Dzulfikar Mashoor  
KUALA  LUMPUR, 17 Jun: Gara-gara  mendesak Ketua Pembangkang,  Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mendedahkan  klip video berhubung  sogokan RM2 juta yang membabitkan beberapa Ahli  Parlimen Bebas  sebagaimana yang dicabar oleh Ahli Parlimen Bayan Baru,  Datuk Zahrain  Mohammed Hashim, seorang wartawan RTM yang dikenali  sebagai Tukimin  dinasihatkan supaya bersikap lebih profesional.
“Kamu  (Tukimin)  tak jadi menteri lagi pun, kamu sudah begini. Sudah habis  bertanya  soalan, sudah habis tanya soalan, ok...kamu diam,” kata Anwar  pada  sidang media di lobi Parlimen tengah hari tadi.
Beliau yang  juga  Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, Menteri Penerangan,  Kebudayaan  dan Warisan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim yang beliau  kenali secara  peribadi jauh lebih berakhlak dan beradab ketika  berkomunikasi dengan  beliau jika dibandingkan dengan wartawan terbabit.
Disebabkan   nasihat Anwar itu, wartawan terbabit terus berlagak agresif dan   memperkecilkan nasihat Anwar lalu meninggalkan sidang media tersebut.
Sebelum   pada itu, Anwar didesak bertalu-talu untuk menjelaskan secara spesifik    bila beliau bersedia menyahut cabaran Zahrain sebagaimana dibuat di   Dewan Rakyat, semalam.
Menjawab soalan itu, Anwar meminta   wartawan terbabit mendedak RTM menyiarkan dahulu klip video konspirasi   melantik hakim yang membabitkan Peguam VK Linggam sebelum ini.
Ini   kerana, menurut Anwar, RTM tidak pernah profesional dalam mendedahkan   kepincangan para pemimpin Umno BN dalam mentadbir negara.
Sehubungan   itu, beliau berkata, soalan berunsur provokasi oleh wartawan terbabit   tidak seharusnya dilayan.
“Saya yang menentukannya (klip video   RM2 juta), saya akan tetap mendedahkannya kelak. Kamu diam dan saya   tidak perlu layan provokasi RTM,” tegasnya.
Turut menyertai Anwar   ialah Datuk Mahfuz Omar (Naib Presiden PAS/Ahli Parlimen Pokok Sena),   Datuk Kamaruddin Jaafar (Ahli Parlimen Tumpat) dan Yusmadi Yusoff (Ahli   Parlimen Balik Pulau).