Kes Remaja 15 Tahun Ditembak Polis: Pakar forensik Amidon tawar bantuan
Pakar forensik  Amidon Anan - yang pernah terlibat dalam kes berprofil tinggi seperti  pembunuhan Canny Ong dan Altantuya Shaariibuu - menawarkan khidmatnya  bagi membantu keluarga pelajar 14 tahun - Aminulrasyid Amzah yang mati  ditembak polis, Isnin lalu.
Menurut bapa  saudara dan jurucakap keluarga mangsa, Kamarudin Hasan, bekas polis  berpangkat superitenden itu adalah satu-satunya pakar yang menawarkan  khidmatnya di samping barisan peguam dari NGO dan parti politik.
Bercakap  kepada pemberita selepas 20 minit berbincang dengan Amidon (kiri) di rumah  keluarga Aminulrasyid, Kamarudin berkata pihaknya sedang menimbang  tawaran pakar forensik itu.
"Kami sudah sampai ke tahap  persefahaman dengan Amidon, tetapi kami mempunyai keluarga yang besar  dan kami mahu mendapatkan nasihat daripada mereka terlebih dahulu  sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.
Amidon yang juga  bekas ketua jabatan forensik unit Penyiasatan Jenayah Tempat Kejadian  turut dilaporkan pernah terlibat dalam penyiasatan insiden bangunan  Highlands Towers yang runtuh pada 1993.
Kamaruddin  menambah sekiranya keluarga Aminulrasyid menerima tawaran Amidon, ia  akan membolehkan mereka membuat perbandingan laporan kejadian itu dengan  versi polis.
"Kami mahu pandangan kedua," katanya.
~malaysiakini