Jumaat, 11 Jun 2010

Kegiatan maksiat di Crystal Bay

MELAKA 10 Jun - Sebut sahaja nama Crystal Bay, Alai pasti ramai sudah tahu ia adalah antara medan ikan bakar dan makanan laut terkenal yang terdapat di negeri ini.

Disebabkan itu, tidak hairanlah mengapa medan makanan laut yang menempatkan hampir 10 gerai ikan bakar di dalam kawasan perumahan itu sentiasa menjadi tumpuan ramai.

Bermula dari sebelah petang hingga ke awal pagi, Crystal Bay akan dipenuhi pelbagai lapisan masyarakat yang sibuk menjamu selera bersama keluarga dan sahabat handai.

Namun siapa sangka, lokasi terkenal ikan bakar sejak lebih 10 tahun lalu itu rupa-rupanya turut mempunyai 'aktiviti' lain di sebaliknya.

Tinjauan di kawasan yang terletak kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar Melaka itu hari ini mendapati, beberapa pasangan remaja lelaki dan perempuan sedang leka duduk berdua-duaan di beberapa sudut tidak jauh dari medan selera ikan bakar tersebut.

Tanpa segan silu, mereka dengan berani duduk sambil berpelukan dan sesekali dilihat melakukan aksi berahi dengan saling bercumbu-cumbuan.

Difahamkan, kegiatan maksiat itu bukan kali pertama berlaku di situ, malah lokasi sama pernah diserbu Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 32, berkata, walaupun pernah diserbu JAIM, beberapa pasangan remaja masih tidak serik untuk melakukan maksiat di situ.

"Pernah juga saya tegur dan mereka beredar, tetapi 'aktiviti' sama berulang kembali beberapa hari kemudian.

"Ada sekali itu saya tegur, remaja tersebut melawan dan sejak itu saya takut hendak tegur lagi kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarga," katanya ketika ditemui.

Tambahnya, dia berharap, pihak JAIM dapat meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan tersebut bagi mengelak kegiatan itu semakin berleluasa.

~Utusan