Isnin, 25 Januari 2010

SIS Menang, KDN Tarik Balik Pengharaman Buku SIS


Malaysiakini: Pengharaman buku Sisters in Islam ditarik balik.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menarik balik pengharaman buku 'Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism' yang dikuatkuasakan lebih setahun setengah yang lalu.

Buku berkenaan diedit oleh pakar sosiologi dari Institut Pengajian Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Professor Norani Othman dan diterbitkan untuk NGO, Sisters in Islam (SIS).

Buku berkenaan adalah kumpulan esei nukilan aktivis dan para intelektual antarabangsa. Ia diharamkan oleh kementerian dalam negeri pada 31 Julai 2008 atas alasan ia boleh mengugat ketenteraman awam.

Ia juga dikatakan boleh menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam, khususnya wanita.

Dalam penghakimannya, petang tadi, hakim Mohamad Ariff Md Yusof berkata dia gagal melihat bagaimana buku berkenaan boleh menganggu ketenteraman awam seperti yang didakwa.

"Buku berkenaan berada di pasaran sejak 2005 tetapi hanya diharamkan pada 2008," kata Mohamad Ariff.

"Lagipun, hanya tujuh daripada 215 muka surat yang didakwa boleh memudaratkan."

Dalam reaksi spontan, Norani berkata penghakiman itu adalah berita baik bagi kebebasan berakademik.

"Buku itu tidak menyentuh prinsip Islam tetapi mengenai undang-undang keluarga Islam dan undang-undang jenayah Syariah." katanya.

Hampir separuh daripada 3,000 berkenaan telah terjual sebelum ia diharamkan.