Oleh Syed Mu’az Syed Putra
KUALA LUMPUR, 6 Jun — Gerakan  Rakyat Membantah Judi (GMJ) memberi amaran kepada Kumpulan Berjaya  jangan sesekali mendesak kerajaan negeri Pakatan Rakyat agar membenarkan  premis judi sukan di negeri masing-masing dan tidak membantah langkah  menghalalkan aktiviti itu.
Setiausaha GMJ Suhaizan Kayat berkata,  kerajaan Pakatan Rakyat sudah menyatakan pendirian untuk menolak premis  judi bola sepak di negeri masing-masing.
Oleh itu kata beliau,  pihaknya hairan mengapa syarikat tersebut masih masih meneruskan hasrat  mengadakan premis aktiviti judi sukan di negeri-negeri diterajui Pakatan  Rakyat, malah di negeri-negeri lain pimpinan Barisan Nasional.
“Kerajaan  Pakatan iaitu Selangor, Kedah dan Pulau Pinang sudah menolak lesen judi  bola sepak di negeri mereka jadi mengapa Kumpulan Berjaya masih hendak  mereka menarik balik larangan tersebut.
“Tindakan yang diambil  kerajaan Pakatan untuk menolak lesen judi sukan ini selari dengan  kehendak rakyat.
“Kalau mereka sudah tolak mengapa mesti mahu  paksa mereka terima?” kata beliau kepada The Malaysian Insider mengulas  kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan  yang merayu kepada kerajaan-kerajaan negeri diterajui PR supaya  “bersikap adil” dan menarik balik larangan dikenakan ke atas premis judi  sukan di negeri masing-masing.
Setakat ini Selangor, Kedah dan  Pulau Pinang telah pun mengisytiharkan tidak akan membenarkan aktiviti  pertaruhan sukan di negeri-negeri berkenaan.
“Saya akan merayu  kepada mereka agar adil (dalam hal ini),” kata Tan.
Suhaizan  berkata Kumpulan Berjaya sepatutnya menerima keputusan yang dibuat  Pakatan Rakyat dan menghormatinya.
“Saya nak cakap kepada  Kumpulan Berjaya supaya jangan hanya mementingkan diri sendiri.
“Kerajaan  Pakatan sudah tolak kerana memikirkan tentang rakyatnya jadi semua  pihak perlu menghormati keputusan ini,” katanya.
Tambahnya, GMJ  akan terus mendesak kerajaan supaya menarik balik kelulusan lesen judi  sukan.
“Kita akan terus mendesak kerajaan dan tidak akan sesekali  kita mengubah pendirian ini.
“Kita mahu kerajaan menarik balik  kelulusan tersebut kerana memikirkan tentang masa depan rakyat dan  negara.
“Ini kerana judi hanya akan memberikan lebih banyak  keburukan daripada kebaikan malah ia juga tidak memberikan sebarang  faedah kepada rakyat,” katanya.
Semalam, GMJ mendesak Kabinet  menarik balik lesen judi sukan, sebaliknya menguatkuasakan undang-undang  judi kerana gejala sosial itu akan memberikan kesan negatif kepada  masyarakat.
Sebanyak 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti  politik bergabung tenaga untuk membantah tindakan kerajaan itu.
NGO  yang terlibat termasuk Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Persatuan  Teras Perpaduan Melayu (Teras), Dewan Pemuda Masjid, Angkatan Belia  Islam Malaysia, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia, Satu Nama, Jemaah  Islah Malaysia dan Jamaiy.
Turut sertai ialah Pengerak Belia  Tempatan MPK, Budayawan Bertindak, Seniman Paksi Rakyat, Persatuan  Anak-anak Peneroka Felda, Nisa Malaysia, Persatuan Kebangsaan Islam  Malaysia, Persatuan Dharma Sakyamuni, Relawan, Pusat Aduan Rakyat  Kempas, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Dewan Pemuda Pusat dan  juga Pertubuhan Anak Melayu Selangor Darul Ehsan Wilayah Persekutuan.
Selain  itu Pemuda DAP dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut menyertai gerakan  tersebut.
GMJ dibentuk bagi menggerakkan rakyat untuk turut sama  membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sempena bola sepak  Piala Dunia.