KUALA LUMPUR 28 Jun - Industri perikanan negara mengalami kerugian  sekitar RM1 bilion setahun akibat pencerobohan nelayan asing, kata  Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari  Baharom.
Beliau berkata, walaupun jumlah kerugian sebenar akibat  tindakan itu tidak diketahui dengan tepat, jumlah yang dinyatakan adalah  berdasarkan rekod dan pemerhatian Jabatan Perikanan serta laporan  daripada nelayan tempatan.
Bagi mengatasi isu pencerobohan  nelayan asing yang merugikan negara, kerajaan mempertingkatkan  pengawasan di laut dan udara dengan penglibatan pelbagai agensi  penguatkuasaan maritim negara, katanya pada persidangan Dewan Rakyat di  sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan  Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai jumlah kerugian yang dialami  industri pertanian negara akibat penangkapan ikan secara haram daripada  kapal nelayan asing yang tidak berdaftar.
Mohd. Johari berkata,  selain operasi bersama melibatkan agensi penguatkuasaan yang dijalankan  empat kali setahun, kementerian juga bekerjasama dengan pihak yang  mengendalikan pelantar minyak dan nelayan tempatan untuk mendapatkan  maklumat mengenai penglihatan dan pencerobohan kapal nelayan asing.
-  Bernama