Oleh Shazwan Mustafa Kamal
KUALA  LUMPUR, 16 Jun — Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang  memulakan tirai dengan menjadi tuan rumah sidang kemuncak Persidangan  Pertubuhan Islam (OIC) tujuh tahun lalu kemungkinan dinaik taraf   sebagai bangunan Parlimen  baru.
Perkara itu sedang diteliti  pentabdiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas idea  memindahkan lokasi Parlimen dari ibu negara ke Putrajaya dengan kos awal  RM800 juta tidak menerima reaksi positif.
Menteri di Jabatan  Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata Kabinet sedang mengkaji  kemungkinan menggunakan bangunan yang tidak digunakan sepenuhnya itu  ekoran bantahan pelbagai pihak.
“Ini merupakan situasi yang agak  kompleks... kebanyakan anggota Kabinet tidak setuju dengan idea membina  bangunan baru (melibatkan RM800 juta).
“Jadi, PICC ditimbangkan  sebagai bangunan kekal Parlimen kerana kini tidak digunakan dengan  optimum,” kata Nazri dalam temu bual dengan The Malaysian Insider.
PICC  merupakan antara mercu tanda pusat pentadbiran baru persekutuan.
Nazri  juga berkata kira-kira RM150 juta akan digunakan untuk memperbaiki  kemudahan bangunan Parlimen sedia ada di sini.
Ia telah pun  melalui proses pengubahsuaian melibatkan dana RM100 juta lima tahun  lalu.
“Peruntukan RM150 juta diperlukan untuk memperbaiki  kemudahan bangunan Parlimen sekarang.
“Ketika kerja-kerja  memperbaiki sedang dijalankan, kita perlu meninggalkan bangunan ini, dan  Parlimen perlu bersidang di tempat lain. Sekurang-kurangnya RM150 juta  diperlukan untuk mengubah suai bangunan sementara,” katanya.
Nazri  juga berkata lokasi bangunan baru Parlimen diperlukan bagi memenuhi  keperluan masa depan apabila kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Negara  ditambah kelak.
Kini Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi manakala  Dewan Negara pula 70 anggota.
“Kita perlu melihat perkara ini  dengan mendalam. Daripada membuang duit terhadap sesuatu yang buat  sementara, mengapa tidak kita memiliki sesuatu yang kekal?” soal beliau.
Ahli  Parlimen Padang Rengas ini menambah, Kabinet sedang menunggu maklum  balas Kementerian Kerja Raya mengenai kemungkinan memindahkan bangunan  Parlimen ke PICC.
“PICC merupakan tempat yang ideal kerana ia  terletak di Putrajaya, berhampiran Eksekutif dan Kehakiman. Ia (langkah)  baik kerana kita boleh menjimatkan RM800 juta,” katanya.
PICC  siap dibina dengan kos RM600 juta pada 2003 ketika era kepimpinan Tun  Dr. Mahathir Mohamad.
Bangunan Parlimen semasa yang mempunyai  menara 17 tingkat dan sayap utama tiga tingkat dibina pada 1962, selepas  idea pembinaannya dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman dua tahun selepas  negara merdeka.