Khamis, 25 Jun 2009

AURA DI TUBUH ANDA

Sebagaimana bumi mempunyai lapisan ozon yang melindunginya dari sinaran matahari yang berlebihan. Tubuh manusia juga mempunyai medan tenaga yang di kenali sebagai aura. Aura berbentuk seperti telur dan menyelubungi tubuh manusia terdiri daripada beberapa lapisan mengelilingi tubuh fizikal manusia dan mewakili keadaan emosi, mental, fikiran, tingkah laku dan juga tahap kesihatan seseorang.

Aura yang terbentuk di janakan dari chakra yang mengeluarkan warna-warna yang tertentu mengelilingi tubuh manusia di mana setiap warna mewakili tahap-tahap tenaga yang berbeza-beza getaran gelombangnya. Melalui analisis aura, kita dapat mentafsirkan keadaan kesihatan, karektor, personaliti, kekuatan dan kelemahan seseorang.

Aura juga bertindak sebagai perisai diri. Manusia terdedah kepada getaran tenaga negatif yang berada diselilingnya. Dari sinar UV hinggalah kesan sinar infra merah yang berlebihan boleh merosakkan sel dan tisu tubuh manusia. Begitu juga pada kesan radiasi dari microwave, televisyen, radio, telefon bimbit dan lain-lain. Aura yang sihat biasanya tebal, halus dan bersaiz besar dan berwarna “vibrant” selalunya menggambarkan tubuh yang sihat di dalamnya, manakala aura yang nipis, kasar dan berwarna gelap menunjukkan ketidakstabilan mungkin dari segi emosi, fizikal dan sebagainya. Faktor tekanan hidup, berfikiran negatif dan stres merupakan salah satu daripada punca ketidakseimbangan tenaga pada aura tubuh manusia.

Bukan manusia sahaja yang memancarkan aura tetapi benda-benda lain seperti pokok, batu, kristal dan sebagainya. Cuma bezanya aura manusia sentiasa berubah. Sains telah membuktikan yang aura boleh di lihat menggunakan kamera kirlian. Dengan menjalani latihan tertentu manusia juga merasakan getaran aura dan juga berupaya melihat aura

Di dalam Islam, setiap diri manusia merupakan kumpulan cahaya atau 'nur' yang memiliki ukuran gelombang tersendiri yang dizahirkan sebagai watak, tingkahlaku, perangai dan psikologi dirinya. Manakala setiap psikologi itu pula bernaung pada organ-organ tubuh kita yang tertentu. Ada di kalangan individu yang diberikan anugerah mampu melihat aura orang lain, tetapi secara asasnya keadaan ini bukanlah sesuatu yang normal, kerana sekiranya seseorang terlalu kerap terlihat aura orang lain, maka yang sebenarnya ia turut mengalami kebocoran tenaga, atau lebih mudah, berpenyakit. Haiwan adalah makhluk pada tahap 'spiritual' yang dapat melihat aura manusia, sebahagian daripadanya cukup cepat mengesan aura seseorang yang cukup hebat, bertenaga, dalam kawalan diri dan sihat secara keseluruhannya.

Apabila cahaya dalaman diri seseorang tidak stabil atau seimbang, bermakna terdapat organ tubuh yang sedang menghadapi masalah/penyakit lalu menghasilkan aura yang berlebihan di sekeliling tubuhnya dan memberi kesan psikologi sepertimana berikut:-

Putih – jika berlebihan (menyelubungi orang itu), ia bererti hilang kemahuan diri, tiada semangat meneruskan kehidupan, lesu yang amat sangat, tiada ketahanan diri, mudah tercemar. Ia juga tanda akan meninggal (jika tiada warna lain selain putih). Putih seharusnya berada di luar di bahagian atas kepala berlatarkan gelap.

Pink/Merah Jambu – jika berlebihan bererti kesepian, sedang dilamun cinta, kerinduan yang mendalam, trauma bercinta atau putus cinta yang meninggalkan kesan penderitaan. Mengambil sedikit makanan yang pahit dapat membantu mengimbangkan pink.

Violet/Ungu – jika berlebihan bererti mempunyai nafsu makan dan tidur yang kuat. Rahsia emosi - tahap otak. Kesunyian, bernafsu tinggi, sensitif, perasa, murung, tidak bernasib baik, sentiasa dirundung malang, tidak menghargai diri sendiri dan tidak fokus – mengutuk diri sendiri, boleh jadi hancur dengan pujian.

Indigo – jika berlebihan dia berada dalam tekanan, tidak tenteram.

Biru – jika berlebihan, cita-cita yang tidak kesampaian tetapi jika biru itu seimbang, ia mempunyai visi yang tinggi dan luas, cita-cita yang tinggi, mempunyai kebijaksanaan, penuh pengharapan, jauh pandangan serta fikiran yang terbuka.

Hijau – menandakan perasaan rendah diri keterlaluan. Amat pemalu ataupun sebaliknya. Tidak yakin diri sendiri ataupun sebaliknya. Perasaan berani dan penyabar tetapi apabila ia terguris perasaan, akan menjadi pendendam, bengis serta geram.

Kuning – bekisar pada logik, material (kebendaan). Banyak menggunakan kuasa, akal, bijak, cerdik, berkira-kira, cermat atau terlalu boros. Jika kuning berlebihan, orangnya penuh dengan perasaan was-was, syak wasangka, dengki khianat atau penyakit pada hati.

Oren – jika berlebihan, dia bersikap melulu, gelojoh, panas baran yang cepat. Amat cepat menyesal dengan perbuatan yang lepas. Terlalu mudah hilang pertimbangan pada diri. Suka kepada makanan masam atau langsung tidak suka pada makanan masam. Terlalu asidik (berlebihan), kedinginan seksual, lemah hormon seksual dan cepat klimaks. Banyak terjadi pada wanita. Haruslah waspada dengan sikap-sikap yang negatif seperti dinyatakan kerana jika berlarutan, ia akan memakan diri sendiri.

Merah – warna merah yang berlebihan ruang dalaman dan atasan bererti tanda keletihan, hilang tenaga, lemah pergerakan, cepat lenguh, kesakitan, hilang deria sentuhan, bisa-bisa otot, saraf serta tulang. Amat berkait rapat dengan fizikal. Berlebihan merah juga menandakan ketakutan yang luar biasa, gemuruh, panik dan panas baran. Petanda ada masalah gout, darah tinggi, otot, tulang, saraf dan penyakit seperti buasir.