oleh: Mat Zain Mat Isa
Kesian juga mengenangkan nasib menimpa  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Idris Jala dalam seminggu  dua ini. Gara-gara kenyataannya baru-baru ini yang mengandaikan  Malaysia akan bankrap pada 2019 jika amalan memberikan subsidi kepada  beberapa barangan keperluan utama tidak dikurangnya, bekas Ketua Pegawai  Eksekutif (CEO) Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) itu dihujan  kritikan dan kecaman pelbagai pihak.
Di atas sifatnya selaku  CEO Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana  Menteri, Idris pada 27 Mei lalu mendedahkan hasil kajian dan penelitian  pihaknya bahawa jika subsidi berjumlah RM74 bilion pada 2009 tidak  dikurangkan akan menyebabkan hutang negara naik pada kadar 12 peratus  setahun.
Jumlah hutang itu kini mencecah RM362 bilion atau 54  peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Dengan unjuran  peningkatan itu, jumlahnya dianggarkan meningkat kepada RM1,158 bilion  menjelang 2019. Andai ia menjadi realiti, menteri berkenaan menjangkakan  negara akan jatuh bankrap.
Alasan itulah yang digunakannya untuk  merasionalkan mengapa soal penyusunan semula subsidi dicadang pihaknya  wajar diterima positif oleh rakyat. Beliau lalu antara lainnya  mencadangkan agar subsidi tol, bahan api dan tenaga serta beberapa  barang makanan utama seperti gula, tepung dan minyak masak dikurangkan  atau dimansuhkan secara berperingkat mulai tahun ini.
Sepertimana  lazimnya di setiap kali kerajaan bercadang memotong subsidi barangan  keperluan, ia diiringi unjuran dan harapan tindakan itu membolehkan  kerajaan menjimatkan perbelanjaan. Dalam kes ini, unjuran penjimatan itu  dikatakan sehingga RM103 bilion dalam tempoh lima tahun.
Cadangan  itu dikatakan antara buah fikir terbaik yang mampu diutarakan Pemandu  dalam usaha mengatasi masalah beban hutang negara yang semakin  meningkat. Malangnya, ia tidak dapat diterima, bukan sahaja oleh rakyat  dan pemimpin parti pembangkang, malah dari kalangan pendokong Barisan  Nasional (BN) sendiri.
Ada tinjauan dibuat yang menunjukkan 66  peratus maklum balas diberikan tidak setuju subsidi dihentikan  serta-merta. Ada pula laporan menyebut komen kritikal terhadap cadangan  kerajaan ini mencecah hampir 97 peratus.
Media kroni BN sendiri  melaporkan beberapa pemimpin BN melabelkan pandangan bahawa Malaysia  akan bankrap jika subsidi diteruskan sebagai keterlaluan dan taktik  menakutkan rakyat. Ada pula yang menyeru kerajaan lebih bertanggungjawab  dalam mengambilkira kemampuan rakyat menghadapi keadaan itu.
Bagi  Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia,  Mahani Zainal Abidin pula, unjuran Pemandu bahawa negara akan bankrap  dengan amalan memberikan subsidi bukan sahaja kurang tepat, bahkan satu  andaian pesimis.
“Punca sebenar yang akan menjadikan negara  muflis (bankrap) adalah penyelewengan perbelanjaan dan pembaziran dalam  aktiviti yang tidak menjana pendapatan. Dalam kata lain, penyediaan  subsidi merupakan kewajiban kerajaan dalam menjaga keperluan rakyatnya,”  demikian pula komen pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti  Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr Md Zyadi Md Tahir.
Sementara  pelbagai pihak ghairah menghalakan kritikan kepada Idris, tidak banyak  pihak menilainya sebagai satu lagi kelemahan dan kecacatan besar dalam  prestasi Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.
Sebelum  ini pun sudah banyak episod atau kes menyebabkan kewibawaan Najib  selaku peneraju kerajaan dipertikaikan. Antara insiden yang tidak  mungkin dapat dilupakan rakyat Malaysia, termasuk pemimpin BN sendiri,  ialah bagaimana buat pertama kalinya dalam sejarah negara, belanjawan  dibentangkan Perdana Menteri nyaris ditolak sidang Dewan Rakyat, 14  Disember lalu.
Dalam kes Idris ini pula, kesimpulan yang  dipertikaikan itu sepatutnya turut dipikul secara kolektif oleh Kabinet,  terutama Najib selaku penerajunya. Sebarang keputusan atau cadangan  mana-mana anggota Kabinet sepatutnya dibela dan dipertahankan semua  anggota yang lain.
Malangnya, perkara sebegitu nampaknya tidak  berlaku dalam kes dialami Idris ini. Itulah yang dikatakan kesian. Malah  kenyataan beliau turut tidak diberikan sokongan meyakinkan oleh Najib  sendiri.
Perdana Menteri seakan cuba melepaskan diri dengan  mengatakan cadangan memansuhkan subsidi itu belum ada keputusan muktamad  dari Kabinet. Apakah itu bermakna Idris bertindak sendirian tanpa  pengiktirafan Kabinet?
Sebetulnya, idea memansuhkan subsidi dan  menganggap negara akan bankrap sekiranya ia diteruskan bukan idea baru.  Apa yang disebut Idris itu bukan kali pertama kita dengar. Ia bahkan  pernah ditegaskan Najib sendiri.
Ingat lagi apa komen Najib  tatkala parti pembangkang berjanji akan menurunkan harga minyak dalam  pasaran tempatan sekiranya pakatan itu diberi peluang memerintah negara  dalam pilihan raya lalu? Najib ketika itu selaku Timbalan Perdana  Menteri menegaskan negara akan bankrap sekiranya subsidi ditambah bagi  menurunkan harga minyak. Beliau malah menganggap cadangan pembangkang  itu sebagai tidakan yang “tidak masuk akal”.
Ertinya, Idris hanya  mengulangi idea dan kenyataan yang pernah disebut Najib. Malang  baginya, tiada rakan dari BN yang mengecam Najib dulu, tetapi mereka  kini bertalu-talu mengkritik Idris atas kenyataan yang sama.