Malam ini asalnya dijangka mencatat sejarah tertentu bagi Kelantan. PM  akan sepentas dengan Mursyidul Am PAS yang juga MB Kelantan, menyaksikan  perasmian Kelantan Fiesta oleh Baginda Pemangku Raja Kelantan.
Malam  ini, sejarah masih tercatat tetapi dengan cara yang sama sekali tidak  dijangka.
Bukan sahaja Pemangku Raja tidak berangkat atas apa  jua sebab, PM yang dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Kelantan dan  kemuncaknya akan merasmikan sendiri event Kerajaan Pusat yang dinamakan  Kelantan Fiesta itu di Stadium Sultan Muhammad, pulang awal tanpa sempat  menjejakkan kaki ke situ.
MB dan Kerajaan Negeri memutuskan  tidak bersama, antara lain kerana pertukaran dari 'agenda bersama'  kepada 'hanya agenda Pusat'. Poster One Malaysia menunjukkan PM akan  merasmikan acara itu tergantung di sana sini.
Kemuncaknya malam  ini, hujan ribut 'menyerang' semua persiapan di Stadium bersejarah itu.  Hujan bermula sejak 8.30 malam. Sehingga jam sebelas setengah, ia masih  turun renyai-renyai selepas turun dengan lebat sebelumnya.
Orang  ramai, atas apa jua sebab, samada kerana hujan dan ribut mahu pun hal  yang  lain, tidak membanjiri stadium itu seperti lazim berlaku pada  acara anjuran Tok Guru sebelum ini. Suku stadium pun tak ada. Lengang.
Tentulah  memalukan untuk PM datang berucap dalam suasana hiba seperti itu. Ia  bukan lagi kemuncak yang ditunggu tetapi kemuncak yang sangat  mengharukan.
Tidaklah ganjil untuk PM memutuskan terus menaiki  pesawat pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Tinggal-lah anak buah  terkial-kial, bagai kucing jatuh ke air. PM perlu dielak atau patut  mengelak dari tempias peristiwa upset ini. Biarlah hujan menguasai malam  dan sejarah dirakam seperti kehendak Pencipta.
Datuk Mustapa   terpaksa memikul akibat dari keputusan politik dangkal mengenepikan  Kerajaan Negeri dan tetamu kehormat lainnya di saat akhir, sehingga  akhirnya beliau terpaksa  berdiri di hadapan padang yang kosong untuk  acara perasmian mengantikan PM. Tugas yang berat. Tak semena-mena,   bekalan elektrik pula terputus.
Ketentuan Ilahi nampaknya tidak  menyebelahi penganjur, walau apa jua motif mereka, tersurat atau  tersirat.
Saya membuat catatan ini sebagai mengingati besarnya  kuasa Ilahi dan eratnya Kelantan dijaga oleh Pengawal langit dan bumi.
Di  padang   yang mulia kerana telah menyaksikan ratusan ribu manusia   telah sujud di atasnya dan tidak kurang pula titisan air mata yang  tumpah   ketika heningnya hubungan para hamba dengan Sang Pencipta di  situ dalam siri-siri solat hajat yang telah berjalan berbelas kali,  nyata menunjukkan keramatnya.
Termasuk solat hajat royalti  minyak. Solat hajat untuk ummat Palestin. Solat hajat untuk memenangkan  perjuangan rakyat.
Nampaknya, padang itu tidak mudah melupakan  pihak yang menganiayai rakyat Kelantan tetapi mahu berpesta di atasnya.
Mengenepikan  tuan rumah - tentulah bukan langkah bijak. Apa lagi, PM semata-mata  bukanlah tarikan besar bagi orang Kelantan untuk memenuhi stadium  sebesar itu. Usahkan stadium, dewan biasa pun belum tentu penuh.
Lantaran  itulah, langkah awal penganjur ialah berpijak atas kerjasama dengan  Kerajaan Negeri. Bermakna bekerjasama dengan populariti Tok Guru. Dari  sana, penetrasi boleh bermula.
Entah apa gerangan dan  perhitungan, di saat akhir mereka ingin bersendiri. Sesetengah berkata,  'UMNO tetap UMNO...'.
Ada peluang, mereka mencengkam. Taring UMNO  mereka sentiasa tersedia.
~Husam Musa