FELDA Global Venture Holdings menggunakan tunai simpanan  (cash reserves) dan berhutang secara besar-besaran, untuk menjalankan  merger dan akuisisi di luar negeri.  Lebih-lebih lagi, pembelian  perusahaan-perusahaan ini dijalankan dalam keadaan tidak bersedia,  tanpa penelitian dan penyemakan peneroka FELDA tentang bagaimana dana  ini digunakan, dan maklumat terperinci berhubung pelaburan ini.
Demikianlah  perubahan yang membimbangkan dalam FELDA, setelah Najib Razak  menyandang jawatan Perdana Menteri, menurut sumber dalaman FELDA.   Beliau memberitahu MerdekaReview, FELDA memperlihatkan perkembangan  yang membimbangkan, setelah Najib Razak menguasai FELDA sepenuhnya,  terutamanya apabila FELDA Global Venture Holdings ditubuhkan pada tahun  2007.
"Sebelum Najib masuk, kami (FELDA) tidak pernah  bertindak sebegitu pantas dalam pembelian perusahaan (merger dan  akuisisi).  Setelah beliau masuk, terutamanya selepas penubuhan FELDA  Global Venture Holdings, pembelian perusahaan di luar negeri dijalankan  dengan begitu giat sekali," kata sumber maklumat.
Malah,  beliau menambah, keputusan pembelian perusahaan atau pelaburan ini  bukannya hasil perbincangan dalam FELDA, tetapi arahan politik.   Lebih-lebih lagi, dalam kebanyakan masa, hanya beberapa orang dari  pihak atasan yang mengetahui maklumat terperincinya.
Beliau  menambah, Najib menjalin hubungan yang erat dengan FELDA sejak beliau  menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.  Kekerapan Najib muncul  dalam mesyuarat FELDA bertambah dari purata dua bulan sekali, sehingga  sebulan sekali sekarang, bahkan kadang-kala, dua minggu sekali.
Apa  yang menarik, Najib telah mengalihkan FELDA ke bawah Jabatan  Perdana Menteri setelah beliau dilantik sebagai TPM pada tahun 2004.   FELDA diletakkan secara langsung di bawah bidang kuasa dirinya.
Strategi  radikal dalam pembelian perusahaan
Sumber maklumat ini  meluahkan keresahan pihak dalaman FELDA, "Kami menganggap projek  merger dan akuisisi (yang dijalankan FELDA Global Venture Holdings)  tidak harus dilakukan dengan tergesa-gesa, sekurang-kurangnya nilailah   dahulu hasil projek pembelian perusahaan sebelum terus kepada projek  yang selanjutnya... Bukannya asyik beli sahaja."
Lebih  penting, pembelian ini dijalankan tanpa persediaan yang mencukupi dalam  FELDA sendiri, iaitu tidak mengambil kira sama ada mereka mampu untuk  menanganinya.  Misalnya, FELDA Global Venture Holdings mengambil alih  kilang pemprosesan minyak kelapa sawit di luar negeri, yang mana  perusahaan utamanya adalah penghasilan produk yang mempunyai nilai  tambahan, sementara bahan mentahnya (iaitu kelapa sawit) dibekalkan  melalui projek peneroka FELDA.  Pada hakikatnya, FELDA sendiri  belum bersedia untuk memenuhi keperluan kilang pemprosesan yang semakin  bertambah.
Pelaburan di luar negeri
FELDA  Global Venture Holdings ditubuhkan pada Disember 2007, tetapi hanya  diumumkan struktur organisasinya pada Julai tahun lalu.  Tiga buah anak  negeri di bawah FELDA Global Venture Holdings termasuklan Felda Global  Ventures North Amerika Sdn. Bhd, Felda Global Ventures Indonesia Sdn.  Bhd dan Felda Global Ventures Middle East Sdn. Bhd.
Setakat ini,  pelaburan di luar negeri oleh FELDA Global Venture Holdings yang  diumumkan termasuklah pembelian Syarikat Twin River Technologies  di Amerika Syarikat.  Selain itu, FELDA Global Venture Holdings turut  mencari peluang pelaburan dalam bidang perladangan di Indonesia; di  samping terlibat dalam pelaburan di Timur Tengah.
Sebagaimana  yang diketahui, apa yang diumumkan ini hanyalah sebahagian  daripada pelaburannya.  Pada hakikatnya, syarikat ini telah menerokai  pelaburan di Brazil, India dan Amerika Syarikat.  Tetapi, pelaburan ini  masih dalam keadaan menanggung kerugian.
Selain itu,  FELDA telah menggunakan tunai simpanan (cash reserves) dan berhutang  untuk menanggung pembelian perusahaan di luar negeri ini.  Lantaran  daripada itu, tunai simpanan FELDA menunjukkan pola pengurangan, malah  menanggung hutang yang besar.
"Pada awalnya, ketika FELDA  mempunyai banyak tunai simpanan, sesetengah elit menuduh bahawa wang  ini tidak dikendalikan dengan baik, dan seharusnya digunakan untuk  melabur.  Namun, pelaburan seharusnya mempunyai perancangan jangka  panjang, bukannya melabur secara tergesa-gesa.  Kini, tunai simpanan  yang tinggal tidak seberapa, kerana telah digunakan untuk merger dan  akuisisi."
Sumber maklumat ini berkata, "Saya bersetuju  dengan Tan Kee Kwong (bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan  Koperasi), bahawa FELDA pada asalnya tidak berhutang, tetapi  terlebih berhutang pada masa sekarang."
Baru-baru ini,  kerajaan Najib mengakui bahawa tunai simpanan FELDA telah  berkurang dari RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada  tahun 2009, dengan pengurangan pada kadar 67%.  Selain itu, Tan Kee  Kwong pernah mendedahkan bahawa FELDA memiliki aset bernilai RM7 bilion,  dan tunai simpanan sejumlah RM4.5 bilion, malah tidak berhutang,  sebelum Najib mengambil alih FELDA.
Sebelum ini, media  melaporkan bahawa FELDA sedang merancang untuk menerbitkan bon yang  bernilai RM6 bilion, sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula  FELDA.  Angka ini sama dengan pengumuman FELDA Global Venture Holdings  bahawa mereka merancang untuk melaburkan lebih RM6 bilion untuk  memperluaskan perusahaannya.
Pembangkang mengkritik bahawa Najib  dan Mohd Bakke Salleh yang bakal menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Sime  Darby, harus bertanggungjawab terhadap pengurangan tunai simpanan secara  mendadak dalam FELDA.  Sumber dalaman FELDA mengesahkan bahawa  setelah FELDA melantik Mohd Bakke Salleh sebagai Ketua Pegawai  Eksekutif FELDA Global Venture Holdings pada tahun 2008, merger dan  akuisisi mula dijalankan dengan giat di luar negeri.
Peneroka  FELDA diketepikan
Di samping itu, sumber maklumat ini  menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju bahawa peneroka FELDA  diketepikan ketika keputusan pelaburan ini dilakukan.
"FELDA  memegang 100% saham FELDA Global Venture Holdings, tetapi peneroka  FELDA tidak boleh turut serta, dan tiada hak untuk mengetahui dan  mengundi dalam FELDA Global Venture Holdings.  Jangan lupa, kilang  pemprosesan kepala sawit yang dibeli FELDA Global Venture Holdings itu,  kelapa sawitnya dibekalkan peneroka FELDA.  Daripada 800 ribu hektar  ladang yang dimiliki FELDA, 50% daripadanya dimiliki peneroka FELDA.   Tindakan ini (mengetepikan peneroka FELDA) telah merampas hak yang  seharusnya dimiliki mereka," katanya.
Menurut laporan  media, kerajaan hanya memindahkan 49% saham FELDA yang dimiliki kerajaan  ke FELDA Global Venture Holdings ketika ia ditubuhkan, sementara  51% saham yang dimiliki peneroka FELDA terus dikekalkan dalam FELDA.   Peneroka FELDA memegang 51% saham melalui Koperasi Permodalan Felda, yang  terdiri daripada 110 ribu orang peneroka FELDA dan 22 ribu orang  pekerja.
Dengan kata lain, walaupun FELDA menguasai 100%  saham FELDA Global Venture Holdings, namun peneroka FELDA yang merupakan  pemegang saham besar (51%) telah diketepikan dalam proses membuat  keputusan dalam FELDA Global Venture Holdings.
Menurut  laporan The Malaysian Insider semalam, National Association of Felda  Settlers’ Children telah menggesa agar Suruhanjaya Pencegah Rasuah  Malaysia (SPRM) menyiasat sama ada dana FELDA telah disalahgunakan.  Pengerusinya,  Mazlan Aliman berkata, seandainya Timbalan Menteri Jabatan Perdana  Menteri Ahmad Maslan enggan memberi penjelasan berikutan pengurangan  tunai simpanan FELDA, maka pihaknya bersedia untuk membuat laporan  kepada SPRM dan balai polis di setiap negeri pada bulan depan.
Minggu  lalu, Ahmad Maslan menafikan bahawa pengurangan tunai simpanan FELDA  disebabkan salah urus, malah menafikan bahawa wang ini disalahgunakan.  -MR
*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi  bahasa Cina.  Diterjemah dan disunting  oleh Lim Hong Siang dari teks  asal.