Rabu, 5 Mei 2010

KENAPA KERAJAAN BN KORBANKAN SABAH?

Oleh: HALIK ZAMAN

MASALAH Limbang adalah masalah Sarawak. Semenjak dulu lagi Limbang menjadi isu tuntutan Brunei kepada Negeri Sarawak. Jika dilihat secara logiknya masalah tuntutan ini tidak ada kena mengena dengan Sabah.

Rakyat Sabah begitu terkeliru dengan situasi ini. Mengapa Sabah pula dibebankan dengan masalah tuntutan ini, walhal sepatutnya Sarawaklah yang harus menanggung segala risiko dan permasalahan ini?

Difahamkan satu penyelesaian telah diambil oleh Kerajaan UMNO/BN bagi menyelesaikan tuntutan Negara Brunei bahawa Kerajaan UMNO/BN terpaksa membenarkan Kerajaan Brunei untuk menggali hasil minyak di kawasan Sabah di Blok L dan Blok M untuk suatu tempoh yang agak lama, yakni selama 40 tahun.

Sepanjang tempoh 40 tahun itu, sama ada Kerajaan Brunei dan Kerajaan Malaysia di bolehkan untuk mengambil hasil minyak di kedua-dua blok berkenaan.

Difahamkan juga, setelah tamat tempoh 40 tahun, kawasan cari-gali minyak ini akan di miliki sepenuhnya oleh Kerajaan Brunei. Satu persoalan lain yang timbul, Kerajaan Pusat tidak menyatakan di mana kedudukan sebenar lokasi blok L dan blok M ini yang berada dalam kawasan Sabah.

Sekiranya ianya benar-benar berlaku, maka Sabah akan mengalami kerugian sebanyak RM16 billion dalam tempoh 40 tahun. Manakala Petronas pula dianggarkan akan mengalami kerugian sebanyak RM120 billion dalam tempoh yang sama.

Seperkara yang benar-benar menjadi kesalan di hati rakyat Sabah, mengapakah masalah Sarawak ini, kawasan minyak Sabah harus dijadikan korban? Yang hairan mengapa tidak pernah sekalipun Musa Aman membawa perkara ini ke dalam Dewan Undangan Negeri untuk memohon kelulusan?

Minta penjelasan dari Musa Aman Ketua Menteri Sabah untuk membenarkan perkara ini berlaku tanpa dibincangkan ke Dewan Undangan Negeri Sabah, kalau tidak pernah berlaku? Sila nafikan agar rakyat faham kedudukkan sebenarnya. Kita tidak berniat menuduh, tapi kita berhak mendapat penjelasan yang memuaskan.

Kalau benar perkara sebegini berlaku, ini bukan sahaja merupakan satu subjek yang mengakibatkan kerugian besar kepada negeri dan rakyat Sabah. Kalau di bandingkan kisah penyerahan Labuan kepada Wilayah Persekutuan, Sabah tidak mendapat kerugian apa-apa.

Seperkara yang pasti, penyerahan Pulau Labuan kepada Wilayah Persekutuan, telah mendapat kelulusan dari Dewan Undangan Negeri semasa zaman Datuk Harris Salleh. Ianya sama sekali tidak boleh dijadikan asas perbandingan.

Kalau apa yang kita timbulkan ini benar benar berlaku? Rakyat Sabah amat kesal mengapa perkara-perkara sebegini tidak di berikan penjelasan sewajarnya dari Musa Aman sebagai Ketua Menteri Sabah?

Rakyat Sabah juga amat kesal sekiranya benar, mengapa hal-hal penting sebegini di sembunyikan akan kedudukan perkara sebenarnya dari pengetahuan rakyat oleh Pak Lah? Pak Lah tidak pula memberi tahu di mana kedudukkan Blok L dan Blok M sama ada di kawasan perairan Sarawak atau Sabah?

~sabahkini