JAKARTA: Artis seksi Indonesia, Julia Perez atau  lebih dikenali dengan panggilan Jupe berkata cadangan syarat baru bahawa  penzina tidak layak menjadi calon dalam pemilihan ketua daerah tidak  mengecualikan beliau daripada bertanding.
“Saya tidak pernah  melakukan perbuatan zina,” kata Jupe ketika ditanya pandangan beliau  sekiranya akan menarik diri sebagai calon ketua daerah Pacitan, daerah  asal Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Sebelum ini Menteri Dalam  Negeri, Gamawan Fauzi berkata akan mengkaji semula undang-Undang  berhubung Pemilihan Kepala Daerah (Bupati), termasuk mengenakan larangan  terhadap mereka yang didapati berzina atau terbukti memiliki video  zina.
Selain itu syarat lain termasuk calon perlulah mempunyai  pengalaman dalam bidang politik, organisasi kemasyarakatan atau  sekurang-kurangnya pernah menjadi anggota perundangan.
Ketika  diminta menjawab soalan mengenai larangan terhadap calon yang pernah  melakukan hubungan luar nikah daripada menjadi calon Bupati, Jupe  berkata: “Itu bagus kerana bagi saya seorang pemimpin perlu jauh  daripada hal-hal berkaitan dengan perbuatan zina,” katanya.
“Sebagai  anak bangsa, sebagai generasi muda, saya sudah bersedia. Kalau saya  tidak bersedia bermakna saya tidak memberi laluan kepada generasi muda  untuk terus maju,” kata Jupe.
Mengenai cadangan memperkenalkan  syarat baru itu, Julia berkata ia satu cubaan kerajaan menghalangnya  daripada bertanding.
“Ia ditujukan kepada saya,” kata aktres dan  pemuzik itu.
Bagaimanapun, Gamawan menafikan cadangan itu  menyasarkan mana-mana selebriti dan menjelaskan langkah itu ‘bagi  mengelak mereka yang tidak tahu apa-apa, menjadi ketua daerah hanya  kerana populariti.”
Julia menegaskan beliau memiliki sokongan  lapan parti pada peringkat daerah termasuk Parti Hati Nurani Rakyat  (Hanura), Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) dan Parti Amanat  Nasional (PAN) dan ‘100 peratus serius’ untuk bertanding dalam pilihan  raya. – Agensi 
