Jumaat, 25 Disember 2009

Mungkin ada lagi yang lesap: Tunku Aziz

SHAH ALAM – DAP tidak menolak kemungkinan terdapat banyak lagi aset dan maklumat rasmi milik kerajaan hilang dan diseludup keluar disebabkan pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak telus.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata, ketirisan, penyelewengan dan pecah amanah ini berlaku bukan sahaja membabitkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), tetapi pihak yang sebati dengan gejala negatif itu.

“Insiden kehilangan enjin pesawat TUDM ini hanyalah salah satu daripada banyak perkara yang tidak diketahui rakyat.

“Jika enjin pesawat tempur yang bersaiz besar untuk kegunaan pertahanan negara boleh hilang, bagaimana dengan kelengkapan senjata bersaiz kecil dan juga maklumat keselamatan negara?,” katanya kepada Sinar Harian, semalam

Menurutnya, jika sistem kerajaan ditadbir baik, perkara tidak betul seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 tidak akan berlaku.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan penyiasatan berhubung kehilangan enjin pesawat tempur itu memakan masa dan hanya dihebahkan setelah dua tahun kehilangannya disebabkan terdapat usaha untuk menutup kes itu daripada disiasat.

“Kita yakin, jika kes berprofil tinggi ini disiasat dengan telus dan teliti, kemungkinan banyak lagi kes berkaitan akan timbul, yang akhirnya membuka pekung pentadbiran kerajaan.

“Rakyat seharusnya membuka mata dan menilai pemimpin yang dipilih untuk melindungi rakyat," katanya.

Beliau mempertikaikan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang menyifatkan kes kehilangan enjin pesawat tempur sebagai tugas penyiasatan yang rumit dan banyak tekanan, sedangkan penyiasatan masih belum berjalan.

Sabtu lalu, media melaporkan kehilangan sebuah enjin pemintas F-5E TUDM bernilai hampir RM50 juta daripada Gudang Material Udara (Matra1), Pangkalan Udara Kuala Lumpur ketika dibaik pulih.

~Sinar Harian~

Pelajar cemerlang dirasuah Ahmad Said

Harakahdaily

KUALA TERENGGANU, 25 Dis: "Dari semua bantuan dan sumbangan yang kerajaan buat ini, saya tidak minta perkara besar dari tuan-tuan, hanya ada satu permintaan kecil sahaja iaitu bagilah undi tuan puan untuk BN dalam pilihan raya akan datang."

Ungkapan di atas dikeluarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Dewan Besar, Wisma Darul Iman semalam.

Ia dibuat di hadapan ibu bapa dan para pelajar seluruh Terengganu yang menerima hadiah kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu.

Inilah kemuncak bagi 'segala kerja baik' dari kerajaan negeri kepada rakyat iaitu 'satu undi untuk BN'. Namun kali ini ia tidak diminta secara 'berlapik' lagi tetapi secara terus terang.

Seorang bapa kepada seorang pelajar yang menerima hadiah itu terkejut besar dengan ungkapan itu.

Ini kerana, sepanjang kerier beliau sebagai seorang pegawai kerajaan negeri tidak pernah Menteri Besar sebelum ini mengeluarkan ungkapan seterang itu.

"Kalau dia nak minta kita sokong BN pun, dia berlapik sikit...berkias-kias...tetapi MB yang ini terus kepada undilah BN," kata beliau kepada Harakahdaily.

Melalui program ini, Yayasan Terengganu telah membelanjakan lebih RM10 juta untuk memberikan hadiah kepada pelajar cemerlang ini yang bermula sejak tahun 1980 lagi.

Tahun ini, 6,740 pelajar menerima sumbangan ini yang melibatkan peruntukan sebanyak hampir RM1 juta.

Kerajaan negeri tidak meminta perkara besar dari semua sumbangan yang sangat banyak ini cuma 'satu undi untuk BN' bagi setiap rakyatnya yang layak mengundi sahaja.

"Kalau begitu, ini rasuahlah," kata bapa kepada pelajar berkenaan.

Rabu, 23 Disember 2009

Kenapa sekejam ini?



Seorang pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menunjukkan mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui di kolam tadahan banjir di Kampung Boyan, Lorong Gurney pagi semalam. – Gambar Ehsan pembaca Utusan


KUALA LUMPUR 22 Dis. – Belum pun kematian Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin dua tahun lalu luput daripada ingatan masyarakat – hari ini seorang lagi kanak-kanak perempuan menjadi mangsa pembunuhan kejam.

Mayatnya dengan kesan leher dijerut ditemui di ibu negara kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

Lebih sadis lagi, mayat kanak-kanak malang tersebut ditemui terapung dipercayai dicampak dalam kolam tadahan banjir di Kampung Boyan, Lorong Gurney di Jalan Semarak di sini.

Mangsa berumur dalam lingkungan 11 hingga 13 tahun dipercayai dirogol. Mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kanak-kanak itu yang berkulit gelap mempunyai ketinggian kira-kira 1.2 meter.

Ketika ditemui, kata beliau, mangsa hanya memakai baju tidur tanpa seluar dalam.

Menurut Zakaria, siasatan awal mendapati, leher mangsa telah dijerut ketat dengan sehelai kain.

“Mayat kanak-kanak itu dipercayai dicampak ke kolam tersebut dalam tempoh 24 jam lalu. Selain kain itu, kita tidak menemui objek lain yang boleh dikaitkan dengan pembunuhannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak malang itu yang ditemui oleh tiga pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikeluarkan dengan bantuan skuad penyelamat pihak berkuasa tempatan itu.

Menurut Zakaria, identiti mangsa masih belum diketahui dan polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambahnya, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan polis akan memperincikan siasatan selepas laporan bedah siasat diterima.

Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang kehilangan anak perempuan supaya segera menghubungi balai polis berdekatan.

~Utusan~

Dr Yusuf Qardawi: Perjuangan PAS adalah penerusan perjuangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW"

Itulah antara kata-kata yang diucapkan oleh Sheikh Dr Yusof Qaradhawi kepada pimpinan PAS sewaktu Tokoh Maal Hijrah 1431H itu mengunjungi pejabat PAS Pusat untuk pertemuan tertutup dengan pimpinan PAS Pusat.

Banyak lagi pandangan beliau tentang perjuangan Islam di Malaysia, ikuti tulisan sahabat saya Exco Pemuda PAS Pusat, Sdra Abdullah Hj Karim yang turut sama dalam pertemuan tersebut.

"Assalamualaikum,Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir dlm pertemuan tertutup pimpinan PAS dengan tokoh ulamak terkemuka Dr Yusuf Qaradhawi (DYQ) di pejabat PAS Jalan Raja Laut, pada hari ahad 20-12-2009 yg lalu. Antara pimpinan yang hadir ialah Presiden Pas, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung, AJK-AJK PAS Pusat dan juga wakil dewan-dewan.

Didalam pertemuan lebih sejam itu, DYQ telah memberikan pandangan dan amanat yang cukup berharga yang menyentuh pelbagai perkara. Di bawah saya kemukakan beberapa isi penting ucapan beliau yang sempat saya catitkan :

1) DYQ menegaskan perjuangan gerakan-gerakan Islam seperti PAS adalah penerusan kepada perjuangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Dalam konteks moden, perjuangan ini adalah mewarisi aliran tajdid yang dipelopori oleh tokoh2 seperti Jamaludin Afghani, Syeikh Muhammad Abdul Wahab, Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Rashid Ridha. Ianya kemudian dilanjutkan dalam bentuk tanzimi yg lebih tersusun oleh Hassan Al Banna yg mengasaskan gerakan Ikhwan Muslimin.

2) Asas penting kepada gerakan islam ialah sikap wasathiah (wasotho - pertengahan). Dalam soal feqah, sikap wasathiah ini penting untuk menangkis kejumudan dan ketaksuban. Kejumudan dan ketaksuban inilah yg menyebabkan lahirnya taklid. DYQ menyelar golongan muqallidin ini dan menyatakan bahawa sebenarnya taklid ini tidak ada tmpat dlm syariat. Beliau seterusnya berkata bahawa tidak perlu seseorang itu mencapai tahap mujtahid untuk membolehkannya memakai pendapat yg diluar dari mazhabnya. Cukuplah seseorang itu mengetahui dalil atau hujah yg lebih kuat dari pendapat mazhabnya dalam sesuatu perkara bagi membolehkannya memilih yg lain dari mazhabnya.

3) Dalam soal hubungan dengan non muslim, DYQ berfatwa bahawa kita dibolehkan menjawab salam dari non muslim. Meskipun ada khilaf dalam hal menjawab ucapan salam dari non muslim, namun beliau mentarjihkan pandangan yg membolehkan non muslim memberi salam dan menjawab salam mereka. Syeikh mengatakn tidak ada salahnya menjawab salam non muslim yg mana kita mngharapkan dengan jawapn tersebut ianya akan menjadi doa supaya mereka terpaut dgn Islam.

4) Berkaitan soal wahabi pula, DYQ mengatakan golongan wahabi adalah sebahagian dari umat Islam. Dalam banyak hal, DYQ menyatakan bahawa banyak pandangan mereka yg lebih dekat dengan dirinya meskipun ada di kalangan mereka yg taksub dan melemparkan bermacam2 tohmahan terhadap dirinya. DYQ juga menyanjung tokoh2 ulamak yg dilabel wahabi seperti Syeikh Salman Audah dan Syeikh Aidh Abdullah Al Qarni yg dianggap sebagai tokoh yg sederhana.Inilah antara butiran-butiran yg dapat saya catatkan di sini".

Gambar pertemuan itu juga saya lampirkan di sini - Abdullah Karim
~Blog~

Selasa, 22 Disember 2009

Tidak tutup aurat, kompaun RM500



ANGGOTA penguat kuasa MPKB-BRI memeriksa peniaga dan pembantu kedai yang tidak menutup aurat di Pasar Borong Wakaf Che Yeh, Kota Bharu malam kelmarin.


KOTA BHARU - Seramai 15 peniaga dan pekerja wanita beragama Islam di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini dikenakan kompaun RM500 oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada operasi tutup aurat di sini malam kelmarin.

Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI, Wan Sharafi Wan Mustafa berkata, mereka dikenakan tindakan tersebut kerana berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna.

Menurutnya, tindakan tersebut diambil mengikut Undang-undang Kecil Trade Perniagaan MPKB-BRI 1986 (pindaan 2002).

Jelas beliau, penguatkuasaan larangan mendedah aurat itu dikenakan kepada golongan peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan mereka di bandar ini tanpa mengira waktu.

"Operasi itu diadakan selepas mendapati ramai peniaga dan pekerja wanita beragama Islam tidak menutup aurat walaupun pekeliling bertajuk Arahan Mematuhi Etika Berpakaian telah dikeluarkan sebelum ini," katanya.

Mereka yang dikenakan tindakan itu didapati tidak memakai tudung kepala, memakai kemeja-T berlengan pendek dan ketat serta berseluar panjang ketat.

~Kosmo~

Isnin, 21 Disember 2009

Mustafa Lagi Suka Jadi EHSAN daripada ROYALTY..

Mustapa Mohamad Anti-Kelantan? - Husam

Datuk Mustafa Muhammad seakan bukan anak Kelantan. Sejak hari pertama tuntutan minyak berbangkit, jalur yang diambil oleh beliau ialah cuba menidakkannya.

Belum pun jelas duduk perkara, beliau antara yang pertama membuat kenyataan: di peraiaran Kelantan, petroleum tidak ada. Tak lama, beralih kepada bertindeh dengan orang lain. Kemudian, hanya layak wang ehsan. Sekarang, seperti dilaporkan oleh Utusan Online petang ini, tidak mudah untuk Petronas nak kira jumlah bahagian Kelantan.

Sebagai Menteri Pusat anak Kelantan, dengan maklumat lebih terbuka sebagai Menteri, beliau sepatutnya yang pertama bersuara Kelantan terhak kepada apa jua nama bayaran bagi pengeluaran petroleum di perairan negeri ini. Itu tidak terjadi.

Mungkin hasrat hatinya kekayaan bumi Kelantan biar tertutup begitu sahaja. Terlalu terang hasrat hatinya untuk menyukarkan keadaan, bukan memudahkannya.

Hari ini beliau bercakap lagi mengenai Kelantan hanya layak untuk wang ehsan. Kelantan juga kata beliau, tidak layak untuk pengeuaran di kawasan JDA. Penggunaan wang ehsan nanti pula seratus peratus budi bicara Kerajaan Pusat.

Tengku Razaleigh yang juga ahli UMNO dan datang dari Kelantan, berbeza sekali sikapnya dengan Mustafa. Sama parti sama negeri, kenapa ada dua pandangan berbeza?

Pandangan siapa lebih betul? Datuk Mustafa yang kini menguruskan AP yang boleh membawa kekayaan segera kepada sesiapa yang mendapatnya atau Ku Li yang turut menjadi arkitek pembangunan petroleum pertama negara kita?

Mengapa tidak Datuk Mustafa memanggil sidang Badan Perhubungan UMNO Kelantan untuk menetapkan pendirian bersama UMNO Kelantan? Jemput bersama Ku Li sebagai Ketua UMNO Gua Musang untuk memberikan pandangannya.

Kenapa tidak diambil pendekatan pro rakyat Kelantan dan bukan pro penindasan dan buli yang telah menjadi trade mark UMNO sekian lama?

Ini abad 21. Abad maklumat dan abad pemikiran kritikal.

Datuk Mustafa masih dengan sikap lama yang tidak produktif.

Tanya dulu berapa medan gas atau minyak yang wujud di perairan Kelantan.

Jika PM menyebut Kelantan akan mendapat wang ehsan dari medan Bumi Selatan di Parlimen baru-baru ini, Bumi Selatan merujuk kepada konsesi CS Mutiara meliputi;

Bunga Kamelia dijumpai pada November 2003
Bunga Zetung dijumpai pada Julai 2004
Bunga Angerik dijumpai pada November 2004
Bumi Selatan dijumpai pada Februari 2005
Bunga Kesumba dijumpai pada Februari 2005

Ia bukan secupak dua cupak. Berapa reservenya, biarlah Menteri seperti Datuk Mustafa mengumumkannya tetapi jangan pula ingat orang lain tak tahu.

Di kiri dan kanan konsensi CS Mutiara ini ada pula medan seperti Bergading, Ular, Gajah, Bunga Dahlia, Bunga Melati dan Damar.

Reserve Bergading sahaja rasanya melebihi 120 juta tong. Damar pula hanya 68 batu dari pantai Negeri Datuk Mustafa.

Sebagai Menteri Pusat tak terasakah di hati Datuk Mustafa bagi berusaha mendaratkan gas dan condesate ini ke negeri sendiri?

Dengan satu pipe line utama, medan-medan ini boleh dihubungkan dengan pipe line cabang dan dengan jarak yang begitu hampir, ia boleh didaratkan di Kelantan sendiri. Jika itu berlaku, satu katalis besar untuk ekonomi Kelantan.

Jika dikatakan bertindeh menghilangkan kelayakan royalti, mengapa untuk kawasan CAA yang bertindeh antara Vietnam dan Terengganu, Terengganu dibayar royalti?

JIka selama ini Terengganu layak, kenapa Kelantan yang turut bertindeh dengan Vietnam di bahagian utara CAA tidak berhak menerimanya? Sekurang-kurang bagi Medan Bunga Pakma dan Bunga Orkid, Kerajaan Pusat terhutang kepada Kelantan beratus juta. Difahamkan Kerajaan Pusat telah menerima USD 700 juta dari kawasan ini selama ini.

Begitu juga dengan kawasan JDA. Ia berada dalam perairan Kelantan dan Akta JDA 1990 langsung tidak menidakkan kawasan itu berada dalam perairan Kelantan lama sebelum Kelantan menyertai Malaysia. Tidak juga Akta itu menjadikan kawasan ini wilayah eksklusif yang terkeluar dari kedaulatan negara kita. JDA hanya satu corporation yang diberi kuasa untuk mengolah pengeluaran petroleum secara bersama dengan Thailand dan bertanggunjawab membayar royalti seperti tercatat dalam Akta itu.

Hanya niat buruk untuk mempastikan Kelantan terus miskin sahaja alasan sebenar penafian ini. Difahamkan, bagi kawasan JDA, MTJDA telah menghulurkan USD 200 juta sebagai royalti kepada Kerajan Pusat. Untuk tahun 2010, ia meningkat kepada RM 800 juta. Mana bahagian Kelantan?

Bagi medan Bintang yang bertindeh antara Kelantan dan Terengganu, sudah tentu Kelantan juga layak terhadap sebahagian royaltinya. Difahamkan Petronas telah membayar RM 10 billion sebagai royalti kepada Kerajaan Persekutuan bagi medan ini. Jika Kelantan dibayar tunggakan satu pertiga sahaja dari medan Bintang, ia sudah berjumlah RM 3.3 billion!

Tiba masanya untuk Kerajaan Pusat lebih telus dan lebih bersemangat kekeluargaan. Selain adil, saksama dan bersetia dengan perjanjian.

Bukan sahaja Allah tidak sukakan perjanjian diengkari, tetapi juga makhluk yang bermaruah tidak dapat menerimanya.

Mengapa tidak Datuk Mustafa menjadi hero rakyat Kelantan dengan memulakan perbincangan dan perundingan dengan Kerajaan Negeri?

Kemudian, memberikan hak kepada yang berhak, apa lagi untuk negeri tumpah darah beliau juga. -Husam Musa

~Kedahlani~

Muka2 MP Yang Boikot Najib!

MENTERI


Sembrong – Tambun – Husni Hanadzlah, Tasik Gelugor – Nor M Yackop, Penampang – Bernard Dompok,Hishamuddin, Bagan Datok – Zahid Hamidi


Semporna – Shafie Apdal, Marudu – Maximus Ongkili, Betongi – Douglas Uggah, Pasir Gudang – Khaled Nordin, Jelebu - Dr Rais Yatim


Jeli – Mustapa Mohamed, Lumut – Kong Cho Ha, Kemaman – Shabery Cheek, Tampin – Shaziman Mansor


Tg Karang – Noh Omar, Segamat – S Subramaniam, Raub - Ng Yen Yen, Kimanis - Anifah Aman

TIMBALAN MENTERI


Baram - Jacob Dungau, Bt Pahat – Puad Zarkashi, Beaufort – Lajim Ukim, Cam Highland - Devamany


Jerlun - Mukhriz Mahathir, Kampar – Lee Chee Leong, Kluang - Hou Kok Chung, Larut – Hamzah Zainuddin


Muar - Razali Ibrahim, Papar – Rosnah Shirlin, Pontian – Ahmad Maslan, Sg Besar - Noriah Kasnon

AHLI PARLIMEN – BUKAN AHLI KABINET MENTERI


Alor Gajah - Fong Chan Onn, Bintulu - Tiong King Sing, Bukit Katil - Md Sirat, Bt Sapai - Edmund Chong, Batang Sadong - Nancy Shukri


Gelang Patah – Tan Ah Eng, Gua Musang – Razaleigh Hamzah, Hulu Rajang - Billy Abit, Igan – Abd Wahab, Jerantut – Tengku Azlan


K Batas – Abdullah Badawi, K Kangsar – Rafidah Aziz, Kalabakan – Ghapur Salleh, Kangar – Radzi Sh Ahmad, Keningau – Joseph Pairin


Kinabatangan – Bung Mokhtar, K Tinggi – Syed Hamid Albar, Kulai – Ong Ka Ting, Lanang - Tiong Thai King, Lawas – Henry Sum Agong


Libaran – Juslie Ajirol, mamboing – James Dawos, Mas Gading – Tiki anak Lafe, Mukah – Leo Michael Toyad, Pasir Salak – Tajuddin Ramli


Padang Besar – Azmi Khalid, Pengerang – Azalina Othman, Pulai –Nur Jazlan, Putatan – Makcus Mojigoh, Putrajaya – Tengku Adnan


Rembau – Khairy Jamaludin, Rompin – Jamaluddin Jarjis, Seria – Richard Riot, Setiawangsa – Zulhasnan, Sibuti – Ahmad Lai Bujang


Tebrau – Teng Boon Soon, Tg Batu – Idris Haron, Tg Malim – Ong Ka Chuan, Tg Manis - Norah Rahman, Tuaran – Mujilip Bumburing

..Kehadiran wakil BN hanya 48% mestilah dianggap GAGAL..!!! Manakala kehadiran wakil rakyat Pakatan sebanyak 78% dilihat jauh lebih bertanggungjawab dimata rakyat 1 MALAYSIA!

Sumber, Info Corner

Ahad, 20 Disember 2009

Enjin jet TUDM hilang

Oleh Hardi Effendi Yaacob

hardi@bharian.com.my


GAMBAR fail pesawat F-5E

Polis tahan empat orang, termasuk pegawai tentera

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat orang, termasuk pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berhubung kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E milik TUDM bernilai kira-kira RM50 juta daripada Gudang Material Udara I (Matra I), Pangkalan Udara Kuala Lumpur ketika dibaik pulih pada akhir tahun lalu.

Kehilangan enjin bersama rekod perkhidmatan dan penyelenggaraannya itu hanya disedari Januari tahun ini, dipercayai dijual kepada pihak tertentu di sebuah negara di Eropah.

Timbalan Pengarah I Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Noryah Md Anvar, berkata hasil siasatan berjaya mengenalpasti empat suspek, membabitkan orang awam dan pegawai pasukan itu.

"Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghubungi kami awal tahun ini meminta bantuan menyiasat kehilangan

peralatan itu yang dilaporkan berlaku di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

"Berikutan itu, 18 individu dipanggil bagi membantu siasatan yang membawa kepada kejayaan mengenalpasti empat suspek terbabit, termasuk penjual dan pembelinya serta lokasi enjin itu dijual," katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti empat individu terbabit, selain lokasi sebenar enjin itu yang harganya dianggarkan hingga RM50 juta mengikut pasaran semasa.

Namun, Berita Harian difahamkan enjin itu dijual kepada seorang pembeli di sebuah negara Eropah tetapi tidak dapat dipastikan tujuan penggunaannya.

Noryah berkata, kehilangan enjin itu diklasifikasikan sebagai kes pecah amanah dan fail siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

TUDM mula menggunakan pesawat tempur enjin berkembar buatan Amerika Syarikat (AS) itu pada 1974 tetapi hanya enam unit masih digunakan, masing-masing model RF-5E Tigereye dan F-5E Tiger II yang berpangkalan di Butterworth.

Difahamkan, khidmat pesawat itu pernah digantung beberapa tahun lalu berikutan cadangan menggantikannya dengan pesawat baru.

Sementara itu, sumber memberitahu Berita Harian, enjin yang masih berkeadaan baik itu dibawa dari Skuadron 12 Scorpion Butterworth ke Pangkalan Udara Kuala Lumpur dan sepatutnya diserahkan kepada satu daripada tiga kontraktor swasta yang dilantik kerajaan untuk penyelenggaraan.

"Ia dipercayai dilakukan secara terancang dengan pembabitan orang dalam TUDM sendiri. Jika tidak, mana mungkin enjin sebesar itu, lengkap dengan 'after burner' (sistem turbo) boleh hilang dan melepasi kawalan keselamatan ketat pangkalan dengan mudah.

"Taktik mereka memang licik dan berpengetahuan luas dalam hal berkaitan enjin pesawat tempur. Mereka tahu enjin itu tiada apa-apa nilai tanpa rekod perkhidmatan dan penyelenggaraan," katanya.

Sumber itu memberitahu enjin jenis J-85 keluaran General Electric (GE) itu boleh dijual dalam bentuk set lengkap atau sebagai komponen alat ganti kepada pihak yang menggunakan model pesawat lama berkenaan.

Selain Malaysia, model itu masih digunakan oleh Singapura, Indonesia dan beberapa negara di timur tengah serta Eropah. Difahamkan, kejadian itu menyebabkan rombakan kecil dalam TUDM, terutama di Markas Logistik yang turut menyaksikan beberapa pegawai dan anggota dipecat.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperketatkan prosedur dokumentasi dan memperincikan proses audit dalaman setiap aset miliknya bagi membendung penyelewengan peralatan.

Beliau berkata, kegiatan yang menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan itu dipercayai berlaku sejak beberapa tahun lalu dan dilakukan secara terancang hingga sukar dikesan.

"ATM memandang serius kerana ia juga mencemarkan imej pasukan. Justeru, tindakan segera sudah diambil untuk mengatasinya bagi memastikan kejadian tidak berulang," katanya.

Beliau berkata, ATM bersikap terbuka dalam isu penyelewengan dan sentiasa mengalu-alukan pembabitan agensi berkaitan bagi menangani kes seumpama itu.

"Jika polis atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mahu campur tangan, mengapa tidak kita benarkan jika ia boleh mendatangkan banyak kebaikan kepada pasukan dan negara. ATM mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat membantu siasatan, terutama dalam membongkar lebih banyak kes seumpama ini," katanya.

~Berita Harian~