KUALA LUMPUR, 27 Jun: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mahu  pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil tindakan tatatertib  kepada seorang pensyarah universiti itu yang menyertai Umno Jumaat  lalu.
Presidennya, Mohd Idris Mohd Yusoff dalam satu kenyataan  berkata, UKM perlu adil dan konsisten apabila sebelum ini turut  mengambil tindakan tatertib terhadap empat pelajar Sains Politik yang  terlibat dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor lalu kerana di  dakwa melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
"GAMIS  mendesak pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan  pendirian kepada seorang pensyarahnya Fadlan Mohd Othman yang secara  jelas dan terang menyatakan kepada umum menyertai parti UMNO," katanya.
Empat  pelajar UKM yang dikenakan tindakan tatatertib sebelum ini ialah  Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin, dan  Azlin Shafina Mohamad Adza.
Mereka kini berjaya mendapat perintah  injunksi sementara dari Mahkamah Tinggi bagi menghalang UKM daripada  meneruskan prosiding tatatertib terhadap mereka.
"Bagaimana pula  dengan seorang pensyarah yang terlibat dengan parti politik? Adakah ia  dilepaskan oleh kerana menyertai parti politik kerajaan? Ataupun dia  dilepaskan kerana dia adalah seorang pensyarah, dan bukan pelajar?"  soalnya lagi.
Jumaat lalu, pensyarah UKM, Fadlan Mohd Othman  bersama 39 orang lagi yang didakwa berlatarbelakang agama dilaporkan  telah menyertai Umno.
Laporan sebelum itu mendakwa 100  orang ulama akan menyertai Umno termasuk bekas Mufti Perlis, Dr Mohd  Asri Zainul Abidin.
Dr Asri bagaimanapun semalam menafikan  penyertaannya ke dalam Umno seperti yang dispekulasikan banyak pihak  sejak awal minggu lalu.- HD