Mega-konglomerat Berjaya Corporation terus berusaha untuk menutup mulut  pengkritiknya, dengan sekali lagi menegaskan bahawa ia telah mendapat  kelulusan kerajaan untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan secara  sah.
Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat  itu mempertahankan pengumumannya kepada bursa pada 12 Mei lalu mengenai  cadangannya untuk mengambil alih 70 peratus pegangan dalam Ascot Sports  Sdn Bhd - syarikat yang mempunyai lesen pertaruhan tersebut - bernilai  RM525 juta.
Menurutnya, terdapat banyak percanggahan perbahasan  mengenai status sebenar kelulusan yang diberikan kepada Ascot untuk  menjalankan operasi pertaruhan sukan di negara ini.
Dalam  mematuhi arahan Bursa, syarikat itu mengulangi kembali  bahagian-bahagian tertentu dalam pengumuman 12 Mei lalu yang menyatakan  bahawa menteri kewangan telah memberi kelulusan untuk menerbitkan semula  kepada Ascot lesen untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan mengikut  terma dan syarat-syarat tertentu.
Menurutnya, dalam perenggan 8  yang menyenaraikan Kelulusan Diperlukan, perenggan kecil (d) menyatakan,  "Menteri kewangan untuk menerbit semula lesan pertaruhan sukan dan  perubahan pemegang saham dan pengarah di Ascot, jika perlu."
Dengan  demikian, katanya terbukti daripada kenyataan di atas bahawa Ascot  telah mendapat kelulusan daripada menteri kewangan untuk menjalankan  operasi pertaruhan sukan dan bahawa lesen rasmi yang pertama kali  diberikan pada 1987 adalah menunggu untuk diterbitkan semula.
Sebanyak  70 peratus saham Ascot Sukan diilik oleh pengerusi Berjaya Corp Tan Sri  Vincent Tan.