SHAH ALAM 9 APR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan  Rakyat  (PKR), Badrul Hisham Shaharin menggesa individu yang terlibat  menyorok  maklumat mengenai penyusupan perisik Israel-Zionis di Bukit  Aman, harus  sekurang-kurangnya memohon maaf kepada rakyat.
Malah,  beliau  menyifatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin  Hussein dan  Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sepatutnya mengambil   tanggungjawab penuh dengan meletak jawatan.
Ia berikutan   tindakan pro-aktif yang dilakukan KDN mahupun PDRM hanya dibuat selepas   pendedahan dilakukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di   Dewan Rakyat.
"Maknanya, kita bukan buat pendedahan kosong.   Akhirnya, dengan bukti yang kita bagi, Musa Hasan dan Hishamudin sendiri   terpaksa mengakui memang Asiasoft itu wujud.
"Kontrak dan   tender itu wujud dan lebih dari itu, keselamatan negara tergadai apabila   ejen perisikan telah masuk.
"Sekarang, seseorang harus   bertanggungjawab. Kalau bukan Ketua Polis Negara, orang yang harus   bertanggungjawab ialah Menteri Dalam Negeri. Paling tidak, dia kena   minta maaf secara terbuka.
"Kalau lebih bermaruah, dia harus   meletakkan jawatan," katanya kepada TV Selangor, hari ini.
Ibarat   terantuk baru tengadah, begitulah gelagat Kementerian Dalam Negeri dan   Polis Diraja Malaysia yang kelam kabut melakukan tindakan wajar  selepas  pendedahan dibuat Anwar.
Mengikut Malaysiakini,  Hishammudin  mengakui wujudnya masalah dengan Asiasoft yang didedahkan  Anwar sebagai  syarikat yang membawa masuk dua perisik Israel Zionis  bagi mengendalikan  perisian komputer di Bukit Aman.
Sepupu  Perdana Menteri itu  bagaimanapun menyatakan Asiasoft sudah ditamatkan  perkhidmatannya dan  mahu mengambil pendekatan bagi menyiasat pendedahan  penyusupan dua  perisik Israel Zionis itu.
Empat pendekatan itu  ialah mengarahkan  pegawai khasnya membuat laporan polis dan Suruhanjaya  Pencengahan  Rasuah Malaysia, selain membawa isu ini ke Majlis  Keselamatan Negara dan  Jawatankuasa Terpilih Parlimen./TVSelangor