Oleh Faizal Ezzany
KUALA LUMPUR 7 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk  Seri Anwar Ibrahim menganggap usul 15 perkara yang dibentangkan Perdana  Menteri hari ini bagi mengutuk serangan kejam tentera Rejim Zionis  Israel ke atas konvoi kapal 'Freedom Flotilla' yang membawa bantuan  kemanusiaan ke Semenanjung Gaza tidak mempunyai kesungguhan dan tekad  menunjukkan Malaysia serius dalam isu antarabangsa tersebut.
Usul  khas itu kata Anwar menunjukkan sikap sebenar kerajaan terhadap dalam  kejadian yang meragut 9 nyawa aktivis dan lebih 30 mangsa yang cedera.
Anwar  Ibrahim berkata usul itu perlu ditambah bagi menunjukkan Malaysia  benar-benar prihatin kepada apa yang berlaku.
"Usul yang  dikatakan oleh Najib nampak kesungguhannya tetapi ia perlu ditambah agar  menampakkan lagi ketegasan kita dalam hal sedemikian. Apa yang ingin  saya katakan Najib mengusul agar Israel dirujuk kepada Mahkamah Jenayah  Antarabangsa disebabkan sebelum ini belum ada negara yang  mengusulkannya, maka Najib mengarah Turki mengemukakan usul tersebut  agar Israel diadili.
"Saya ingin membuat penambahan agar Najib  dan kerajaan Malaysia bekerjasama dengan Kerajaan Turki dalam mengemukan  usul membawa Israel kemuka keadilan, dengan sikap ini dapat menunjukkan  kita bertegas dan tidak boleh berkompromi dengan kezaliman Israel.
"Keengganan  masyarakat antarabangsa menerima keputusan rakyat Palestin yang membuat  pilihan secara demokrasi yang memilih Hamas sebagai kerajaan mereka  menyebabkan kesempatan ini digunakan oleh Israel untuk turut tidak  mengiktiran Hamas. Amerika Syarikat juga mengambil tindakan membatalkan  kemenangan Hamas itu kerana sikap mereka yang bersekutu dengan  peperintahan Israel.
"Saya menyeru agar Perdana Menteri mengkaji  semula agar Malaysia tidak tunduk kepada kuasa Amerika dan Israel dan  mengiktiraf apa yang dilakukan oleh rakyat Palestin adalah pilihan  mereka melalui proses demokrasi. Usaha menafikan suara Hamas dan  mengikut suara Amerika akan meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara  yang bacul, penakut dan bukan negara yang merdeka.
"Tekanan  terhadap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam mengeluarkan  ketetapan dilihat sangat lemah, Malaysia perlu tahu kenapa PBB gagal  mengeluarkan ketetapan tersebut, ini disebabkan oleh tekanan yang  diberikan oleh Amerika.
"Sebab apa kita mahu Malaysia tegas dalam  hal tersebut dan jangan tunduk kepada kuasa Amerika kerana Israel  menjadi kuat dan angkuh disebabkan oleh kuasa Amerika dibelakang  mereka," bahasnya.
Anwar memberitahu jika usul yang tegas  dilakukan oleh Perdana Menteri akan menunjukkan Malaysia sebagai sebuah  negara yang merdeka tidak akan berdiam diri dalam soal keganasaan  terhadap serangan kapal bantuan kemanusiaan dan juga penduduk Palestin  mahupun Gaza, selain tidak akan tunduk dengan suara kuasa besar dunia  seperti Amerika.
Sebelum itu Najib telah mengemukakan Usul Khas  terhadap kekejaman Israel dengan mengambil beberapa ketetapan :
1.  Mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera rejim Zionis di bawah  kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke atas  kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang telah mengakibatkan  kehilangan banyak nyawa dan kecederaan kepada orang awam.
2.  Merakamkan rasa kecewa tidak terhingga tindakan Majlis Keselamatan  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di atas kenyataan yang begitu lemah  terhadap serangan ganas Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan  tersebut.
3. Memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mencela Israel dan bukannya  semata-mata membuat kenyataan yang lemah.
4. Memutuskan bagi  Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara Anggota Pertubuhan  Persidangan Islam (OIC), Pergerakkan Negara-negara Berkecuali (NAM),  Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendukung prinsip  undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang  hak asasi manusia,  undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza.
5.  Mengesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Majlis  Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi merujuk situasi akibat  serangan tentera rejim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa  (ICC).
6. Mengesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan  usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi  mendapatkan Advisory Opinion Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
7.  Memohon supaya negara Turki mempertimbangkan untuk mengambil tindakan  di bawah peruntukan Statut Rome, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
8.  Menyeru supaya satu siasatan bebas yang penuh dibuat terhadap serangan  Tentera rejim Zionis dan bukannya setakat siasatan yang tidak berpihak.
9.  Menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa terutamanya Majlis  Hak Asasi Manusia melalui Resolusi yang telah diterima pada 2 Jun 2010,  supaya siasatan yang berakauntabiliti dan bebas sepenuhnya dibuat  mengenai serangan ini.
10.Menuntut Israel supaya tidak menghalang  sebarang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya  di Gaza, selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu.
11.Mengalu-alukan tindakan negara Mesir  membuka sempadan Rafah tanpa syarat bagi memastikan bantuan kemanusiaan  dapat disalurkan tanpa sebarang halangan.
12.Merayu kepada  masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan  kepada penduduk Wilayah Palestin di Gaza tanpa menghiraukan dan gentar  kepada ancaman rejim Zionis.
13.Merakamkan penghargaan kepada  negara-negara Jordan, Turki, Ireland, filipina dan juga negara-negara  lain yang terlibat dalam usaha-usaha membebaskan rakyat malaysia yang  ditahan oleh rejim Zionis.
14.Menyeru rakyat Palestin supaya  bersatu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan  negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat.
15.Menzahirkan  sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah  pembentukan negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.