KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Sungai  Besi yang kini dijadikan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),  akan ditutup tidak lama lagi bagi memberi laluan kepada projek  pembangunan 'Greater KL' seperti yang dirancang dalam Rancangan Malaysia  Kesepuluh (RMK-10).
Sambil mengesahkan lapangan terbang berusia 54  tahun itu bakal dimajukan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid  Hamidi berkata kawasan itu akan dibangunkan semula secara bersama  melibatkan kerajaan, swasta dan pelabur asing.
Bercakap kepada  pemberita selepas majlis penyerahan kunci Taman LTAT Bukit Jalil di sini  hari ini, Ahmad Zahid berkata kementerian telah mengenal pasti beberapa  pelabur dari Timur Tengah yang dilihat berpotensi terlibat dalam  pembangunan kawasan lapangan itu.
Katanya satu perjanjian telah  ditandatangani dua minggu lepas membabitkan kementerian, pemaju iaitu  Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan pelabur dari Timur Tengah.
Beliau  yang enggan mendedahkan butiran perjanjian tersebut berkata pelan  pembangunan lapangan terbang itu masih dalam peringkat perbincangan  semua pihak yang terlibat.
Sambil menafikan penglibatan pihak atau  individu tertentu untuk meraih keuntungan dalam pelan itu, beliau  berkata projek terbabit adalah perkongsian awam dan swasta bagi  menyertai pembangunan projek yang dipimpin syarikat berkait dan  kerajaan.
Menurut laporan RMK-10 yang dibentangkan di Dewan Rakyat  hari ini, Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya atau 'Greater KL' akan  dijadikan bandar bertaraf dunia yang mempunyai persekitaran  memberangsangkan sebagai tempat tinggal, bekerja dan beriadah dalam  tempoh lima tahun akan datang.
Laporan itu turut menyebut antara  projek yang akan dibangunkan syarikat GLC seperti Projek Pembangunan  Strategik Kuala Lumpur oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meliputi  kawasan Lapangan Terbang Sungai Besi dan KL International Financial  District.
Ahmad Zahid berkata fasiliti dan infrastruktur yang lebih  canggih akan dibangunkan di kawasan terbabit bersesuaian dengan  persekitaran lapangan itu yang menuntut sentuhan pembangunan moden.
"Kita  tidak boleh menolak pembangunan. Lapangan ini yang terletak di kawasan  strategik dan di tengah-tengah pembangunan yang pesat dan ia perlu  diubah suai," katanya tanpa mendedahkan butiran pembangunan projek itu  termasuk kos dan tarikh ia akan dibangunkan.
Beliau berkata apabila  projek pembangunan kawasan lapangan terbang itu dimulakan, operasi  pemindahan agensi-agensi keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia  (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat  di lapangan terbang itu akan dijalankan secara berperingkat.
Aset  negara seperti pesawat yang kini berada di pangkalan terbabit akan  dipindahkan di Pangkalan TUDM Subang atau pangkalan lain yang  bersesuaian, katanya.
Lapangan Terbang Sungai Besi merupakan lapangan  terbang pertama di negara ini dan diisytiharkan bertaraf antarabangsa  oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra  Al-Haj (Perdana Menteri pertama Malaysia) pada 1 Ogos 1956.
Lapangan  terbang itu mula dibina pada tahun 1930 dan diperbesarkan pada tahun  1948. Kapal terbang pertama yang mendarat di lapangan terbang ini ialah  sebuah pesawat British, B.O.A.C. pada tahun 30-an.
Dalam pada itu,  Ahmad Zahid berkata LTAT juga akan terlibat dalam projek pembangunan  kuarters kerajaan di Jalan Cochrane dan Kem Batu Cantonment, Jalan Ipoh  yang akan dipindahkan ke Kem Semenyih.
Terdahulu di majlis itu LTAT  menyerahkan 50 kunci kepada pemilik rumah baru projek perumahan Parcel 1  Taman LTAT merangkumi 500 unit pangsapuri kos rendah, 192 unit  pangsapuri kos sederhana rendah dan 136 unit pangsapuri kos sederhana.
Pangsapuri  ini ditawarkan kepada anggota tentera dengan subsidi sehingga 38.2  peratus untuk 500 unit pangsapuri kos rendah. -BERNAMA