Wan Nik Wan Yussof   
Menerusi tulisan saya sebelum ini bertajuk  “Politik hendaklah selari dengan Islam” adalah sarat dengan realiti  politik Islam dan sebenarnya berlaku dalam masjid. Maka, berani saya  hujahkan bahawa salah satu ciri politik Islam ialah wujudnya politik  masjid. Ia cukup berbeza dengan politik sekular yang tidak menerima  amalan politik berlaku di gereja. Oleh sebab itu, tiada sebab bagi umat  Islam meniru-niru cara-cara politik sekular yang memakai prinsip politik  suku, agama suku. Maka, PAS sebagai parti Islam adalah bersih dari  saki-baki amalan politik sekular. Melainkan parti Umno yang masih  pekat-berdene (kejap melekat) dengan lendir-lendir  sekular-kebangsaan-pragmatik (SKP) warisan penjajah Inggeris!
Politik  masjid berlaku di Kelantan
Adakah masih kental fahaman Umno di  Kelantan, sedangkan telah 20 tahun rakyat Kelantan dibayangi dengan  politik Islam acuan PAS? Menjawab persoalan ini, memang ada sebahagian  kelompok Melayu yang berfahaman politik SKP terlekat pada puak Umno  Kelantan. Maka ia dilihat masih pekat melekat dengan lendir itu. Justeru  itu, kalangan kelompok itu masih berlaku isu penolakan politik masjid,  meskipun seketika lalu lendir SKP agak jumud dan beku. Persoalannya,  kerana apa baru sekarang muncul pula isu politik masjid di Kelantan?   Sehingga sanggup mengupah seorang yang mendakwa pengasas pondok  menghujahkan (Mingguan Malaysia, 16 Mei 2010) tiada wujud politik dalam  Islam (termasuk di masjid). 
Sebenarnya, ia ada hubungannya  dengan kepentingan politik Umno Kelantan sendiri. Tidak lain, melainkan  ‘katak berbunyi (berkokok) bila nak hujan’ dan mungkin ada kaitannya  dengan peruntukan wang ehsan RM20 juta pihak kerajaan Pusat kepada  Jabatan Pembangunan Persekutuan atau Umno Kelantan! Kononnya mereka  (pemimpin Umno) akan berlaku adil untuk mengagihkan peruntukan itu tanpa  sentimen politik. Soalnya, adilkah wang itu disalur kepada pihak yang  tidak sah? Kerana pihak yang sah ialah Kerajaan Negeri Kelantan bukannya  Perhubungan Umno Kelantan. Jelas sekali, dalam bab wang ehsan mereka  tidak menghayati tuntutan dalam ceramah (khutbah) Jumaat, iaitu  ‘perintah Allah agar berlaku adil di dalam berbuat kebaikan’ sesama  Islam. Itulah balanya memisahkan politik dari masjid. Mereka (puak Umno)  sudah tidak lagi memakai perintah ceramah Jumaat dalam tindak-tanduk  politik mereka. Benarlah dakwaan umum, sesungguhnya mereka itu pengamal  politik suku agama suku!
Membangun Bersama Islam
Dalam  perkembangan politik tanah air, parti PAS pernah menyertai BN pada tahun  1974 sehinggalah PAS ditendang keluar tahun 1977. Hasil daripada itu,  PAS bengah dan maju ke depan membina acuan baru bertegas dengan politik  Islam. Berkatnya, PAS telah meraih semula keyakinan rakyat Kelantan  dengan memenangi pilihan raya 1990 dan kembali semula memerintah negeri.  
Bertolak dari tahun 1990 hingga sekarang, PAS di Kelantan  telah meletakkan dasar Membangun Bersama Islam sehingga berjaya  mentadbir dan menguruskan pembangunan negeri. Teras Membangun Bersama  Islam adalah ubudiah, masuliah dan itqan (UMI). Teras ubudiah adalah  mendidik rakyat Kelantan memahami peranannya sebagai hamba Allah yang  diciptakan semata-mata untuk memperhambakan diri kepadaNya.  Teras  masuliah pula adalah mengajar rakyat Kelantan komited dengan  tanggungjawab (akauntabiliti) yang dipikul dan melaksakan tanggungjawab  itu kerana Allah SWT dan meyakini setiap tanggungjawab itu akan  dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Sementara teras itqan  adalah menuntut semua rakyat Kelantan diingatkan agar melakukan tugas  secara berkualiti melalui budaya ketekunan, komitmen dan kesungguhan  serta fokus dalam bekerja, tanpa penyelewangan atau sikap sambil lewa. 
Kesemua  teras UMI ini telah dipacu dengan baik menerusi pelbagai program  kerajaan Negeri Kelantan. Salah satunya adalah menerusi masjid dan surau  yang merupakan medan ilmu lokal para guru agama dan pendakwah  menyampaikan kefahaman politik dan cara hidup Islam. 
Kesan UMI
Kesan  yang jelas amalan UMI iailah berlaku keluhuran PAS mengamalkan  pentadbiran berteras agama (UMI) dibuktikan dengan tindakan kerajaan  Negeri Kelantan menarik akaun kerajaan dari bank riba kepada Bank Islam  dan mewujud perhotelan Islam yang tanpa alkohol, menutup semua premis  judi yang dilesenkan oleh pemimpin Umno, mempamerkan syiar agama dengan  peraturan wanita menutup aurat dan memberi hak kepada semua kaum  termasuk Orang Asal. Berikutnya, melaksanakan asas-asas perumahan  Islamik mengandungi tiga bilik, mengutamakan kebajikan warga emas bagi  semua kaum melalui skim kifalah, merakyatkan ekonomi negeri melalui skim  Ladang Rakyat dan bantuan pembangunan kepada usahawan wanita. Mengawal  hiburan agar selari dengan batasan agama dengan memperkenalkan enakmen  kawalan hiburan, menyediakan hiburan nasyid alternatif dan memajukan  pembinaan budaya hiburan Islamik sehingga melahirkan dikir barat dakwah,  dikir hijrah dan dikir halaqat.
Sebenarnya, kekuasaan politik  atas nama politik Islam telah membolehkan banyak program pembangunan  Islam yang memberi kesan kebaikan untuk semua kaum di Kelantan.  Misalnya, dengan pembinaan Masjid Keputeraan Sultan Ismail Petra di  Rantau Panjang bercirikan seni bina masjid Cina di Beijing turut  mendekatkan hubungan kaum di Kelantan. Malah mengingatkan pula kepada  kegemilangan betapa umat Islam di Cina adalah umat yang lebih awal  menerima seruan Islam berbanding orang Melayu. Ia adalah untuk  menobatkan kehebatan Islam.
Mendekatkan Islam dengan DAP
Paling  menarik di sebalik kesan politik Islam dibawa oleh PAS di Kelantan, ia  telah berjaya menghapuskan salah fahaman dan Islamfobia DAP kepada Islam  dan politik Islam. Meskipun, seketika awal-awal mendekati DAP, PAS  diserang dan Islam dihina oleh pemimpin DAP. Sehingga ada kalangan  pemimpin mereka yang menentang hangit model Negara Islam, hukum hudud  dan terlalu prejudis dengan keadilan pentadbiran Islam di Kelantan.
Sekarang,  salah faham dan Islamfobia hampir tiada kedengaran lagi, malah tidak  kurang pula kalangan pemimpin dan wakil rakyat DAP sudah pandai  berkalimah Arab, menghafal al-Quran, menyebut kalimah al-Quran dan  mengiktiraf kehebatan sejarah Islam di dalam ceramah-ceramah mereka.  Hinggakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng selaku  Setiausaha Agung DAP (di negeri majoriti pengundi Cina) telah berani  mengisytiharkan model kepimpinan Umar Abdul Aziz sebagai ikutan  pentadbirannya. Sehingga Lim turut melontarkan persoalan kepada pihak  Umno yang tidak mahu menerima realiti, bahawa pentadbiran Islam  mempunyai kebaikan yang boleh ditiru dan diamalkan oleh sesiapa sahaja.
Paling  terbalik-kot pula, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz  selaku Mursyidul Am PAS seorang tokoh Islam yang nazari (seorang yang  teguh pendirian agama – fundamental agama) sering dinanti-nantikan oleh  masyarakat Cina dan India agar dapat hadir di dalam majlis ceramah  mereka. Malah setiap kali kehadiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan  disambut dengan standing ovation (sambutan berdiri dengan iringan  tepukan hormat) oleh hadirin kaum Cina dan India. Sedangkan kehadiran  beliau bukan untuk dinner, sebaliknya menyampaikan ucapan penyatuan  rohani dengan selalu mengingatkan kepada titik penyatuan manusia bermula  dari satu keturunan, yakni Nabi Adam AS lalu membaca ayat al-Quran  (surah An-Nisa’3:1) bermaksud, “Wahai sekalian manusia, bertakwalah  kepada tuhan kamu, yang telah menciptakan kamu dari seorang manusia  (bernama Adam). Dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (bernama  Hawa’), Allah memperkembang biakkan (keturunan dari jenis) laki-laki dan  perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah, yang dengan  (mempergunakan) namanya, kamu saling meminta satu sama lain. Dan  (peliharalah) hubungan persaudaraan dan kasih sayang (di antara sesama  kamu). Sesungguhnya Allah selalu memantau dan mengawasi (segala tindak  tanduk dan aktiviti hidup) kamu.” Apakah senario ini semua bermakna PAS  telah menggadai maruah dan meninggalkan pinsip Islam di tepi longkang?
Natijahnya,  penerimaan tersebut sudah tentu memberi untung kepada politik Islam,  tatkala sebahagian masyarakat Cina dan India serta Siam sudah berani  mendekati PAS melalui penubuhan Kelab Penyokong PAS. Sekarang kelab itu  (dilancarkan pada 23 Mei lalu) telah diiktiraf sebagai sayap parti dan  bertaraf Dewan Himpunan Penyokong PAS (selesa disebut Dewan Penyokong).  Ia menguatkan lagi sayap PAS kepada empat sayap. 
Sesungguhnya,  amat seni politik Islam ini. Kebaikannya telah menarafkan peranan Dewan  Penyokong bersama-sama Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat  memikul tugas politik Islam. Maka, pendekatan PAS selama ini (bermula  dengan kepimpinan arwah Ustaz Datuk Fadhil Nor dan sejak dipakai tema  PAS untuk Semua), sebenarnya PAS telah sedia bertoleransi, bertegas dan  mesra kepada semua kaum adalah suatu pendekatan berpandukan kejayaan  Nabi Muhammad SAW tatkala mendikrikan Sulh Hudaibiah dan mengikat  perpaduan menerusi al-Dustur al-Madinah. Apakah pendekatan ini  melayakkan PAS menjadi boneka kepada DAP atau KeADILan? 
Sesungguhnya,  PAS terus maju dengan misi politik-dakwah dan kental menghadapi segala  cabaran. PAS di Kelantan yang memerintah sejak dua dekad lalu terus  istiqamah menjadikan institusi masjid, rumah Allah sebagai pusat paling  sesuai menyampaikan mesej pembangunan politik-dakwah. Hasilnya, rakyat  Kelantan menerimanya tanpa prejudis lagi. Demikianlah senario politik  masjid di Kelantan.
Hanya Allah SWT maha mengetahui setiap apa  yang diciptakan-Nya dan Dia maha bijak merencana, dan segala pengetahuan  dan perencanaan-Nya adalah mengatasi pengetahuan dan perencanaan  manusia.
----------------------------
Penulis adalah  Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan