Oleh Faris Aiman
KUALA LUMPUR 9 Jun - Tanpa menyiasat bila dan di  mana kononnya Anwar Ibrahim menyebut akan memperuntukkan jawatan  Timbalan Perdana Menteri Kedua kepada DAP jika Pakatan Rakyat  memerintah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bingkas  memperingatkan rakyat bahawa Ketua Pembangkang itu tidak akan  mengkotakan janjinya.
Dalam lain perkataan, Najib menuduh Anwar  berbohong. Beliau berkata demikian bersandarkan rekod peribadi Anwar  yang dikatakannya tidak dapat melaksanakan kata dan janjinya. Beliau  berkata, ini satu lagi helah Anwar untuk memenangi sokongan rakyat  keturunan Cina. Najib tidak mahu mereka diperdaya  oleh Anwar.
Rekod  tidak menepati janji Anwar, kata Najib, termasuklah kegagalannya  mengambil alih kuasa pemerintahan negara pada 16 September 2008 setelah  mendakwa ramai ahli parlimen Barisan Nasional akan melompat menyokong  Pakatan Rakyat.
Gelagat Najib ini agak aneh. Lazimnya, beliau  adalah seorang yang agak tenang dan akan sentiasa berusaha untuk  mengelak dari terperangkap dalam isu-isu politik yang panas.  Kebiasaannya juga Najib akan cuba “membeli masa” sebelum menyatakan  sikap dan pendirian politiknya.
Amat jarang sekali beliau  membuat komentar politik secara spontan. Sebab itu, di suatu peringkat  bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menyifatkan Najib pengecut  kerana tidak berani menyatakan pendiriannya terhadap Tun Abdullah  Badawi.
Bagaimanapun nampaknya reaksi Najib agak berbeza kali  ini. Beliau terus menyerang Anwar kerana laporan akhbar Cina berkenaan.  Ini menimbulkan pelbagai persoalan.
1. Pakatan Rakyat belum  memerintah Malaysia dan belum tentu jika memerintah, Anwar tidak akan  mengkotakan katanya itu.
2.  Benarkah laporan dalam akhbar Cina  itu yang Anwar berkata demikian? Jika benar apakah konteks soalannya?
3.  Mengapa Najib terburu-buru membuat komen sedemikian jika laporan itu  hanya dibuat oleh sebuah akhbar berbahasa Cina dan bukan akhbar Bahasa  Inggeris atau Bahasa Malaysia? Apakah yang mendorong Najib?
Apa  yang dapat diperhatikan ialah Najib mungkin tertekan. Pertama, tempat  beliau membuat komen itu ialah di Majlis Perundingan Melayu yang baru  sahaja secara terang-terangan menolak Model Ekonomi Baru Najib. Walhal  model itu telah dijajanya hingga kepada presiden Barak Obama sebagai  landasan meliberalkan lagi ekonomi Malaysia.
Mungkinkah Najib  mengambil peluang daripada pertanyaan wartawan yang mahu komennya  terhadap laporan janji Anwar itu untuk melepaskan diri daripada:
1.  Apa yang baru dilafazkannya bahawa NEM belum muktamad dan berharap agar  wartawan tidak mendorongnya untuk menjawab mengapa ia belum muktamad  sedangkan pelancarannya telah dibuat hingga ke hadapan presiden Amerika  Syarikat?
2. Adakah Najib cuba menyembunyikan sikap dan pendirian  sebenarnya daripada menjadi tumpuan wartawan di majlis berkenaan? Ini  kerana dalam majlis itu Najib diaibkan oleh resolusi MPM yang  mengisytiharkan Model Ekonomi Baru Najib tidak memelihara kepentingan  Melayu? Maka Anwar adalah sasaran yang baik untuk mengalih pandangan  wartawan.
3. Adakah Najib cuba mengelak dipersoalkan mengenai  sikap sebenarnya terhadap dasar 1Malaysia?
Dalam majlis itu  Najib mengisytiharkan bahawa beliau tidak akan berganjak daripada Dasar  Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh bapanya pada tahun 1971.
4.  Adakah Najib bimbang wartawan akan menafsirkan ucapannya itu sebagai  lidah bercabang dengan mengatakan semua rakyat ada hak ekonomi yang adil  tetapi berjanji untuk berlaku “lebih adil” kepada orang Melayu di  hadapan Ibrahim Ali?
Sikap agak luar biasa Najib ini secara tidak  langsung memberi gambaran yang agak menyeluruh peribadi Najib. Ini  dapat dilihat daripada tindak tanduknya dalam beberapa isu besar yang  membelit negara.
1. Dalam kes Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa  diliwat oleh Anwar Ibrahim, Najib berkata dia tidak ada menemui Saiful  sebelum itu. Kemudian Najib mengubah ceritanya dengan mengatakan ada  menemui Saiful yang mahu mendapat bantuan untuk melanjutkan pelajaran.
2.  Apabila didesak dengan gambar dan laporan beberapa pihak, Najib  kemudian mengaku ada menemui Saiful di rumahnya dan menasihatinya supaya  membuat laporan polis.
3. Kenyataan bekas pengkhianat parti  keadilan rakyat, Ezam Md Nor beberapa minggu lalu pula mendakwa Najib  dan Ketua Polis Negara langsung tidak membantu Saiful. Sebab itu Saiful   menemui Ezam. Adakah ini satu lagi skrip Najib bimbang diheret ke  mahkamah untuk memberi keterangan dalam kes konspirasi ke-2 terhadap  Anwar?
Persoalan-persoalan ini mendorong umum untuk meneropong  siapakah dan apakah nilai jatidiri Najib sebagai pemimpin. Ada beberapa  petunjuk yang boleh digunakan untuk membuat penilaian ini.
1.  Apakah polisi baru yang dikatakan transformasi kerajaan yang benar-benar  diperkenalkan oleh Najib sejak menjadi perdana menteri setahun lalu?  Setiap dasar atau pendekatan baru Najib sering berubah dan tertangguh.  Misalnya, Cukai Perkhidmatan Am atau GST. Apabila rakyat berontak, Najib  menarik balik keputusan untuk memperkenalkannya di parlimen.
Selain  itu, rancangan untuk menarik balik subsidi minyak mengikut kuasa enjin  kenderaan. Setelah mengarahkan syarikat pembekal minyak mengeluarkan  modal untuk tambahan peralatan bagi melaksanakan skim itu, ia ditarik  balik.
Kes kenaikan tarif elektrik pun begitu. Atas alasan  mengambil kira pandangan rakyat, ia ditangguhkan.
Namun  keputusan itu terus mencemaskan rakyat kerana ia boleh dilaksanakan  bila-bila masa.
2. Di mana laporan Indeks Prestasi Utama atau KPI  menteri-menteri kabinet seperti dijanjikan Najib ketika mengambil alih  jawatan perdana menteri tahun lalu? Apakah ini bermakna menteri yang  diberi tanggungjawab dalam perkara ini, Dr Koh Tsu Koon tidak  melaksanakan tugasnya atau Najib sebenarnya hanya melakukan satu “public  relations exercise” sahaja?
3. Mutakhir sekali isu lesen  perjudian bolasepak. Kerajaan mengumumkan telah mengeluarkan lesen judi  bolasepak bertujuan untuk menghalang kegiatan judi haram dan penipuan.  Rakyat bangkit membantah. Tunjuk perasaan dari pelbagai lapisan tanpa  mengira kaum dan agama bangkit  menentang; dan, mufti juga mengeluarkan  fatwa mengharamkannya.
Tiba-tiba kerajaan pimpinan Najib  mengumumkan belum ada lesen dikeluarkan. Ini kerana kononnya kerajaan  masih mahu mendapat maklumbalas daripada rakyat.
Gamat. Adakah  kerajaan Najib jujur bila mengatakan mahu mendapat reaksi rakyat ? atau,  menjadikan kenyataan itu sebagai alasan untuk menghindar kemarahan  rakyat tentang betapa lemah dan goyahnya prinsip dan akhlak kerajaan?
Persoalan  yang timbul ialah, mengapa terlalu kerap Najib tidak bercakap benar  kepada rakyat? Tidakkah tindakan dan keputusan beliau sebagai Perdana
Menteri  memberi bayangan betapa beliau seorang pemimpin yang kurang integriti?  Tidakkah ini juga menunjukkan Najib lebih mementingkan populariti dan  kemenangan politik? Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan – cakap  tidak serupa bikin!