Empat anggota peronda polis yang terbabit dalam kejadian tembak mati  seorang remaja dipercayai anggota kumpulan samun awal pagi tadi di  Seksyen 11 di sini ditukarkan ke tugasan pejabat berkuatkuasa serta  merta.
Susulan kejadian itu, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid  Abu Bakar berkata pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)  Selangor dilantik bagi menjalankan siasatan kes berkenaan yang disiasat  mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kesemua mereka ditukarkan  ke “desk duty” sementara kes ini disiasat, apapun pihak IPK Selangor  akan menjalankan penelitian ke atas kes ini dari semua aspek,” katanya  di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua anggota terbabit akan  disiasat secara terperinci bagi mendapatkan maklumat sebenar punca  kejadian itu.
Khalid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2  pagi ini, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mati terkena tembakan  polis manakala rakannya Berjaya melarikan diri ketika terserempak dengan  kereta peronda polis (MPV) di kawasan Seksyen 11 di sini.
Beliau  berkata kejadian tembakan itu berlaku apabila remaja berkenaan enggan  berhenti dan cuba melarikan diri selepas anggota peronda polis  terserempak dengan suspek yang menaiki kereta jenis Proton Iswara dan  berada dalam keadaan mencurigakan.
Katanya anggota polis terbabit  melepaskan empat das tembakan ke arah tayar kereta suspek di mana satu  daripadanya dipercayai terkena suspek.”Hasil pemeriksaan terhadap  kenderaan yang dinaiki suspek menemui sebilah parang dipercayai  digunakan untuk kegiatan samun,” katanya.
Mayat suspek dihantar  ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dibedah siasat. —  Bernama