KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu  para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) mengambil langkah  proaktif membuat transformasi politik dalaman parti masing-masing supaya  seiring dengan keperluan masa kini.
Beliau juga mengingatkan  para pemimpin BN bahawa mereka tidak boleh lagi selesa dengan cara  pendekatan lama, sebaliknya mengambil usaha baru, termasuk  memperjuangkan hak dan kepentingan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum  dan latarbelakang.
Beliau berkata ini perlu memandangkan  pendekatan lapuk tidak lagi mendapat sokongan rakyat kini.
"Kita  tidak boleh lagi ambil usaha yang sama seperti yang kita buat 10, 20  tahun yang lalu. Masa telah berubah, harapan (rakyat) juga berubah, dan  ini memerlukan pendekatan yang baru," katanya
"Kita perlu  buktikan kepada rakyat yang pendekatan diguna BN juga berubah. Rakyat  mahu pendekatan baru, mereka mahu setiap komponen parti memperjuangkan  untuk semua kaum di negara ini," katanya semasa merasmikan Konvensyen  Parti Progresif Rakyat (PPP) Wilayah Persekutuan 2010 di Pusat Dagangan  Dunia Putra di sini.
Timbalan Perdana Menteri berkata  transformasi politik ini juga penting bagi mendokong pelbagai agenda  transformasi kerajaan seperti Model Baru Ekonomi dan Program  Transformasi Kerajaan sedang dilaksanakan yang bertujuan meningkatkan  taraf sosio-ekonomi rakyat serta melonjakkan negara ke status ekonomi  maju.
Muhyiddin turut menekankan perpaduan dalaman parti, yang  katanya bukan hanya bagi mengukuhkan BN untuk menghadapi pilihan raya  umum akan datang, malah apa yang lebih penting ialah bagi membolehkan  meneruskan usaha membela nasib rakyat.
"Itu sebab soal  transformasi politik mesti sehaluan dengan transformasi kerajaan.
"Sekiranya  tidak, apa juga usaha yang dibawa oleh pimpinan kerajan tidak mungkin  dapat tercapai matlamatnya sekiranya transformasi politik tidak berlaku  dalam masa yang sama," katanya.
Sehubungan itu, beliau juga mahu  semua lapisan pemimpin BN mengambil berat dan mendalami agenda  transformasi kerajaan, khasnya kandungan Rancangan Malaysia Kesepuluh  (RMK-10) yang dibentangkan Perdana Menteri Khamis lepas.
--  BERNAMA