Sabtu, 12 Disember 2009

Malaysia Negara ‘Sumpahan Minyak’

Dari Malaysia Kini

Mantan menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan Malaysia sebagai negara ’sumpahan minyak’ di mana kekayaan hasil buminya itu tidak digunakan untuk tujuan asal penubuhan Petronas, tetapi menjadi madat dan simbol kosong seperti Menara Petronas.

“Bila saya mengasaskan Petronas pada 1974, saya tidak menyangka bahawa suatu hari nanti, saya merasakan lebih baik kita tidak menemui kekayaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, anugerah minyak itu yang sepatutnya digunakan untuk memacu peralihan negara kepada masyarakat yang lebih terpelajar dan berhati mulia, sebaliknya telah menjadi madat yang memberi kesenangan sementara dan simbol kosong seperti Menara Petronas.

Tengku Razaleigh – bekas naib presiden Umno yang hampir menewaskan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden 20 tahun lalu – merupakan antara pengasas penubuhan Petronas pada tahun 70-an.

Menurutnya, Malaysia kini terjebak dalam perangkap pendapatan pertengahan, “tersangkut dalam pertumbuhan mudah dari pengeluaran tambah nilai yang rendah dan pemasangan komponen dan tidak mampu membuat lonjakan kepada ekonomi berintensifkan pengetahuan.

Katanya, tujuan awal penggunaan simpanan minyak Malaysia ialah untuk membantu negara melonjak daripada ekonomi yang berasaskan komoditi dan pemasangan kos rendah, kepada ekonomi yang lebih dipelbagaikan yang berasaskan kepada pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Kita melihat simpanan minyak kita sebagai satu kurniaan kekayaan yang akan menghasilkan wang untuk tujuan pemodenan dan teknologi,” katanya ketika berucap di sidang kemuncak ahli korporat muda Malaysia di Menara Integriti, Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, katanya, berbilion-bilion ringgit hasil eksport minyak sejak tiga dekad yang lalu, telah dibazirkan oleh kerajaan.

Menurutnya, hasil minyak negara yang sepatutnya digunakan mengikut yang telah dirancangkan sewaktu penubuhan Petronas, telah menjadi dana yang dibelanjakan sesuka hati oleh sesiapa juga yang mentadbir negara, tanpa sebarang pertanggungjawaban.

Buku bertajuk “Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Time’, yang dilancarkan baru-baru ini, menganggarkan kira-kira RM100 bilion telah dibazirkan dalam skandal kewangan sewaktu 22 tahun pentadbiran Dr Mahathir.

Pengarangnya, Barry Wain yang juga bekas editor Asian Wall Street Journal, menulis bahawa sebahagian besar skandal itu, termasuk percubaan kerajaan untuk memanipulasi harta timah antarabangsa dan pembabitan Bank Negara dalam pasaran matawang global, pada tahun 1980-an.

Bagaimanapun, ada sesetengah penganalisa yang menyebutkan jumlahnya lebih tinggi daripada itu.

Malahah Time memetik Daniel Lian – seorang pakar ekonomi dari Morgan Stanly di Singapura sebagai berkata, Malaysia mungkin telah kehilangan “sehingga AS$100 bilion” (RM340 juta) sewaktu pentadbiran Dr Mahathir.

Petronas menyumbangkan 40 peratus daripada bajet negara sejak bertahun-tahun lalu tetapi penggantungan terhadap perolehan hasil minyak semakin tidak dapat dipertahankan lagi.

Kerajaan akan memperluaskan lagi asas cukai dengan memperkenalkan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) di mana semua rakyat Malaysia dikehendaki membayar cukai tambahan di samping cukai pendapatan.

Tengku Razaleigh berkata, kekayaan minyak negara telah dibazirkan dan digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang gagal, membeli senjata, membina bandaraya secara besar-besaran di atas tapak ladang kelapa sawit.

Perolehan tersebut, katanya, tidak digunakan untuk membasmi kemiskinan di negeri-negeri yang miskin, tetapi disalurkan untuk tujuan politik dan golongan yang ada kaitan dengan politik.

Katanya, hasil minyak yang sepatutnya menjadi warisan kekayaan untuk semua rakyat Malaysia dan generasi akan datang, telah digunakan untuk menunjangi pemerintahan yang ‘authoritarian, menghakis demokrasi berpelembagaan dan korup keseluruhan golongan elit politik dan perniagaan.

Selasa, 8 Disember 2009

Bapa Dan Pusat Segala Fitnah

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menulis: MAHATHIR merupakan pencetus kepada salah guna yang terdapat dalam modul Biro Tata Negara (BTN) dalam menyebarkan agenda Barisan Nasional ketika era pemerintahannya satu ketika dahulu. Propaganda mengutuk dan menghina pemimpin-pemimpin pembangkang telah disuapkan ke minda peserta agar tertanam perasaan benci terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang yang ada.

"Mahathir sendiri yang telah mewujudkan modul ini, kerana itulah dia tidak bersetuju modul ini dirombak dan mahu ia dikekalkan. Dia adalah pecetus kepada semua ini," jelas Johari Abdul.

Beliau menjelaskan modul yang terdapat dalam BTN telah digunakan oleh Dr Mahathir pada ketika itu sepenuhnya untuk memburukkan pemimpin-pemimpin pembangkang terutamanya melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, program yang dijalankan telah mengumpulkan semua pemimpin pembangkang dan melebelkan mereka sebagai pengkianat dan orang yang bakal memusnahkan Negara. Fitnah dan cacian sengaja dilemparkan bagi menanam kebencian rakyat terhadap pemimpin pembangkang yang ada.

“Jika dikira sejak tahun 1998 hingga 2 september 2005, sudah berapa banyak fitnah dan cacian yang dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar? Sedangkan pada ketika itu Anwar masih belum ditentukan kesalahannya. Jadi saya memang tidak terkejut sama sekali dengan kenyataan Dr Mahathir yang mahu modul BTN dikekalkan. Ini kerana dia sudah lama menggunakan modul BTN ini untuk menanam kebencian rakyat kepada Datuk Seri Anwar dan pemimpin-pemimpin lain,” jelas Johari lagi. Sumber: EraPakatan

Ahad, 6 Disember 2009

Jambatan Sungai Lembing Runtuh Lagi


Jambatan kayu sepanjang 80 meter dan bernilai RM1 juta itu mengalami keadaan demikian buat kali kedua dalam tahun ini di mana kali pertama ia berlaku pada Januari lepas. Seorang penduduk Kampung Kawah, Ismail Abas, 64, berkata penduduk kampung berkenaan hanya sempat menggunakan jambatan itu hanya selama lapan bulan selepas ia siap dibina pada April lalu selepas jambatan yang sebelumnya runtuh, juga akibat banjir.

Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Lembing Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah berkata pihaknya akan menggantikan jambatan kayu itu dengan jambatan konkrit yang bernilai RM2 juta tidak lama lagi. Katanya dua lagi jambatan yang sama juga akan dibina di Sungai Lembing dan Sungai Kenau dengan nilai yang sama.