RM76 juta dibayar kepada APCO, antaranya  menemukan Najib-Obama
Menteri Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz  mengakui bahawa kos perkhidmatan yang dibayar kepada APCO Worldwide  berjumlah RM76.82 juta setahun, malah memuji sumbangan APCO dalam usaha  memperbaiki hubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat.
Sambil  menuding jari kepada dua orang bekas Perdana Menteri yang "menjejaskan  hubungan antara Kuala Lumpur-Washington", Nazri mendakwa bahawa hubungan  dua hala yang terjejas dalam tempoh 28 tahun ini hanya boleh diperbaiki  dengan membelanjakan wang.
Nazri Aziz tidak menafikan bahawa  kerajaan Malaysia menggunakan perkhidmatan APCO Worldwide untuk  memperbaiki hubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat, "APCO  Worldwide bertanggungjawab untuk membina imej negara kita di Amerika  Syarikat, agar hubungan kita dengan Amerika Syarikat lebih erat. Apakah  anda menganggap syarikat tempatan Malaysia boleh mengeratkan hubungan  antara kita dengan Amerika Syarikat?"
Hubungan Malaysia dengan  Amerika Syarikat dianggap "kurang erat" semasa zaman pemerintahan PM  keempat dan kelima, iaitu Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi,  jadi Nazri tidak melihat wujudnya masalah untuk memperbaiki hubungan  dengan Amerika Syarikat atas nama diplomatik dan ekonomi.
"Sekiranya  kita tidak berbaik dengan Amerika Syarikat, Amerika Syarikat langsung  tidak akan mempedulikan kita. Kita perlu memperbaiki hubungan yang  terjejas semasa zaman pemerintahan 22 tahun oleh Mahathir Mohamad dan  enam tahun oleh Abdullah Ahmad Badawi. Anda ingat kita boleh  meredakannya tanpa berbelanja?" tanya Nazri ketika ditemuramah media di  parlimen, semalam.
Malah, Nazri menambah bahawa kerja melobi  adalah sesuatu yang lumrah di Amerika Syarikat. "Anda perlu lobi  (barulah kerja diselesaikan dengan baik), dan pelobi terbesar di Amerika  Syarikat ialah pelobi Israel."
Memuji Najib
Setelah  mempersalahkan Mahathir dan Abdullah, berikutan hubungan kurang erat  dengan Amerika Syarikat yang memberi kesan kepada pembangunan ekonomi,  Nazri seterusnya memuji PM sekarang, Najib Razak, "Najib bukan untuk  dirinya, beliau melakukan ini demi negara. Apa salahnya berbaik dengan  Amerika Syarikat? Ia hanya akan memanfaat ekonomi kita."
Najib  mengambil contoh pertemuan antara Najib dengan Obama, sebagai bukti  untuk menunjukkan APCO Worldwide menjalankan tugasnya dengan baik. "Apa  yang kita belanjakan amat berbaloi, kita mendapat pulangannya."
"Prestasi  APCO Worldwide cukup baik. Setakat ini Obama hanya meluangkan masa  untuk berjumpa dengan Najib dan Hu Jintao (Presiden China). China tu  China (pengaruh besar), tapi Obama berjanji untuk bertemu dengan Najib,"  jelasnya.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim  ketika membahaskan Titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dalam  persidangan Dewan Rakyat penggal ini mencungkil kontroversi apabila  mengkritik kerajaan kerana menggunakan perkhidmatan syarikat Israel,  APCO Worldwide, yang juga digunakan oleh diktator negara lain. 【Baca:  APCO dan 1Malaysia】
"...Diktator yang kaya akan menggunakan  (syarikat) yang terbaik. Jadi, mengapa mereka menggunakan APCO  Worldwide? Ini kerana APCO Worldwide terlalu baik (perkhidmatannya).  Kalaulah mereka nak membina imej yang baik di Amerika Syarikat, mereka  perlu menggunakan APCO Worldwide," ulas Nazri.
Mengambil contoh  Karpal dan Anwar
Bahkan, Nazri mengambil contoh peguam terkemuka,  Karpal Singh yang juga Pengerusi DAP, "Tahukah anda siapa yang akan  mengupah Karpal Singh dalam kes mahkamah? Pembunuh, penyeludup... Kerana  mereka nak bebaskan diri daripada hukuman. Mereka perlu mendapatkan  peguam yang terbaik. Ada yang berkata Karpal Singh adalah yang terbaik.  Jadi mereka mengambil Karpal Singh..."
"Tapi, bolehkah anda  berkata Anwar Ibrahim adalah pembunuh kerana beliau menggunakan Karpal  Singh sebagai peguam belanya?" tanya Nazri.
Karpal Singh kini  adalah peguam bela Anwar Ibrahim dalam kes liwat.
Oleh itu, Najib  menganggap pembangkang tidak harus meringkaskan isu ini, menyamakan  penggunaan APCO Worldwide dengan isu lain sewenang-wenangnya. Malah,  beliau mendakwa bahawa beliau pernah menyemak senarai nama Zionis, dan  akhirnya beliau mendapati lebih separuh daripadanya adalah kawan Anwar.
"Jadi,  beliau (Anwar) boleh berkawan dengan orang ini, dan kami tak boleh,"  sindirnya.
Tian mempertikaikan Nazri
Sebelum ini, ahli  parlimen Batu-PKR Tian Chua mengadakan sidang media di koridor parlimen,  mempertikaikan kejujuran Nazri dengan menunjukkan jawapan bertulis  daripada Jabatan Perdana Menteri. JPM memberi jawapan bahawa kontrak  perkhidmatan APCO Worldwide bernilai RM76,820,563 setahun, jauh berbeza  dengan jawapan yang diberikan Nazri sebelumnya ketika ditemuramah media,  iaitu RM28 juta.
Namun, Nazri mendakwa bahawa kedua-dua pihak  sebenarnya tidak pasti dengan angka RM28 juta itu, tetapi beliau  berjanji kepada Tian Chua (gambar kanan) secara peribadi, bahawa beliau  akan mengemukakan jawapan yang terperinci seandainya Tian Chua menulis  secara rasmi kepada JPM.
"Jadi, inilah jawapan tepatnya," Nazri  menegaskan bahawa beliau tidak menolak untuk memberi jawapan, "Anda  boleh menyemak minit mesyuarat. Saya (pada ketika itu) berkata saya  tidak mempunyai maklumat yang terperinci. Dan saya juga kata, seandainya  saya ada maklumat terperinci, maka saya boleh mendedah kepada semua  orang."
Dalam satu wawancara bersama Malaysian Insider pada 7  April 2010, Nazri memberi reaksinya terhadap tindakan ahli parlimen  Pokok Sena-PAS, Mahfuz Omar yang melaungkan "UMNO-APCO" dalam dewan.  Nazri berkata, "'UMNO-APCO' adalah tuduhan yang serius. Parti komponen  Barisan Nasional, UMNO menggunakan RM28 juta untuk mengupah APCO.  Tetapi, mengatakan UMNO itu APCO dan APCO itu UMNO, membawa makna bahawa  kami memasukkan wang kerajaan dalam saku UMNO. Kenyataan sedemikian  membawa maksud bahawa kerajaan jelas menyedari bahawa APCO dimiliki  UMNO, dan kemudian membayar RM28 juta kepada APCO. Tuduhan ini serius  sekali."
*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa  Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang. -MR