Oleh Rusnizam Mahat
KUALA LUMPUR 16 Apr -  Mungkinkah firma  komunikasi antarabangsa Apco Worldwide dengan kerjasama media milik  Umno-Barisan Nasional berperanan memberi gambaran yang muluk berhubung  lawatan Perdana Menteri ke Amerika Syarikat kepada rakyat Malaysia  tetapi realiti  lawatan itu adalah jauh dari kebenaran?
Justeru  itu Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri, Datuk  Seri Najib Razak supaya menjawab semua persoalan berhubung lawatannya ke  Amerika Syarikat kepada anggota Dewan Rakyat sekembali beliau ke tanah  air.
Kit Siang berkata, beliau menerima satu laporan dari seorang  rakyat Malaysia di Washington mengenai lawatan Perdana Menteri yang  menimbulkan banyak persoalan penting.
Pertamanya, kedutaan  Malaysia di Washington didakwa bersubahat dengan media Malaysia bagi  memberikan gambaran yang tidak benar mengenai pertemuan itu.
Misalnya,  media melaporkan Najib adalah salah seorang dari dua pemimpin Asia yang  dipertemukan dengan Presiden Amerika, Barrack Obama selain Presiden  China, Hu Jin Tao.
Hakikatnya Perdana Menteri India, Manmohan  Singh dan Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani turut dikatakan  bertemu dengan Obama secara individu untuk sesi pertemuan antara satu  jam setengah hingga dua jam.
Pertemuan itu dikatakan bagi  mentakrifkan semula semakan geografi di mana benua benua kecil tidak  lagi menjadi sebahagian dari Asia.
Najib turut dikatakan hadir  pada majlis makan tengahari dengan Naib Presiden Amerika, Joe Biden.  Beliau dikatakan tetamu tunggal sepertimana yang dilaporkan media  tempatan.
Sedangkan menurut laporan New York Times, Najib tidak  keseorangan tetapi ditemani beberapa pemimpin lain untuk majlis makan  tengahari di kediaman Naib Presiden Amerika itu.
Soal pendirian  Malaysia mengenai beberapa isu langsung tidak disebutkan dalam pertemuan  itu.
Umpamanya, keinginan untuk menghidupkan semula Perjanjian  Perdagangan Bebas atau isu Palestin yang merupakan subjek yang dekat  dengan kerajaan Malaysia.
Apatah lagi, Rumah Putih turut  mengeluarkan satu rumusan yang tidak dilaporkan media Malaysia berhubung  pendirian Amerika berkaitan penghasilan tenaga nuklear di Iran.
Duta  Malaysia di Vienna merupakan satu daripada lima negara yang mengundi  menolak tindakan terhadap Iran berhubung isu nuklear negara tersebut.
Menurut  rakyat Malaysia berkenaan, keputusan itu sangat bertentangan dengan  dasar Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Pergerakan  Negara-negara Berkecuali (NAM).
Apa yang lebih memeranjatkan,  Rang Undang-undang Perdagangan Strategik yang diluluskan secara  terburu-buru di Parlimen baru-baru ini dikatakan dilakukan di bawah  tekanan Amerika supaya Malaysia menyokong embargo barangan terhadap  Iran.
Najib juga dikatakan perlu mengakui Malaysia perlu  mengambil tindakan serius bagi mengawal penyeludupan manusia yang turut  mendapat kritikan Dewan Senat Amerika.