Oleh Adib Zalkapli
KUALA LUMPUR, 3 Mei — Ezam Mohd Noor yang  mengangkat sumpah sebagai Senator hari ini melihat pelantikannya itu,  muncul kurang dua tahun selepas kembali ke pangkuan Umno, sebagai  pengiktirafan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Ini adalah  pengiktirafan oleh Perdana Menteri untuk menerima perbezaan  (pandangan), untuk memberi ruang kepada mereka seperti mahukan  pembaharuan,” kata Ezam di sini hari ini.
Ketika ditemui  pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara, Ezam  berkata, beliau percaya Najib serius dalam melakukan pembaharuan.
“Saya  mahu bekerja dengan beliau untuk melakukan pembaharuan,” katanya yang  sebelum ini menerajui badan bukan kerajaan bagi menjalin hubungan rakyat  Indonesia dan Malaysia.
Mengenai spekulasi bahawa akan diberikan  jawatan dalam kerajaan, Ezam berkata, itu bukan hasratnya.
“Ketika  saya menjadi pemimpin pembangkang, saya hanya bertanding sekali pada  1999.
“Pada 2004, saya tidak tanding (pilihan raya umum) selepas  saya mendedahkan dokumen-dokumen rasuah, jika saya sememangnya berhasrat  mahu bertanding, saya sudah tentu tidak melakukan perkara itu.
“Tindakan  saya tidak pernah disebabkan oleh langkah (kejar) jawatan,” katanya.
Berhubung  soalan sama ada jawatan ini sebagai satu ganjaran kerana bertindak  menentang Anwar sejak dua tahun lalu, Ezam berkata beliau mendedahkan  penyelewengan sejak berada dalam PKR.
“Jika ada yang mengatakan  saya dibayar kerana mendedahkan penyelewengan, Anwar sepatutnya menjadi  orang pertama membayar saya.
“Mengapa tidak anda tanya berapa dia  bayar untuk saya. Saya tidak melakukan ini hanya sekarang tetapi  melakukan ini sejak memegang jawatan ketua Pemuda PKR,” katanya lagi.
Ezam  meninggalkan PKR pada 2007 dan menyertai Umno selepas pilihan raya umum  tahun berikutnya.
Sejak menyertai Umno, Ezam dilihat sebagai  antara pemimpin PKR mengecam keras bekas bosnya.
Dalam pada itu  Ezam juga berkata pelantikan beliau sebagai senator menjadi landasan  terbaik bagi beliau untuk menerangkan kepada rakyat tentang anasir jahat  yang mengamalkan politik melampau dan membahayakan negara.
“Saya  merasakan tanggungjawab saya untuk mempertahankan negara dan asas-asas  negara ini daripada serangan-serangan yang dilakukan oleh  kelompok-kelompok pengkhianat dan pelampau dalam negara.
“Jadi  saya akan ambil tanggungjawab ini sebab saya pernah jadi sebahagian  daripada mereka untuk menerangkan kepada rakyat, terutama anak-anak muda  bahawa ia sesuatu yang berbahaya kepada negara,” katanya.
Ezam  mengangkat sumpah jawatan senator bersama-sama tiga yang lain di hadapan  Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Negara hari ini.
Tiga  lagi ialah Timbalan Presiden MIC dan bekas Timbalan Menteri Pembangunan  Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk G. Palanivel, Pengerusi Eksekutif  Rahim & Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Wanita Umno  Bahagian Pagoh Noriah Mahat.
Ezam berkata adalah menjadi  tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk
mempertahankan negara  daripada dirosakkan oleh pelampau politik yang sanggup menjual nama Yang  di-Pertuan Agong dan negara demi kepentingan peribadi.
Ezam  pernah memegang jawatan sebagai setiausaha politik kepada Ketua  Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga merupakan pengasas dan  pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara.
Sementara itu,  Palanivel turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana  memberi kepercayaan kepadanya dan juga kepada presiden MIC, Datuk Seri  S. Samy Vellu  kerana menasihati beliau untuk mengambil jawatan itu.
“Pada awalnya, saya  sedikit keliru untuk terima atau tidak, akhirnya presiden pujuk saya  untuk terima jawatan ini dan saya terima dan akan cuba untuk berfungsi  sebagai ahli dewan negara dengan baik,” katanya.
Palanivel  bagaimanapun enggan mengulas spekulasi bahawa beliau akan ditawarkan  jawatan dalam Kabinet sebagai timbalan menteri.
Abdul Rahim dan  Noriah juga menghargai kepercayaan Perdana Menteri dan berjanji akan  menjalankan tanggungjawab sebagai senator dengan sebaik mungkin.