Oleh Suraaya Hulaimi
PENGKALAN CHEPA 14 Jun - Naib  Presiden PAS,  Datuk Mahfuz Omar mencadangkan orang ramai yang  hendak menyertai  demonstrasi bantahan judi bola sepak anjuran Dewan  Pemuda PAS Pusat  pada 3 Julai nanti memakai jersi bola sepak yang ada  nombor dan  membawa sebiji bola tiap seorang.
Beliau mengucapkan  tahniah kepada  DPPP yang begitu agresif sehingga berjaya menubuhkan  Gerakan Membantah  Judi Bolasepak dan berharap seluruh rakyat prihatin  dapat bersama-sama  dalam perhimpunan tersebut.
"Saya nak minta  supaya mereka datang  dengan memakai apa saja jersi bola sepak bernombor  ataupun  mengikut warna negeri masing-masing, kalau datang dari Kelantan   bolehlah pakai warna merah dan saya dari Kedah akan pakai jersi hijau   kuning, Tok Guru Hj Hadi kena pakai warna putih tapi semua kena   pakai jersi bernombor.
"Setiap peserta demonstrasi membawa bola   seorang sebiji, ini sebagai simbolik kepada demonstrasi bagi menentang   judi bola sepak, kita nak kata 'bola - ya, judi - tidak'.
"Sebab  itu  saya mengharapkan isu ini menjadi satu lonjakan kepada kita semua  dan  kepada banyak isu-isu yang lain dan saya harap jangan kita   rasa kebimbangan PAS untuk menggadaikan polisinya tetapi ianya dilakukan   berdasarkan landasan Islam dan sunnah Nabi dan kita jangan takut   melakukan perubahan baru," kata Mahfuz ketika menggulung perbahasan   Muktamar PAS ke-56 di sini semalam.