|    Merujuk kepada perkara diatas, saya pernah bekerja  dengan Datuk Zaid (Foto) di Yayasan Pemulihan Orang Cacat Kelantan (YPOCK)  pada tahun 2000 - 2001.
  Sekarang saya dengar nama Yayasan itu  telah bertukar. Semasa itu saya adalah Ahli Fisioterapi yang di gajikan  oleh Datuk Zaid untuk merawat kes-kes seperti 'Down Syndrome', 'Cerebral  Palsy ', 'Hemiplegia', 'Poliomyelitis' dan lain-lain.
  Antara  tugasan saya ialah mendaftarkan semua orang cacat tidak kira cacat  anggota, pekak dan bisu, buta dan membantu mereka untuk didaftarkan  dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
  Untuk membantu mereka  ini kami menyediakan khidmat pengangkutan dari rumah mereka (berserta  dengan pembantu untuk mengangkat/memimpin/menyediakan kerusi roda) ke  pejabat JKM dan seterusnya dari JKM pulang ke rumah mereka tanpa  sebarang bayaran.
  YPOCK juga mempunyai rekod semua klien dari  segi butiran peribadi dan status kewangan mereka. Saya masih ingat  menerima arahan dari Datin Suliana (isteri Datuk Zaid) untuk  menyampaikan wang zakat dan derma untuk klien YPOCK yang tidak dapat  hadir ke majlis penyampaian zakat dan derma yang di sempurnakan oleh  Datuk Zaid Ibrahim.
  Saya beserta warga kerja YPOCK yang lain  seperti En Ishak, Kak Bibah, Hazizul (dan lain-lain yang saya tidak  dapat ingat nama mereka) pergi kerumah klien YPOCK untuk menyampaikan  derma dan zakat, bukan sahaja di Kota Bahru, adakalanya sampai ke  jajahan Tumpat.
  YPOCK semasa itu merupakan payung kepada semua  persatuan orang cacat lain di Kelantan. Banyak aktiviti dilakukan di  bangunan YPOCK. Antaranya kelas komputer untuk orang-orang cacat,  latihan angkat berat dan jasmani untuk atlet OKU yang akan mewakili  Kelantan di Sukan OKU Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur.
  Aktiviti  teras YPOCK adalah untuk memberi rawatan fisioterapi kepada klien yang  berdaftar dengan Yayasan. YPOCK mempunyai peralatan yang mencukupi untuk  merawat klien. Ini termasuk 'horse riding therapy' untuk kanak-kanak  'Cerebral Palsy ' yang tiada keseimbangan badan. Rawatan ini diberikan  di 'horse farm' di belakang bangunan YPOCK.
  Sebenarnya rawatan  jenis ini pun tiada di hospital kerajaan. Alangkah bertuahnya klien  YPOCK kerana semua rawatan diberi secara percuma. Yang tiada kemudahan  pengangkutan juga diberi kemudahan pengangkutan secara percuma.
  Apa  yang saya dedahkan diatas adalah benar belaka. Bangunan YPOCK di Jalan  Padang Tembak, Pengkalan Chepa itu dirasmikan oleh Tun Abdullah Badawi  sekitar tahun 1999. YPOCK pernah menerima Lawatan dari Tun Siti Hasmah  (isteri Tun Dr Mahathir) dan Datuk Dr Siti Zaharah, mantan Menteri  Kebajikan Masyarakat.
  Apa yang saya nyatakan bukan untuk kempen  Datuk Zaid tetapi menyatakan kebenaran apa yang Datuk Zaid pernah  lakukan untuk masyarakat cacat yang mana lapisan masyarakat ini pada  hakikatnya selalu dipinggirkan dan dipandang hina.
  Lihat sahaja  bagaimana P.Ramlee pernah menggambarkan penghinaan pada OKU dalam filem  'Sumpah Orang Minyak'. Tetapi Datuk Zaid telah mencurahkan bakti ini  bukan kerana pilihanraya Hulu Selangor malah telah melakukanya lebih  dari 10 tahun yang lalu.
  Saya sedih dengan serangan peribadi  yang memburukan Datuk Zaid. Tetapi lupakah kita bahawa Allah SWT itu  Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun? Semuga Allah SWT  mengampunkan kita semua.
  Sekian. Terima kasih.
  Mohamed  Nor bin Salim Perunding Fisioterapi YPOCK 2001
  [Surat  pembaca Harakahdaily]  |