Tiga rakyat Sarawak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya berhubung dakwaan rasuah  dan salah guna kuasa oleh ketua menterinya Tan Sri Taib Mahmud.
Tiga  pengadu itu - John Brian Anthony, Ting Cek Ming dan Kung Chin Chin  menggesa suruhanjaya itu menyiasat 'empayar' perniagaan Taib dan  keluarganya yang didakwa bernilai 'lebih RM3 bilion' berdasarkan apa  yang dilaporkan di blog sarawakreport.org.
Aduan dibuat kepada  pegawai kanan SPRM, Ranjit Singh.
Ini adalah aduan kedua yang  dibuat berhubung perkara yang sama. Aduan pertama dibuat kepada SPRM di  Kuching, semalam oleh Ahmad Nazib Johari.
Menurut seorang  daripada pengadu itu, Ting Chek Ming, proses membuat aduan berjalan  lancar berbanding minggu lalu apabila beliau bersama Ahmad Nazib dan  James Wong cuba mengemukakan aduan mereka.
"Kali ini,  kami datang dengan salinan laporan yang ditaip dan pegawai SPRM  menandatangani mengesahkan penerimaan aduan berkenaan di salinan kami  bagi memastikan tiad ada perubahaan dibuat terhadap aduan itu,” katanya.
Minggu  lalu, Ting, Wong dan Ahmad Nazib terpaksa menarik balik laporan mereka  kerana mendakwa pihak SPRM di Shah Alam enggan memberikan salinan aduan  yang ditulis dengan tangan.
Hadir bersama menemani ketiga-tiga  mereka membuat aduan hari ini adalah pemimpin wanita PKR, Rozaini Mohd  Rosli bagi menzahirkan sokongan Pakatan Rakyat berhubung isu berkenaan.
Ketiga-tiga  pengadu berkenaan dinasihatkan bahawa mereka mungkin akan dipanggil  kemudian bagi memberikan kenyataan terhadap apa yang diistilahkan oleh  suruhanjaya itu sebagai 'kes besar'.
"Kami diberi jaminan yang  SPRM akan menyiasat kes itu dan dinasihatkan menulis kepada Pengarah  Siasatan bagi mendapatkan perkembangannya,” kata Ting.
Sarawakreport.org  mendakwa Taib dan keluarganya mempunyai empayar perniagaan  antarabangsa, termasuk memiliki hotel mewah di Australia dan hartanah  komersial di tapak utama di Kanada melalui cara yang disangsikan.
Blog,  yang dikendalikan oleh “rakyat prihatin' itu juga mempersoalkan  pembabitan keluarga Taib dalam konglomerate terbesar negeri itu - Cahaya  Mata Sarawak.
Ia juga mendakwa 85 peratus saham CMS dimiliki  oleh Taib dan keluarganya serta rakan-rakan karib mereka ketika syarikat  berkaitan kerajaan itu diswastakan yang menimbulkan dakwaan salah guna  kuasa.