungjawab dengan didokong pelaksanaan yang telus dan cekap.

Saya ingin membuat beberapa syor di dalam beberapa aspek pokok permasalahan ekonomi negara kita supaya ciri-ciri yang enam ini dapat diterapkan dan menjadi asas kepada urustadbir ekonomi kita.

Krisis Pelaburan Swasta
Tuan Yang diPertua, saya telah membawa isu krisis pelaburan swasta seawal sessi pertama Dewan pada 16 Mac 2010 sebelum kerajaan membentangkan Model Ekonomi Baru atau RMK10. Pada ketika itu, rakyat digula-gulakan dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab seolah-olah semuanya bagus dengan prestasi ekonomi negara.

Tetapi data pelaburan swasta sejak tahun 1998 menunjukkan kebergantungan kepada perbelanjaan awam untuk menjana ekonomi sehinggakan peranan yang sebelum itu dimainkan secara berkesan oleh sektor swasta diambil alih oleh kerajaan sejak tahun 2000. Ini tidak ubah ibarat sebuah jet pejuang yang terpaksa menggunakan enjin kereta untuk terbang apabila enjinnya yang lama sudah hilang; sudah tentu jet pejuang itu tersadai dan tidak dapat terbang.

Begitulah kedudukannya sejak sedekad lalu dan ini disahkan oleh kajian Prof KS Jomo yang menunjukkan pertumbuhan tahunan purata pelaburan swasta sepanjang RMK8 hanyalah 1%, sementara pertumbuhan sepanjang RMK9 hanya menokok kepada 2%. Ini jauh berbeza berbanding pertumbuhan purata pada kadar 16.2% sepanjang RMK6 dan RMK7.

RMK10 meletakkan sasaran yang tinggi untuk melonjakkan jumlah pelaburan swasta bagi mengekang tabiat kebergantungan kepada perbelanjaan awam yang melebarkan jurang defisit negara.

Kerajaan mensasarkan pertumbuhan purata pelaburan swasta sebanyak 12.8% setahun, iaitu mencapai tahap RM115 billion mengikut harga semasa. Laporan terkini bagi April 2010 yang dikeluarkan Bank Negara menunjukkan pelaburan swasta bagi tahun 2009 (pada harga semasa) hanyalah berjumlah RM65 billion.

Maksudnya, ekonomi Malaysia perlu mencapai peningkatan pelaburan swasta tambahan RM50 billion jika sasaran tahunan RM115 billion ini hendak dicapai, kemudiannya dikekalkan pada tahap itu untuk berkembang sebanyak 12.8% setiap tahun. Profesor Emeritus Dr Mohamed Ariff juga berpandangan bahawa adalah sesuatu yang sukar buat negara untuk memenuhi metalamat tersebut. Ini adalah kerana sepanjang Rancangan Malaysia ke 9, pelaburan hanya berkembang pada kadar 2% sahaja. Perlu kita memberi perhatian terhadap peringatan beliau manakala kita akui pelaburan asing(FDI) sememangnya terkesan akibat krisis kewangan, namun negara Singapura masih berupaya mencatatkan pertumbuhan FDI sebanyak 9% dan China 10% sedangkan kita hanya mencatatkan pertumbuhan FDI sebanyak 1%.

Kalau ini diterjemahkan dalam istilah kampung, seorang pesawah padi perlu menggandakan hasil padi sebanyak dua kali ganda dalam masa setahun sedangkan keluasan relung sawahnya tetap sama dan modalnya tetap sama.

Saya mengucapkan tahniah kerana kerajaan bercita-cita tinggi tetapi kita juga perlu realistik, kerana menyediakan infrastruktur untuk mencapai sasaran ini melibatkan wang rakyat. Sasaran yang tidak realistik sudah tentu tidak dapat dicapai, jadi wang rakyat yang dibelanjakan untuk membina infrastruktur dan menyediakan mekanisme itu nanti adalah satu pembaziran, tidak ubah seperti pelbagai skim dan institusi yang ditubuhkan tetapi langsung tidak berkesan merangsang pelaburan swasta.

Dalam setiap RMK, kerajaan akan mengumumkan penubuhan pelbagai tabung dan peruntukan sejumlah wang yang besar. RMK10 memperuntukkan dana sebanyak RM20 billion dalam pelbagai bentuk sebagai bantuan untuk menggalakkan penyertaan swasta.

Namun, ujian sebenar bukannya sebesar mana pengumuman peruntukan yang dibuat tetapi sistem dan mekanisme yang telus untuk memastikan peruntukan ini sampai ke sektor swasta yang memerlukannya.

Saya ingin menarik perhatian kepada statistik di mukasurat 89 RMK10 yang menunjukkan 84% dari firma yang ditinjau menyatakan kekurangan sumber kewangan yang sesuai sebagai faktor penghalang aktiviti inovasi, yang seterusnya menyekat perkembangan sektor swasta.

Di sini kita berdepan dengan realiti perancangan ekonomi yang berbeza dengan pelaksanaan. Saya ajukan kepada kerajaan bahawa mekanisme agihan dana yang bertujuan menyuntik nafas ke sektor swasta perlu dirombak supaya ia telus dan tidak disalahgunakan.

Contoh yang baik adalah pengagihan Tabung Makanan di bawah RMK9 yang berjumlah RM2 billion. Kenapa kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM250 juta kepada satu syarikat milik anak dan suami menteri seperti yang disebut sebentar tadi. Kalaulah RM250 juta ini diagihkan dengan lebih telus kepada 5,000 orang kesan gandaan kepada ekonomi setempat akan membawa kesejahteraan dengan lebih meluas kepada rakyat terbanyak, bukannya tertumpu di tangan mereka yang sudah kaya dan berkedudukan.

Sebab itu, langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan pelaburan swasta melalui peruntukan kerajaan tidak akan berjaya sekiranya kerangka dan kaedah agihan dana ini tidak dibebaskan dari campur tangan politik dan penyelewengan.

Kerangka itu perlu dirombak agar amalan urus tadbir baik diseimbangkan dengan kawalan kredit yang berpadanan agar tidak terlalu menekan usahawan. Pemantauan sedia ada tidak berkesan dan tugas tersebut perlu diberikan keutamaan di peringkat tertinggi kerajaan agar Dana Fasilitasi yang diumumkan berjumlah RM20 billion dalam RMK10 tidak hilang begitu sahaja.

Saya juga mengingatkan supaya kerajaan tidak membelakangkan prinsip ketelusan dan urustadbir yang baik dengan mengkudakan syarikat berkaitan kerajaan dan institusi pelaburan awam seperti PNB dan KWSP untuk menyuntik modal ke dalam projek-projek swasta yang berkait rapat dengan kroni tetapi tidak mempunyai potensi ekonomi; atas nama meningkatkan pelaburan swasta.

Selain tabiat ini tidak bermoral dan merupakan amalan haprak mereka yang bergelumang dengan rasuah, pendekatan ini akan mewujudkan kebergantungan baru dan kecenderongan menggunakan GLC dan dana agensi pelaburan awam untuk menampung perbelanjaan negara untuk mengurangkan defisit. Apabila tanggungjawab perbelanjaan awam dipindahkan ke GLC dan agensi pelaburan awam, matlamat dan fokus mereka akan berubah.

Apatah lagi apabila keputusan-keputusan kerajaan berhubung GLC dan prestasi GLC sendiri mengundang banyak persoalan.

Terbaru, rakyat dikejutkan dengan berita kerugian berjumlah RM946 juta yang dialami konglomerat Sime Darby kerana kenaikan kos mendadak projek-projeknya di Qatar dan Bakun. Kerugian itu tidak termasuk pampasan kerajaan sebanyak RM700 juta yang telah dianugerahkan bagi projek Bakun, jadi keseluruhan wang rakyat yang terbabit adalah sebanyak RM1.646 billion.

Ini bukan kali pertama Sime Darby ditempelak kerana urus tadbir yang tidak baik. Keputusan kerajaan untuk menggabungkan Sime Darby, Guthrie dan Golden Hope di dalam sebuah syarikat dalam tahun 2007 telah menerima kritikan kerana ramai yang khuatir konglomerat sebesar itu akan mengalami masalah sekiranya budaya urus tadbir yang baik masih belum diperkukuhkan sebenarnya.

Hakikatnya, prestasi ketiga-tiga syarikat itu secara berasingan adalah lebih baik. Minority Shareholders Working Group (MSWG) yang bertanggungjawab melindungi hak pemegang saham minoriti berpendapat saham Sime Darby berada di bawah nilaian sebenarnya kerana ada aktiviti bukan teras yang membawa risiko berbanding aktiviti perladangan yang menyumbang 70% dari perolehannya sehinggakan sahamnya diberikan diskaun.

Kebimbangan ini telah pun disuarakan sejak dahulu kerana kepakaran Guthrie dan Golden Hope adalah di dalam perladangan. Apabila aktivitinya dicampur adukkan dengan pelbagai aktiviti bukan perladangan yang dijalankan oleh Sime Darby, sudah tentu akan timbul masalah baru.

Saya mengajukan bahawa bank perunding yang menasihati dan melaksanakan usaha penggabungan iaitu CIMB mempunyai tanggungjawab moral untuk menerangkan kepada rakyat, kenapa perkara faktor-faktor ini tidak diambil kira semasa menilai cadangan penggabungan dahulu. Sebagai satu lagi GLC milik rakyat, pengurusan CIMB tidak boleh taksub dengan keuntungan dan bonus besar semata-mata sedangkan keputusannya melibatkan kepentingan rakyat, seperti mana yang disaksikan di dalam penggabungan Sime Darby.

Selain Sime Darby, keadaan yang sama juga terjadi di Pos Malaysia yang mengalami kerugian sebanyak RM546 juta seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Sebelum itu, bank terbesar di Malaysia iaitu Maybank pun tidak terlepas dari skandal kerugian yang memalukan dalam usaha mengambil alih Bank Internasional Indonesia (BII) yang diumumkan dalam Mac 2008.

Transaksi terbabit yang membabitkan pembayaran premium setinggi 23% dari harga saham semasa menyaksikan Maybank berhadapan risiko kerugian besar apabila ia terpaksa mematuhi syarat-syarat pengambil alihan di Indonesia, sedangkan pemegang saham terbesar iaitu Temasek Holdings dan Kookmin Bank mendapat durian runtuh kerana pembelian itu adalah 4.6 kali ganda lebih tinggi dari nilai aset bank tersebut. Keseluruhan urus niaga itu membabitkan wang rakyat berjumlah RM8.6 billion.

Saya bawa kembali skandal-skandal ini kerana kita hairan tatkala prestasi kewangan dan urus tadbir GLC milik rakyat semakin bercelaru dan menyebabkan kerugian berbillion ringgit, ahli-ahli Lembaga Pengarah dan eksekutif kanan lantikan kerajaan terus diberikan mandat dan kepercayaan.

Ketiadaan kebertanggungjawaban ini adalah tabiat buruk amalan pengurusan di GLC kita apabila hanya pegawai pertengahan dan bawahan yang dikenakan tindakan disiplin yang ketat atas nama urus tadbir korporat tetapi ketua-ketua mereka dikitarkan dari satu kedudukan ke satu kedudukan yang lain.

Sebab itu kita perlu tegas untuk menguatkuasakan keadilan korporat ini ke setiap lapisan pengurusan, dari yang terbawah hingga ke atas terutamanya apabila kerajaan akan menggunakan sepenuhnya GLC dan agensi pelaburan awam untuk meningkatkan pelaburan swasta, seperti yang terkandung di dalam RMK10.

Penswastaan Yang Menggila
Oleh kerana sasaran pelaburan swasta yang tidak masuk akal, saya tidak terkejut apabila serampang utama RMK10 adalah satu lagi gelombang penswastaan yang lebih besar atas alasan melonjakkan pelaburan swasta.

Kita tidak menolak penswastaan kerana saya berpegang kepada teori Ibn Khaldun bahawa “businesses owned by responsible and organized merchants shall eventually surpass those owned by wealthy rulers”. Perniagaan yang dimiliki oleh peniaga yang tersusun pentadbirannya dan amanah akan mengatasi perniagaan yang dimiliki pemerintah yang kaya.

Tetapi penswastaan perlulah memenuhi syarat-syarat khusus agar menguntungkan rakyat dan swasta secara adil dan saksama. Syarat-syarat itu termasuklah pihak swasta mempunyai kelayakan dan kemampuan, ada peningkatan mendadak dari segi kecekapan dan pulangan kepada rakyat dan jaminan mutu perkhidmatan yang lebih baik.

Penswastaan juga perlu berlandaskan kepada matlamat untuk membina keberdaya saingan dan keupayaan sektor-sektor yang sudah mampu bersaing. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada syarikat-syarikat tempatan di dalam industri yang sudah berkembang pesat di Malaysia, contohnya perkhidmatan sokongan. Berkali-kali kita mempersoalkan tindak-tanduk kerajaan apabila berlakon berjuang untuk rakyat di kaca televisyen, tetapi di bilik-bilik mesyuarat meluluskan kontrak perhubungan awam kepada syarikat asing sehingga mencecah RM77 juta

Kebelakangan ini kita bimbang dengan tindakan kerajaan menjual semua harta rakyat dalam tempoh paling singkat. Sebelum ini pun memang ada projek penswastaan tetapi tidaklah pada kadar sehingga semua harta berharga rakyat dilelong dalam sekelip mata.

Dalam masa setahun, rakyat Malaysia telah kehilangan tanah-tanah paling berharga di Singapura apabila kerajaan bersetuju mengalihkan stesen keretapi dari Tanjong Pagar ke Woodlands, sedangkan perkara ini dipertahankan sekian lama demi menjamin kepentingan rakyat. Pada 23 April 2010, negara dikejutkan apabila dua blok minyak L dan M milik Malaysia telah diserahkan kepada Brunei tanpa dibawa ke Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Dari segi hartanah, kerajaan mengumumkan skim pembangunan secara usahasama dengan swasta tanah-tanah bernilai negara termasuklah Kem Tentera Udara Sungai Besi yang dianggap plot hartanah paling berharga di Kuala Lumpur yang belum dikomersilkan.

Kerajaan juga akan membangunkan tanah-tanah milik kerajaan seluas 3,000 ekar di Sungai Buloh dan plot hartanah milik kerajaan di tengah-tengah Segitiga Emas iaitu di Jalan Ampang, Jalan Stonor dan Jalan Lidcol.

Siapa yang akan mendapat durian runtuh kali ini? Sebelum ini, langkah penswastaan hartanah sebegini menyaksikan YTL diberikan hak untuk mengambil alih dan membangunkan tanah kerajaan di Sentul tanpa melalui proses tender terbuka. Apa tidak boleh kalau kerajaan melibatkan komuniti tempatan dalam skim pembangunan semula agar rakyat berpendapatan rendah di Sentul turut mendapat manfaat, bukan sahaja YTL dan Tan Sri Francis Yeoh?

Bagi pembangunan di Sentul, YTL mengumumkan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM7 billion yang melibatkan 7,000 unit perumahan dan komersil. Dari jumlah 7,000 unit itu, hanya 800 unit diperuntukkan bagi perumahan mampu milik, itu pun bukan perumahan rakyat termiskin sedangkan kawasan Sentul mempunyai golongan pendapatan rendah yang besar. Sebab itu kita mempersoalkan tabiat bersekongkol dengan kroni ini, kerana rekod mereka dalam membela rakyat sangatlah buruk sedang mereka bersenang lenang dengan harta rakyat.

Walaupun Model Ekonomi baru menwar-warkan tumpuan untuk membudayakan amalan tender terbuka, dalam diam-diam YAB Perdana Menteri menganugerahkan projek pembangunan semula kem tentera udara Sungai Besi kepada konsortium yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad dan Malton Berhad. 1MDB ini terpalit dengan seorang yang bernama Jho Low yang dianggap sebagai “lelaki misteri yang membelanjakan wang besar di kelab-kelab malam di New York” seperti laporan New York Post. Malton Berhad adalah syarikat yang berkait dengan Datuk Desmond Lim.

Adalah amat memalukan apabila YAB Perdana Menteri menggunakan Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) untuk dijadikan sandaran di dalam konsortium itu, sedangkan jelas ia adalah perancangan melelong harta rakyat kepada kroni pada harga yang tidak berpatutan.

Selain itu, plot hartanah di tapak Penjara Pudu, yang asalnya dimiliki oleh UDA kini telah diserahkan kepada syarikat yang berkait dengan Tan Sri Vincent Tan.

Saya pasti senarai harta kerajaan yang akan diserahkan kepada pihak tertentu atas nama penswastaan dan menggalakkan pelaburan swasta akan menjadi lebih panjang setiap bulan. Kalau benar pun penswastaan gelombang kedua ini perlu dilaksanakan, kenapa projek-projek ini berpusing di kalangan pihak yang sama? Di mana komitmen kerajaan untuk melaksanakan gelombang penswastaan ini secara telus dan melalui tender terbuka seperti yang diumumkan melalui NEM?

RMK10 telah menyenaraikan 52 projek berimpak tinggi berharga RM62.7 billion, 5 kali ganda lebih mahal dari projek-projek yang disenaraikan di dalam RMK9.

Sebahagian besar dari projek-projek ini adalah projek penswastaan termasuklah konsesi pengendalian sampah yang baru yang akan mengambilalih pengurusan dari kerajaan tempatan, 7 konsesi tol yang baru, 2 loji penjana elektrik yang baru dan projek-projek hartanah yang diselubungi misteri yang telah saya huraikan tadi.

Sebelum ini pun, saya telah menyuarakan kebimbangan dan mempersoalkan kewajaran beberapa projek penswastaan yang sedang diteliti kerajaan.

Salah satunya adalah projek penswastaan kepada sebuah syarikat yang bernama Web Power Sdn Bhd yang telah mendapat kontrak menyediakan sebanyak 31 buah helikopter untuk disewakan selama 30 tahun kepada PDRM dengan kos sewaan RM400 juta setahun. Bagi tempoh 30 tahun kos ini akan mencecah RM12 billion.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara sendiri pernah menulis surat bertarikh 3 November 2006 kepada mantan PM YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi supaya satu Letter of Intent dikeluarkan kepada syarikat yang sama.

Apa keistimewaannya sebuah syarikat bernama Web Power ini sehingga projek-projek besar PDRM harus dianugerahkan secara terus kepadanya?

Sebab itu, Tuan Yang diPertua, amaran yang tegas perlu diberikan kepada kerajaan supaya semua amalan ini dihentikan secepat mungkin kerana amalan buruk sebegini di kala kerajaan melancarkan gelombang penswastaan kali kedua sudah tentu meningkatkan risiko penyelewengan yang merugikan rakyat. Kita tidak wajar lupa bahawa anggaran kerugian yang ditanggung oleh negara berpunca dari kegagalan siri penswastaan di bawah mantan Perdana Menteri ke-4 dilaporkan mencecah RM100 billion.

Walau bagaimana pun, kita bersyukur kerana masih ada pimpinan rakyat yang kukuh pendiriannya untuk mempertahankan hak rakyat. Saya ingin menasihatkan kroni-kroni yang ingin berbelanja besar menantikan projek hartanah di negeri-negeri Pakatan Rakyat, kerana jika ada sedikit pun proses kelulusan yang bersabit dengan kerajaan negeri – saya jamin kerajaan Pakatan Rakyat akan mempastikan kroni-kroni ini tidak akan terlepas dengan rencana mereka merompak harta rakyat.

Kerajaan di bawah Pakatan Rakyat akan menggunakan setiap inci kuasa yang ada di tangan kita untuk menjaga harta rakyat.

Kebergantungan Kepada PETRONAS
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya perlu menyentuh sedikit mengenai PETRONAS kerana kedudukan strategiknya dalam menjamin kelangsungan pertumbuhan negara terutamanya dalam bentuk sumbangan kewangan kepada kerajaan.

RMK10 mengunjurkan bahawa hasil bukan cukai akan mencecah RM57.9 billion pada 2015 berbanding anggaran RM50 billion pada tahun 2010. Penyumbang terbesar kepada hasil ini adalah pendapatan dari PETRONAS dalam bentuk royalti dan dividen.

Unjuran sedemikian menggambarkan bahawa kerajaan tidak serius untuk mengurangkan kebergantungan kepada PETRONAS walaupun kita sedia maklum bahawa rezab petroleum dan gas asli kita semakin susut. RMK10 tidak menyentuh secara khusus langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan ini.

Oleh kerana itu juga, beberapa pengumuman terkini yang dibuat oleh PETRONAS membimbangkan kita.

Pertamanya, pengumuman PETRONAS bahawa ia akan mengubah strateginya untuk menumpukan perhatian kepada aktiviti huluan di dalam negara adalah sesuatu yang perlu diteliti. Sejak tahun 1991, PETRONAS telah melaksanakan dasar penglibatan secara aktif di luar negara memandangkan rezab minyak negara adalah terhad.

Selama 19 tahun, strategi ini diterimapakai, dilaksanakan dengan baik dan seluruh rakyat Malaysia menikmati habuan dari strategi ini. PETRONAS diiktiraf sebagai salah sebuah dari 100 syarikat terbesar di dunia dan sejak kebelakangan ini memberikan sumbangan yang besar untuk menampung perbelanjaan negara.

Saya ingin mempersoalkan bagaimanakah strategi yang mempunyai jangka masa panjang dan dilaksanakan selama dua dekad itu diubah dan PETRONAS mengundur ke belakang, tiga bulan selepas Tan Sri Hassan Merican tidak lagi bersama-sama PETRONAS? Kalau strategi tersebut sudah gagal, apakah PETRONAS tidak menilainya selama dua dekad dan hanya sedar perkara ini dalam masa tiga bulan?

Saya khuatir PETRONAS dijadikan alat percaturan beberapa pihak tertentu kerana kita tahu syarikat-syarikat tempatan yang aktif di dalam industri minyak dan gas ini adalah dimiliki oleh keluarga-keluarga elit pemerintah di negara ini. Anak kepada kedua-dua mantan Perdana Menteri mempunyai pegangan yang besar di dalam syarikat perkhidmatan minyak dan gas iaitu Kumpulan Scomi yang dimiliki oleh Datuk Kamaluddin Abdullah dan Kencana Petroleum milik Datuk Mokhzani Mahathir. Satu lagi syarikat milik kroni iaitu Bumi Armada yang dimiliki Tan Sri Ananda Krishnan juga dominan dalam mendapatkan kontrak perkhidmatan dari PETRONAS.

Kita tidak menafikan hak mereka untuk bersaing dan terlibat di dalam perniagaan, tetapi jangan sampai periuk nasi negara tergadai apabila strategi jangka panjang PETRONAS diubah semata-mata supaya ada lambakan projek-projek di dalam negara. Model yang digunakan oleh PETRONAS selama ini, iaitu membina keupayaan syarikat tempatan untuk bersaing di luar negara berdasarkan merit adalah model yang baik.

Baru-baru ini juga kita difahamkan CIMB telah dilantik untuk menjadi perunding khidmat penyenaraian Kumpulan Petrokimia PETRONAS. Bagi salah satu penyenaraian terbesar dalam sejarah Bursa Malaysia, yuran khidmat penyenaraiannya juga adalah besar.

Perkembangan-perkembangan sebegini menimbulkan sedikit tanda tanya dan saya mohon perkara ini diambil perhatian bukan sahaja oleh pengurusan PETRONAS, tetapi pimpinan kerajaan kerana kebergantungan kepada PETRONAS bermakna ia perlu dibiarkan kekal bebas dari campur tangan, kalau tidak seluruh kelangsungan kewangan kerajaan akan terjejas.

Kesejahteraan dan Kebajikan Rakyat Pelbagai Kaum
Salah satu kekuatan utama Malaysia adalah kepelbagaian kaum yang kita miliki. Sebuah rencana ekonomi yang baik mestilah menepati syarat menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat semua kaum secara saksama.

Kebelakangan ini, di celah-celah slogan yang menggalakkan persefahaman kaum, pendekatan ekonomi yang dibawa kerajaan masih mengikut pertimbangan perkauman.

RMK10 menjadi berkecamuk apabila usaha menjana ekonomi untuk melonjak menjadi negara berpendapatan tinggi bersimpang siur dengan rundingan politik untuk menjaga kepentingan segelintir pihak.

Pada kala kerajaan cuba membangunkan kelas usahawan yang mampu bersaing, persoalan perkauman masih tetap di bawa. Yang menjadi mangsa adalah rakyat terbanyak yang diumpan dengan pelbagai cadangan yang indah khabar dari rupa – kontrak berbillion ringgit diberikan kepada pihak yang sama seperti Tan Sri Francis Yeoh, Tan Sri Vincent Tan, Tan Sri Syed Moktar dan yang sekelas dengan mereka. Sebagai habuannya, beberapa lantikan pengurusan diberikan kepada orang Melayu sebagai tanda kerajaan kononnya mempertahankan hak.

Pendekatan ini sempit dan telah terbukti gagal selama 3 dekad. Ia tidak berbeza dengan pelbagai peraturan yang mensyaratkan orang Melayu diberikan saham tetapi saham-saham itu jatuh di tangan beberapa kerat sahaja. Akhirnya, hanya RM2 billion dari RM54 billion yang masih kekal.

Maka, teras pendekatan ekonomi yang perlu diambil bukanlah dari persepktif perkauman. Hanya program ekonomi yang berkiblatkan keadilan dengan tujuan menaikkan taraf hidup rakyat tanpa mengira kaum yang akan dapat menjamin kesejahteraan rakyat.

Persoalan yang dibawa oleh Prof Datuk Dr Mohamed Arif, bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) sepatutnya membuka mata kita bahawa yang dimangsakan dengan adu domba seperti ini adalah kaum Bumiputra sendiri.

Menurut beliau, selepas 3 dekad pelaksanaan DEB dan penyelewengannya, 75% daripada keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM2,000 sebulan adalah kaum Bumiputra.

Kita tidak terkejut kerana sikap bermuka-muka kerajaan memang terserlah. Saya mempersoalkan kenapa Lebuhraya Pantai Timur tidak dibina terus ke Kota Bharu sedangkan prasarana tersebut akan menggiatkan ekonomi di kawasan-kawasan yang mempunyai ramai rakyat berpendapatan rendah, yang rata-ratanya Bumiputra.

Persoalan royalti minyak kepada Kelantan terus diketepikan dan agihan hasil minyak secara adil kepada Terengganu, Sabah dan Sarawak tidak dipedulikan. Bekalan air bersih dan elektrik ke kawasan-kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang benar-benar memerlukannya masih lagi di takuk lama dan sasaran yang ditetapkan di dalam dua Rancangan Malaysia sebelum ini masih tidak dicapai.

Perkara-perkara ini adalah ujian utama yang menunjukkan tahap komitmen dan keikhlasan kerajaan.

Saya sendiri sebelum ini menggariskan bahawa langkah paling utama yang perlu dibuat oleh kerajaan adalah memastikan 4 perkhidmatan utiliti iaitu elektrik, air, lebuhraya dan jalur lebar dapat disediakan kepada rakyat pada kos yang murah dan berkesan.

Perkara ini memerlukan kekuatan moral untuk menolak kepentingan kroni yang mengaut keuntungan berbillion ringgit setiap tahun dan memulangkan kembali perkhidmatan utiliti kepada rakyat agar kos sara hidup dapat dikurangkan secara mendadak.

Langkah ini jika diambil, akan mengurangkan bebanan rakyat terbanyak terutamanya mereka yang pendapatan isi rumahnya berada di bawah paras RM2,000 sebulan.

Menyedari hakikat ini juga, saya berpendirian bantuan kepada golongan yang betul-betul memerlukan harus dikekalkan walaupun mekanismenya perlu disemak kembali. Kita tidak boleh dogmatik dan berlaku tidak adil kepada rakyat – kalau bantuan itu diberikan kepada kroni dan syarikat besar, ia dipanggil bantuan dana untuk menggalakkan pelaburan. Tetapi kalau bantuan yang sebenarnya lebih sedikit diberikan kepada rakyat, perkataan subsidi digunakan dan digambarkan subsidi 40 sen seliter inilah yang menyebabkan keruncingan ekonomi yang kita hadapi.

PENUTUP
Akhir sekali saya ingin lontarkan kepada seluruh rakyat Malaysia dan rakan-rakan perancang ekonomi di sektor awam.

Kecanggihan ekonomi kita telah banyak berubah sejak kita merdeka dan kita terperangkap di dalam ekonomi nilai pertengahan yang bergantung kepada faktor kecekapan. Kita perlukan inovasi untuk melonjak.

Model perancangan ekonomi secara besar-besaran dan berkala adalah baik dan berkesan apabila ekonomi kita masih banyak bergantung kepada keberhasilan sumber negara, kerana persoalan utama adalah persoalan agihan sumber.

Pada persimpangan ini, cabaran kita adalah suntikan modal akal bukannya wang ringgit atau galian. Suntikan modal akal memerlukan suasana yang kondusif supaya idea dapat berkembang.

Sebab itu saya berpendapat pendekatan perancangan ekonomi berkala yang besar dari kerajaan dan diperturunkan kepada rakyat dan swasta sudah tidak sesuai, kerana ia tidak kondusif bagi perkembangan idea dan inovasi.

Saya mencadangkan supaya keseluruhan pendekatan perancangan ekonomi disemak semula kerana saya yakin perencanaan ekonomi sebegini sudah tidak sesuai di Malaysia.

Akhir sekali, sebagai renungan, kita perlu kembali bahawa matlamat asal dan tertinggi apa-apa pentadbiran ekonomi adalah untuk mengagihkan kekayaan secara adil dan saksama, supaya harta itu tidak sahaja kekal di tangan orang-orang kaya di kalangan kamu.

Sekian, wassalam.


~Anwar Ibrahim