KUANTAN: Penyertaan ramai golongan ulama ke dalam  Umno tidak  akan menjadikan parti itu sebagai parti yang ekstrem terhadap   perjuangan Islam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebaliknya,  Perdana Menteri berkata, penyertaan itu membuktikan dasar  perjuangan  Umno dalam menegakkan syiar Islam di negara ini diiktiraf  oleh golongan  berkenaan.
"Kita tidak mahu Umno dilihat sebagai parti ekstrem.  Islam sebenarnya  bukan agama yang ekstrem. Jadi kita akan  memperjuangkan Islam yang  diterima oleh semua pihak dan umat yang  terbaik adalah umat yang  sederhana mengikut panduan Islam," katanya.
Beliau  ditemui pemberita selepas merasmikan Program Mengukuh Wadah  Memperkasa  Ummah, anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia  (YaPEIM), di  sini.
Turut hadir, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor dan  Pengerusi  Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Ahmad Tajudin Abdul  Rahman.
Seramai 40 ulama muda dari seluruh negara menyerahkan borang   keanggotaan Umno kepada Najib, sebelum bermula mesyuarat Majlis   Tertinggi Umno di Kuala Lumpur malam semalam.
Najib, yang juga Presiden   Umno berkata parti itu sentiasa mengalu-alukanpenyertaan golongan   cendekiawan agama untuk menyertai Umno.
"Saya berharap ini sebagai  satu titik permulaan kepada lebih ramai  lagi cendekiawan Islam untuk  menyertai dan menyokong perjuangan Umno,"  kata Najib. Beliau berkata,  Umno telah membuktikan bahawa dasar-dasar  perjuangannyaselama ini  menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam  contoh di  peringkatantarabangsa.
"Kita akan terus memperkukuhkan perjuangan  Umno dan memastikan apa  yang kita lakukan selari dengan kehendak dan  tuntutan Islam," katanya.
Mengulas mengenai keputusan kerajaan yang  tidak akan mengeluarkan  lesen pertaruhan sukan, Najib berkata, perkara  itu tidak perlu  berbangkit lagi.
Katanya keputusan itu dibuat  berdasarkan pengamatan kerajaan selain  pandangan majoriti rakyat.
"Kita  mendengar isi hati rakyat dan membuat keputusan bahawa lesen  judi  sukan tidak akan dikeluarkan," katanya. 
~ BERNAMA