Ahad, 17 Januari 2010

Raja Blog Mencabar Kredibiliti Musa Hasan


Raja Petra Kamarudin

KPN, Musa Hassan sedang memulakan satu ekspedisi memancing. Dia menyuruh semua pegawainya untuk menimbangkan semua cara bagi menangkap saya. Masalahnya adalah ramai antara pegawainya yang menyalurkan maklumat kepada saya, dan bukan kepadanya. Jadi, saya tahu apa yang dilakukannya pada pagi ini, malah apa yang sedang dia lakukan ketika anda membaca artikel ini.

Musa Hassan menyangka bahawa para pegawainya memantau pergerakan saya. Sebenarnya, tak satu pun daripada pegawainya yang benar-benar tahu akan kedudukan saya. Sebaliknya, saya mempunyai orang dalam yang memantau pergerakannya dan membuat laporan harian kepada saya tentang segala aktiviti yang berlaku di tingkat atas ibu pejabat polis di Bukit Aman.

Pada mulanya, mereka fikir bahawa mereka dapat menggunakan anak saya bagi menjerat saya. Mereka memukul anak saya bagi memaksanya mengaku bersalah atas pelbagai pertuduhan jenayah. Tetapi apabila kes itu dibawa ke mahkamah, anak saya mendedahkan bahawa beliau telah dipukul dan dia menukar pengakuannya kepada tidak bersalah. Jadi, mereka tiada pilihan, selain membiarkan perbicaraan diteruskan. Nah, semasa perbicaraan itulah terungkapnya hakikat bahawa dakwaan terhadap anak saya adalah tidak benar.

Mereka kemudiannya menangguhkan perbicaraan itu dan menghantar anak saya kembali ke Penjara Sungai Buloh, di mana dia terus dibelasah. Akibatnya, anak saya naik gila, lalu terpaksa dihantar ke wad psikiatri. Dia kemudiannya diasingkan kerana dianggap sebagai terlalu berbahaya untuk dibenarkan bergaul dengan lain-lain tahanan.

Ya, mereka sangka bahawa mereka dapat menyembunyikan perkara ini daripada saya. Tetapi akhirnya, saya dapat tahu juga. Bagi saya, terpulanglah kepada pihak polis jika mereka ingin membunuh anak saya. Memanglah ini pernyataan yang saya kesali, namun anak saya adalah korban perjuangan. Sebenarnya, kita semua adalah korban perjuangan. Adakalanya, dalam perjuangan, nyawa perlu dikorbankan, sekalipun ia membabitkan nyawa anak kita sendiri.

Kita tentu pernah membaca suatu kisah semasa era Empayar Islam di Madinah, yang mana seorang ibu diberitahu bahawa anak lelaki terakhirnya telah syahid dalam peperangan. Dia menangis apabila diberitahu bahawa semua anak lelakinya sudah tiada. Tetapi dia sebenarnya menangis kerana dia tidak lagi mempunyai anak lelaki untuk dikorbankan demi perjuangan.

Inilah dasar kepercayaan kita. Perjuangan adalah lebih penting daripada segala-galanya. Adakah mereka fikir bahawa dengan membalun anak saya, maka masalah mereka akan selesai? Apa mereka fikir ia akan ‘menjinakkan’ saya? Tidak sekali-kali, malah ia akan menguatkan semangat saya kerana kini, bukan hanya perjuangan yang menjadi matlamat saya, malah ia melibatkan keadilan; darah mesti dibayar dengan darah jua.

Musa Hassan menyangka bahawa hanya kerana dia adalah pegawai tertinggi PDRM, maka itu juga bermakna bahawa dialah polis terpintar di Malaysia.

Anda nak tahu bagaimana cara polis yang pintar menjalankan siasatan? Meh saya beritahu rahsianya. Nak tahu apa yang dilakukan oleh Kevin Morais, Ketua Pendakwaraya SPRM semasa Krismas tempoh hari? Mesti anda tak tahu, bukan? Kalau anda nak tahu, dia merayakan Krismas dan Tahun Baru dengan kawan lelaki berbangsa Inggeris yang bertahun-tahun lebih tua daripadanya di Bromley, Kent, United Kingdom. Mesti anda tak tahu, bukan?

Musa Hassan, aku tahu bahawa kau mengugut para pegawai polis yang menandatangani Akuan Bersumpah yang menyabitkan hubungan kau dengan kongsi gelap Cina untuk mengubah kenyataan mereka, dan mengisytiharkan bahawa akuan berkanun mereka itu adalah pembohongan semata-mata.

Ah, dah terlambat pun. Akuan Bersumpah tu dibuat dua tahun yang lalu. Kalau nak suruh tarik balik, sepatutnya kau buat macam dengan Bala dulu… sehari selepas Akuan Bersumpah pertama keluar, Akuan Bersumpah kedua ditandatangani.

Adakah kau nak menafikan hal ni dan mengatakan bahawa RPK dan Malaysia Today berbohong? Jika ya, maka aku akan paparkan salinan semua dokumen-dokumen tu untuk membuktikan bahawa kaulah yang menipu. Bahkan kau dah digelar sebagai pembohong oleh Mahkamah Tinggi Sabah, dan dalam sedikit masa lagi, aku akan memaparkan bukti mengenai perkara ni dalam artikel yang lain.

Mereka yang berada di tampuk kekuasaan sedang berusaha meyakinkan kau untuk bersara dan seterusnya menjadi Duta Besar. Mungkin tulah yang sebaik-baiknya, memandangkan sebagai seorang anggota polis, kau memang tak boleh harap. Tapi kenapa Duta Besar? Mengapalah orang tak guna seperti si gatal yang suka meraba sering dilantik sebagai Duta Besar.

Dua negara yang sesuai untuk kau sebagai Duta Besar adalah Haiti ataupun Mongolia. Dah pasti orang Mongolia akan menyambut baik orang yang menghancurkan bukti pembunuhan Altantuya demi memastikan pembunuh sebenar terlepas dari hukuman.

Jadi, apakah rancangan kau sekarang, wahai Musa Hassan? Adakah kau akan mengemukakan 'bukti' bahawa aku memaparkan akuan-akuan berkanun palsu oleh pegawai polis, yakni supaya aku boleh didakwa di bawah Akta Multimedia? Kenapa kau tak buat begitu bagi akuan bersumpah aku sendiri? Mengapa aku disiasat atas sebab menandatangani akuan bersumpah palsu dan kemudiannya mendakwa aku melakukan Fitnah Jenayah, yang mana kebenaran akuan bersumpah tu tak material dalam dakwaan tersebut? Adakah kau takut bahawa kebenaran akan terungkap kalau kau mendakwa aku atas kesalahan menandatangani akuan bersumpah palsu?

Kau ingat aku tinggalkan Malaysia secara haram ataupun dengan menggunakan pasport palsu ataupun pasport asing. Kau tak pasti. Kau fikir aku memasuki negara lain dengan menggunakan pasport palsu ataupun pasport asing. Kau tak pasti. Malah kau tak tahu sama ada aku masih berada di negara ni ataupun tak kerana kau tak pun menemui sebarang bukti yang menunjukkan bahawa aku berada di luar negara.

Polis jenis apa kau ni? Kau naik angin kerana kononnya aku memperbodohkan kau, walhal kau memperbodohkan diri kau sendiri. Rancangan kau adalah berasaskan andaian, tetapi kau sendiri tak pasti sama ada andaian kau tu betul ataupun tak.

Aku tahu lebih banyak tentang aktiviti kau berbanding dengan pengetahuan kau tentang aktiviti aku. Sebenarnya, lebih ramai pegawai kau yang menyalurkan maklumat kepadaku daripada kepada kau. Kau cuma tahu meneka lokasi aku dan rancanganku, sedangkan aku tahu segala gerak geri kau. Malah aku tahu bahawa ketua kuncu kau, Kevin Morais, sedang berseronok dengan seorang lelaki lain di ketika kau sangka kau dah berjaya memerangkap Dato' Ramli Yusuff dan Rosli Dahlan.

Musa, kau ingat kau lagi pandai daripada akukah? Aku tahu kau mendakwa seorang pegawai polis India atas pembunuhan Kugan sedangkan sebenarnya, terdapat tiga pegawai polis yang melanyaknya hingga mati di Balai Polis Subang Jaya. Kenapa hanya seorang pegawai polis berbangsa India yang didakwa? Kenapa tak dakwa lagi dua orang pegawai polis Melayu yang juga terbabit? Adakah ia kerana kau takut kes tu mungkin berubah menjadi isu perkauman jika semua orang tahu bahawa dua pegawai polis berbangsa Melayu juga memukul Kugan sampai mati? Jadi, adakah jika pegawai polis India membunuh seorang India yang lain, maka kerajaan kekal ‘selamat’? Kau fikir kita orang semua dah lupa bahawa pada mulanya, 11 pegawai polis 'digantung kerja' dan diberi tugas pejabat dek kerana kes Kugan?

Musa Hassan, kau bukan taraf aku, malah jadi Pegawai Penyiasat pun kau tak layak. Sejak 11 tahun yang lalu, aku dah jumpa ramai daripada Pegawai Penyiasat kau. Jadi, memang aku tahu bahawa kau tak setaraf dengan dia orang. Terima sajalah tawaran untuk bersara dan kemudian dilantik sebagai Duta Besar ke Haiti ataupun Mongolia… aman sedikit PDRM. Pada hari bersejarah tu nanti, seluruh pasukan polis akan mengadakan Mardi Gras selama 30 hari. Percayalah cakap aku. Aku tahulah… sebab pegawai kau semuanya beri maklumat kepadaku.