Selasa, 8 Jun 2010

Lesen judi sukan: Akar umbi Umno mulai gelisah, Protes

Bibit-bibit protes mula kedengaran hari ini daripada kem penyokong kerajaan berhubung isu pemberian lesen judi sukan.

Tentangan tersebut mula dikesan pada satu sidang mesyuarat cawangan Umno di Teluk Intan yang mengusulkan supaya kerajaan menarik balik pemberian lesen tersebut.

Usul tersebut dikemukakan oleh seorang pemimpin akar umbi, Yuzaile Yusof ketika mesyuarat Umno Cawangan Lorong Masjid, Teluk Intan pada 22 Mei lalu.

Yuzaile berkata, pergerakan pemuda Umno sebelum ini tidak mampu untuk menepis isu judi kerana ia sememangnya memberi kelebihan kepada golongan yang bukan penyokong BN.

"Ke
adaan begini memberi ruang kepada (pro-Pakatan Rakyat) untuk bersuara.Jadi pemuda Umno tidak boleh menepis isu ini, sebab judi sememangnya haram walaupun lesen itu sah atau tidak," katanya.

“(Jadi) kami menggesa agar kerajaan menarik balik lesen judi bola sepak," kata Yuzaile yang juga ketua pemuda bahagian Teluk Intan.

Katanya lagi, selain isu judi, mesyuarat cawangan kali ini dilihat tidak mengandungi banyak perkara berbangkit untuk diutarakan.

Ini disebabkan, cawangan-cawangan lain masih tidak menyerahkan usulnya ke mesyuarat negeri, katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mesyuarat tahunan peringkat cawangan itu bermula Sabtu lalu di seluruh negara hingga 15 Jun depan.

Ini akan diikuti dengan persidangan perwakilan bahagian serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dalam tempoh bermula 16 Jun dan berakhir 16 Julai sebelum perhimpunan agung dari 28 hingga 30 Oktober depan.