Oleh Fazli Othman
KUALA LUMPUR 23 Jun - Pakatan Rakyat menggesa  kerajaan Umno-Barisan Nasional supaya tidak menindas rakyat berhubung  kadar tol yang akan dikenakan selepas jambatan kedua Pulau Pinang siap  nanti.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata DAP  mengalu-alukan pegumuman kerajaan untuk mengurangkan kadar tol Link  Kedua antara Johor Bahru dan Singapura sebanyak 30 peratus tetapi pada  masa yang sama meminta supaya perkara yang serupa harus dilakukan bagi  jambatan Pulau Pinang.
"Saya rasa amat kagum dengan pengumuman  Najib yang akan mengurangkan kadar tol di sana sebanyak 30 peratus dan  kita mengalu-alukan tindakan tersebut.
"Apa yang menghairankan,  kerajaan Umno-BN berbuat demikian selepas mendapati laluan lebuh raya  tersebut mengalami kerugian kerana kurangnya kenderaan menggunakan  laluan tersebut," kata Guan Eng pada sidang media di parlimen pagi tadi.
Katanya,  kerajaan sepatutnya menurunkan kadar tol selepas syarikat tersebut  mendapat balik modal dan pulangan yang lumayan.
Dalam pada itu  beliau berharap kerajaan dapat mengkaji semula kenaikan kadar tol di  jambatan Pulau Pinang selepas jambatan kedua Pulau Pinang siap kelak.
"Kita  juga berharap supaya kerajaan Umno-BN dapat mengamalkan semangat  1Malaysia yang diwar-warkan dengan menurunkan kadar tol sebanyak 30  peratus di jambatan Pulau Pinang seperti mana yang diumumkan Najib  semalam," jelas Ahli Parlimen Bagan itu.
Dalam perjumpaan di  Putrajaya semalam, persetujuan dicapai antara Najib dan rakan sejawatnya  dari Singapura, Lee Hsien Loong, bagi membincangkan pelaksanaan perkara  yang dipersetujui (POA) berkaitan tanah milik KTMB di republik itu.
Link  Kedua merujuk kepada laluan jambatan sepanjang 47 kilometer dari  Tanjong Kupang ke Senai di Johor dan sebuah jambatan dua tingkat yang  menjadi lebuh raya dua hala tiga lorong yang menghubungkan Tanjung  Kupang di Johor dan Tuas, Singapura.
Kadar tol sekarang dari  Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor ke Tuas, Singapura mengikut kelas  kenderaan ialah RM1.60 bagi motosikal, kereta (RM10.80), van dan  kenderaan kecil lain (RM24.40), trak (RM48.90), teksi (RM8.10) dan bas  (RM13).