KUALA LUMPUR, 7 Jun — Tekanan harus dilakukan terhadap Amerika Syarikat  (AS) supaya tidak lagi menyokong dan melindungi keganasan rejim Israel,  demikian gesaan anggota Dewan Rakyat hari ini.
Mereka sepakat  bahawa Israel berani bertindak sesuka hati kerana dilindungi kuasa  besar, dan oleh itu, Amerika Syarikat perlu didesak supaya tidak  melindungi kezaliman rejim Yahudi itu.
Ketika memulakan  perbahasan usul mengecam kezaliman tentera Israel menyerang kapal  Freedom Flotila yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Ketua  Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) berkata selama  ini AS dan Israel telah menjalinkan hubungan yang erat sehingga  menyebabkan rejim zionis itu bebas melakukan apa sahaja tanpa rasa  takut.
“Saya berpendapat Israel mungkin tidak mempunyai kekuatan  untuk menyerang (Freedom Flotilla) tanpa dokongan AS. Usul ini hendaklah  menuntut AS dengan tegas menghalang zionis Israel daripada terus  melakukan kezaliman dan keganasan kepada rakyat Palestin.
“Saya  juga mendesak agar usul ini menggesa AS supaya tidak lagi melindungi  perbuatan jenayah dan keganasan yang dilakukan Israel,” kata Anggota  Parlimen Permatang Pauh itu yang turut menyokong usul tersebut.
Wakil  MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai (BN-Bentong) berkata beliau berharap AS  tidak lagi menggunakan kuasanya menyekat tindakan yang perlu diambil  oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Rejim  zionis ini merasakan bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja kerana  dilindungi kuasa besar seperti AS. Adalah diharapkan, menerusi usul ini,  AS tidak lagi berterusan menggunakan kuasa vetonya ke atas Majlis  Keselamatan PBB,” katanya yang juga Menteri Kesihatan dan Timbalan  Presiden MCA.
Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) pula  berkata Malaysia yang mempunyai hubungan dengan AS boleh menyampaikan  mesej tersebut.
“Sebagai sebuah negara (Malaysia) yang ada  hubungan dengan AS, sepatutnya kita boleh sampaikan kepada AS sebagai  seorang kawan. Tanpa sokongan dan dokongan AS, Israel tidak berani  (untuk) bermaharajalela. Kalau ini berterusan (memberikan sokongan),  Israel akan dilihat seperti Nazi Jerman yang membunuh dengan zalim dan  kejam sekali,” katanya.
Beliau turut mencadangkan Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Razak supaya bersemuka dengan Presiden AS Barack Obama  secepat mungkin bagi menyatakan kecaman terhadap Israel.
“Jalan  paling berkesan ialah pergi ke Washington dan saya tahu Washington tidak  suka dengan cara ini ... beritahu depan muka dia (Obama) jangan hanya  cakap yang manis. Kita sedia anggap Perdana Menteri sebagai wira kalau  berani bercakap dengan Obama. Kita beri sokongan pada usul ini,”  katanya.
Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar-Baharu) pula  menggesa Parlimen supaya mendesak AS memutuskan hubungan dengan Israel  manakala Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pula menyifatkan Israel  menjadi angkuh kerana mendapat sokongan daripada AS.
“Keangkuhan  Israel adalah kerana mendapat sokongan kuasa AS dan kuasa sekutunya.  Israel ini hanyalah negara nyamuk sahaja. Ini menjadikan mereka kuat  adalah kerana kuasa besar yang menjadi pendorong kepada Israel,” kata  beliau BK.
Sementara itu, Datuk Joseph Entulu Belaun  (BN-Selangau) pula berkata kritikan dan hentaman seluruh dunia termasuk  sekutunya AS sering kali dipandang remeh oleh Israel selain tindakan AS  yang dilihat tidak tegas dalam memberikan kritikan.
“Dunia sedar  AS hanya memberikan kutukan secara ringan sahaja yang menampakan  ketidakadilan kepada rakyat Palestin,” katanya yang juga Timbalan  Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Wakil MIC Datuk Dr  S.Subramaniam (BN-Segamat) pula berkata bahawa sudah tiba masanya untuk  tindakan menggunakan saluran perundangan antarabangsa dan tekanan  terhadap kuasa-kuasa besar dilakukan.
“Apakah justifikasi  pembunuhan kejam ini? Apakah dunia hanya akan memerhatikan kekejaman  rejim Israel yang tiada hadnya tanpa membuat sesuatu?
Dunia kini  tidak boleh lagi berdiam diri dengan hanya sekadar memprotes terhadap  kekejaman rejim zionis ini,” kata beliau yang juga Menteri Sumber  Manusia.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang)  mahukan agar Malaysia menerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)  mencadangkan agar setiap misi kemanusiaan diiringi pasukan ketenteraan  dari setiap negara.
Usul yang dibentang Perdana Menteri  diluluskan selepas perbahasan lebih lima jam oleh 28 wakil rakyat. —  Bernama